Selamat Datang

Isnin, 25 Oktober 2010

Atasi guru dibebani tugas kakitangan sokongan


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden meminta kerajaan memberikan perhatian terhadap masalah kekurangan kakitangan sokongan di sekolah-sekolah sehingga menyebabkan guru-guru dibebani dengan tugas pentadbiran.

Taib ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, di Kedah sahaja, lebih 3,000 pegawai dan kakitangan bukan guru diperlukan untuk melakukan tugasan di pejabat namun masih belum dapat dipenuhi.

"Kita terima bahawa kerja-kerja profesional memberikan nilai tambah kepada seseorang guru dalam perkhidmatan.

"Tetapi kita lihat ada dengan sebab mengutamakan nilai tambah ini menjejaskan tugas-tugas utama mereka sebagai seorang guru dan pendidik," kata beliau.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut mendakwa belum ada satu penyelarasan dari pihak kementerian mengenai pengambilan guru-guru di seluruh negara.

"Kita belum nampak satu penegasan atau satu ketetapan terutama sekali dari segi perangkaan guru-guru yang diperlukan di seluruh negara dan saya minta apakah kerajaan sedar dan akan mengatasi keadaan ini," katanya.

Sebelum itu, beliau dalam soalan asalnya meminta Mentri Pelajaran menyatakan adakah kerajaan sedar beban tugas guru-guru di sekolah bukan sahaja mendidik dan mengajar, tetapi juga dibebankan dengan tugas pengkeranian dan penjagaan stor.

Beliau ingin tahu sama ada perkara tersebut termasuk dalam bidang tugas perguruan dan langkah selanjutnya untuk mengatasinya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Fuad Zarkashi dalam jawapannya memberitahu, KPM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menangani isu beban tugas guru (JKMIBTG) 2010 yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan beban guru bertambah dan mencadangkan langkah-langkah penyelesaian bagi isu tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails