Selamat Datang

Ahad, 31 Oktober 2010

RM2.3 bilion wang judi dalam akaun Kerajaan Pusat?


Sabri Said

PULAU PINANG, 31 Okt: Para pemimpin Umno perlu menjelaskan hasil judi bernilai RM2.3 bilion yang terdapat dalam akaun hasil yang disatukan di Kementerian Kewangan pada tahun 2009.

Hasil inilah yang telah digunakan oleh kerajaan Pusat untuk membayar gaji kepada seramai 1.2 juta penjawat awam dan semua projek pembangunan termasuk untuk manfaat masyarakat Islam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendesak perkara ini ekoran tuduhan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang dari hasil judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini.

Lim menegaskan sekali lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menggunakan wang judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini sebagaimana dakwaan Umno.

"Sebenarnya ia dari hasil penjimatan yang kita lakukan. Sudah dua kali kerajaan negeri mendapat pengiktirafan dari Ketua Audit Negara tentang pengurusan kewangan yang terbaik dalam negara ini disamping mendapat pujian dari badan anti-rasuah antarabangsa iaitu Transparency International," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak akan terpengaruh dengan tekanan dan kempen Umno kononnya kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk membantu rakyatnya.

"Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menakut-nakutkan Kerajaan Negeri melalui apa jua cara yang mereka persembahkan. Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab kita akan terus membela dan memberi penghargaan kepada warga emas sebagai mengenang jasa mereka yang berusia lebih dari 60 tahun," katanya.

Lim Guan Eng berkata demikian ketika berucap semasa majlis penyampaian sumbangan kepada 153 waris warga emas yang telah meninggal dunia dalam daerah Seberang Perai Utara di Sungei Dua pagi tadi.

Dalam majlis tersebut sumbangan sebanyak RM153,000 telah diberikan kepada waris sebagai membantu meringankan kos pengurusan jenazah yang telah digunakan oleh mereka selepas kematian keluarga mereka.

"Walaupun terdapat ugutan dan usaha bagi menakutkan kepimpinan kerajaan negeri dengan pelbagai fitnah dan dakyah, kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak.

"Bagi warga emas yang beragama Islam, janganlah terpedaya dengan tohmahan parti pembangkang di Pulau Pinang iaitu Barisan Nasional (BN) yang cuba mempengaruhi warga emas dengan menuduh ianya dari sumber yang haram," katanya.

Tambahnya lagi selagi Kerajaan Negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) maka usaha murni yang dilaksanakan seperti penghargaan kepada warga emas dengan sumbangan sebanyak RM100 seorang serta sumbangan sebanyak RM1000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia akan tetap diteruskan.

"Yang jelas di sini pembangkang seperti Umno dan BN di Pulau Pinang telah mulai merasa gerun dengan kebangkitan rakyat di Pulau Pinang apabila melihat kejayaan yang berjaya dicapai dalam sasaran kita memberi pembelaan kepada mereka yang memerlukan.

"Ekoran itulah Umno-BN akan terus membuat pelbagai fintah dan tohmahan bagi mengaitkan Kerajaan Negeri supaya dipandang serong oleh masyarakat khususnya orang Islam dan sekaligus memberi kredit dan sokongan kepada mereka, " ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan kepimpinan Pakatan Rakyat tempatan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails