Selamat Datang

Rabu, 6 Oktober 2010

Galas: SPR pilih tarikh ikut kehendak Umno?


M Faqih & Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 6 Okt: Ada ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu peratusan keluar mengundi lebih ramai, namun dalam masa yang sama hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas diadakan pada hari bekerja.

Ia seumpama kata orang cakap tidak serupa bikin. Malah ada pihak menggambarkan SPR mempunyai tuan yang lebih berkuasa iaitu pemimpin Umno.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamad Fadzli Hassan (kiri) berkata, SPR sepatutnya mengambil kira banyak situasi dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas termasuk persidangan Dun Kelantan.

“Ketika itu persidangan Dun Kelantan sedang berlangsung dan perasmiannya akan disempurnakan Al-Sultan Kelantan pada 1 November.

“Persidangan Dun diadakan bermula 1 hingga 8 November. Saya hairan mengapa SPR tidak mengambil kira perkara tersebut. Tentunya program besar seperti itu ada dalam pengetahuan mereka,” katanya di sini.

Hari ini SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas, Gua Musang diadakan pada hari Khamis, 4 November depan, manakala penamaan calon pada hari Selasa, 26 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Putrajaya.

Pada pilihan raya tersebut SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010.

Jumlah pengundi seramai 11,553 orang, di mana 27 daripadanya merupakan pengundi pos.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, SPR sepatutnya mempamerkan sikap tidak berpihak dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil.

Bagaimanapun katanya, PAS tetap akan meneruskan cabaran bagi mempertahankan Dun tersebut dengan menggerakkan seluruh jentera PAS dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

”Kita tahu Umno akan menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan Malaysia bagi berdepan dengan PAS pada pilihan raya tersebut,” katanya.

Satu sumber pula memberitahu mesyuarat penyelarasan jabatan-jabatan kerajaan pusat bagi membantu kempen calon BN telah diadakan termasuk membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna.

Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed berkata, tindakan SPR menetapkan hari pengundian pada hari bekerja tentunya akan menyukarkan orang ramai keluar mengundi.

”Saya pun hairan sebelum ini SPR berkempen supaya pengundi keluar mengundi, namun dalam masa yang sama ditetapkan hari mengundi di Galas pada hari Khamis,” ujarnya.

Menurutnya keadaan itu tentunya sedikit sebanyak menyukarkan pengundi keluar mengundi lebih-lebih lagi Dun Galas meliputi kawasan yang luas.

Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi (kanan) berkata, SPR tidak sensitif terhadap persidangan Dun Kelantan yang juga berlangsung pada hari tersebut.

Katanya, tarikh persidangan Dun sudah lama ditetapkan dan SPR mustahil tidak mengetahui perkara itu kalau merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

Namun kata beliau apa yang jelas SPR lebih mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam Umno dalam menentukan segala tindakan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, tarikh penamaan calon dan hari mengundi di Galas bertindan dengan tarikh sambutan ulangtahun ke-20 kerajaan PAS Kelantan.

”Program itu merupakan satu program besar di peringkat negeri. Selain itu ia bertembung dengan tarikh persidangan Dun yang bermula 1 November ini,” katanya di Kota Darulnaim.

Menurutnya SPR hanya mengambil kira persidangan Agung Umno, sedangkan ia adalah urusan parti.

”Nampak sangatlah SPR tidak peka terhadap program kerajaan di Kelantan. Sepatutnya mereka lebih peka hal sebegini,” kata beliau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails