Selamat Datang

Jumaat, 29 Oktober 2010

Harga kereta pasaran domestik lebih mahal


Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengkaji semula polisi protektisme dalam industri automotif negara.

Menurut beliau, dasar melindungi kepentingan pasaran domestik Proton tersebut mengakibatkan konsumer terbeban oleh pinjaman hutang yang tinggi.

"Kita perlu menangani masalah ini supaya negara kita tidak terus terbeban dangan keperluan pinjaman," ujarnya di lobi Parlimen, petang semalam.

Ini kerana katanya, polisi itu memaksa konsumer membeli kereta di pasaran domestik dengan harga yang berlipat kali ganda lebih mahal berbanding harga di pasaran global.

"Ini semua adalah suatu masalah lanjutan pada dasar automobil negara yang telah pun kita laksanakan selama 25 tahun untuk lindungi Proton," ujarnya.

Walhal, beliau berkata, polisi 'protektisme' yang diperkenalkan Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri itu hanya menguntungkan Proton sahaja.

Akibat dari itu, katanya mengakibatkan impak berantai pada pertambahan peratus hutang isi rumah rakyat dalam negara.

"Sebagaimana yang kita tahu, hutang (isi rumah) untuk kereta berlaku oleh kerana harga kereta (domestik) adalah antara yang tertinggi di Asia," ujarnya.

CIMB Investment Bank Bhd, katanya mendedahkan, sebanyak 27 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah (76.6 peratus dari KDNK) konsumer adalah berpunca oleh hutang pinjaman kereta.

Akibat dari itu, beliau mendakwa polisi protektisme Proton adalah suatu polisi yang tidak membantu rakyat mengurangkan peratusan hutang isi rumah jika dinisbahkan pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun ini.

"Masalah hutang kereta yang mahal, masalah gaji yang kecil seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak menghiraukan masalah-masalah sampingan ini.

"Masalah Proton dengan kos pengeluarannya yang masih terlalu tinggi, maka kerajaan tidak melihat persoalan-persoalan ini untuk mengatasinya," beliau menambah.

Tuntas dari itu, beliau mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I pada 15 Oktober lalu sebagai suatu belanjawan yang gagal menangani masalah peningkatan peratusan hutang isi rumah rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails