Selamat Datang

Jumaat, 15 Oktober 2010

Kes Sosilawati: Dua tertuduh mohon maaf keluarga mangsa, rakyat


October 15, 2010
U. Suresh (dua dari kiri) dan K. Sarawanan dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan. – Gambar oleh Choo Choy May
BANTING, 15 Okt – Dua lelaki yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah berhubung tuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain memohon maaf kepada keluarga mangsa dan orang ramai.

Selepas Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman, K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat di atas perbuatan yang telah mereka lakukan dan telah insaf, dalam Bahasa Tamil dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah.

Sarawanan dan Suresh yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Hurman menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Sarawanan dan Suresh diwakili oleh peguam M. Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusoff dan dibantu oleh Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.

Mereka merupakan antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lepas bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu.

Kelmarin, peguam N. Patmanabhan, pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44.

“Anak guam saya mohon diberikan peluang kedua dalam situasi ini,” kata Mohd Naguib.

Roslie dan Mohd Naguib memohon supaya Sarawanan dan Suresh dikenakan hukuman penjara serentak bagi kesalahan mereka.

Bagaimanapun, Ishak berkata di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan mereka berdua boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan juga boleh didenda.

Beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang diskaun hukuman kepada kedua-dua pesalah dan perlu dikenakan hukuman maksimum yang dijalankan secara berasingan bagi memberikan peringatan kepada yang lain daripada melakukan jenayah yang sama.

Perbuatan mereka menghapuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain serta kesan tindakan mereka terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terbabit juga perlu diambil kira, katanya.

Hurman ketika menjatuhkan hukuman tersebut berkata beliau mengambil kira tindakan tertuduh memusnahkan bahan bukti kes perbicaraan pembunuhan, kesan tindakan mereka terhadap keluarga si mati dan kepada masyarakat selain daripada latar belakang tertuduh yang mempengaruhi mereka melakukan jenayah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails