Selamat Datang

Isnin, 18 Oktober 2010

Anwar dakwa SPR terima peruntukan 2010 RM250 kendali PRU-13



October 18, 2010

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disediakan dengan peruntukan besar hampir RM250 juta untuk perbelanjaan tahun depan, didakwanya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum tergempar.

Anwar membangkitkan perkara ini ketika wujud spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan tahun depan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga mendakwa Bajet 2011 yang diumumkan Jumaat lalu sebagai “bajet pilihan raya”.

Selain itu, SPR juga sedang membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak, yang mandat kerajaan negeri akan berakhir Julai 2011.

Ketua Pembangkang memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau dimaklumkan oleh “sumber-sumber dalaman” mengenai peruntukan tersebut dan menuntut penjelasan daripada kerajaan.

“Kami ada menerima maklumat. Dan, saya ingin mengetahui perkara sebenar... bahawa SPR telah dimaklumkan peruntukan sebanyak RM250 juta disediakan kepada agensi itu sebagai perbelanjaan tahun depan,” kata beliau ketika membahaskan ucapan Bajet 2011 hari ini.

Kata beliau, ia berbeza daripada angka peruntukan RM35 juta yang akan disalurkan kepada suruhanjaya itu oleh Kementerian Kewangan.

Anwar juga mempersoalkan mengapa peruntukan yang melambung kepada SPR itu tidak dimasukakn ke dalam perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri, yang diumumkan Jumaat lalu.

“Mengapa peruntukan ini disediakan sebelum bajet diumumkan, tetapi tidak dimasukakn ke bajet,” kata beliau.

“Adakah (peruntukan ini) bermakna persiapan ke arah pilihan raya tahun depan? Kemungkinan Menteri Pertahanan tahu sesuatu sebab beliau senyum, jadi saya merasakan beliau ada maklumat,” katanya.

Anwar juga mempersoalkan ketelusan perbelanjaan SPR dan menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar memantau kewangan suruhanjaya itu.

“Kami ada menerima maklumat dalaman bahawa ada sesetengah proses tidak telus dan kurang akauntabliti,” katanya lagi.

Justeru kata Anwar, SPRM harus menyiasat SPR agar ia menguruskan kewangannya dengan baik.

“Integriti SPR sudah pun terjejas ekoran campur tangan politik yang keterlaluan,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails