Selamat Datang

Rabu, 13 Oktober 2010

Mahasiswa mahu Puspal batal konsert Lambert


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan meluluskan konsert artis luar negara, Adam Lambert yang dijadual malam esok.

Bantahan itu disuarakan dalam satu memorandum kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) siang tadi.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Puspal di bawah bahagian perlesenan dan penguatkuasaan, Ramlah Amir di pejabatnya di bangunan Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Malaysia, dekat sini.

Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, penganjuran konsert yang akan berlangsung di stadium Putra Bukit Jalil itu akan menambahkan barah gejala sosial terutamanya di kalangan anak muda di negara ini.

Ini kerana ujarnya, Adam Lambert memang sudah diketahui umum bahawa seorang remaja yang membawa ikon 'gay' di Amerika.

"Gamis menyatakan kekesalan kami di atas kelulusan konsert ini yang ternyata bakal membawa kesan negatif kepada anak muda.

"Dalam pada Datin Seri Rosmah (Mansor) dikatakan sibuk mencari formula untuk mengatasi gejala sosial, dalam masa yang sama satu konsert artis tidak bermoral diluluskan," kata Syazwan kepada pemberita sebelum penyerahan tersebut.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada pihak penganjur mengundang artis itu.

"Apa sebab yang mendesak kerajaan untuk meluluskan kehadiran Adam Lambert sedangkan ramai lagi artis luar negara yang lain yang boleh dipanggil," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ridhuan Othman berkata, SMM mendesak kerajaan khususnya kementerian terbabit mengkaji balik garis panduan konsert melibatkan artis luar negara serta membatalkan konsert tersebut.

"Kerajaan ada masa lebih kurang sehari lagi untuk membatalkan konsert Adam Lambert.

"Kalau konsert ini diteruskan, kami akan mengerahkan mahasiswa untuk turun beramai-ramai ke stadium esok untuk membuat bantahan dengan mengedarkan risalah dan sebagainya," katanya.

Kira-kira 20 aktivis mahasiswa berhimpun di hadapan bangunan kementerian itu sambil memegang kain rentang bantahan dan dikawal oleh pihak polis.

Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira 20 minit dengan Ramlah di pejabatnya, mereka meminta Puspal menjelaskan sebab konsert berkenaan diluluskan di samping menyuarakan kembimbangan terhadap gejala hedonisme yang semakin membarah di kalangan anak muda.

Ramlah bagaimanapun berkata, Puspal tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan kerana ia melibatkan kementerian lain juga.

Namun beliau mengucapkan terima kasih kepada Gamis di atas inisiatif mereka mengadakan pertemuan dengan pihaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails