Selamat Datang

Jumaat, 22 Oktober 2010

Dr Zulkefli dipilih penuhi hasrat penduduk Galas


Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemilihan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Galas amat bertepatan dengan permintaan penduduk setempat.

Tambahan pula, Dr Zulkefli merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang juga memangku tugas Yang Dipertua berikutan kematian Chek Hashim Sulaima.

Menurutnya, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Melayu di Dun Galas akan memberi sokongan padu dan berganding bahu dengan kaum Tionghua, India dan Orang Asli bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Bagi Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, pemilihan Zulkefli Mohamad adalah bertepatan dengan kejayaan beliau yang telah memenangi undi bagi parlimen Gua Musang di Dun Galas dalam pilihan raya umum ke-12 dulu.

“Kami di pihak DAP mengucapkan tahniah di atas pemilihan beliau dan jentera DAP akan bergerak sebaik mungkin terutamanya dalam memberi penjelasan terhadap kewibawaan calon ini,” ujar beliau.

Ngeh juga berkata sebelum ini masyarakat Tionghua begitu takut untuk mengundi calon dari PAS kerana mereka telah termakan hasutan Umno yang mengatakan PAS sebuah parti yang menindas kaum lain.

“Kita akan mengambil pendekatan menjelaskan terhadap perkembangan di Perak semasa di bawah Pakatan Rakyat dulu yang mana Menteri Besarnya ialah dari orang PAS, tetapi kehidupan masyarakat lain terus mendapat pembelaan, lagi pun PAS di Kelantan sudah memasuki tahun ke dua puluh dan tiada pun kita dengan masyarakat lain ditindas atau dipinggirkan di sini,” katanya lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Dr Zulkefli telahpun dikenali ramai kerana sebelum ini pernah bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Gua Musang dalam PRU 12.

Melalui tinjauan yang dibuat sebelum ini, ramai dari akar umbi bersetuju untuk menerima beliau sebagai calon.

“Pengisyitharan malam ini sebenarnya tidaklah mengejutkan pengundi di sini, kerana mereka telah menjangka dari segi jawatan dalam partipun beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim juga berkata, dengan pengorbanan dan kesungguhan beliau bekerja untuk parti semasa Allahyarham Chek Hashim menjadi wakil rakyat telah terbukti.

“Jentera parti PAS akan meneruskan amanah ini dengan memperkemaskan setiap pelosok dan peti undi.

“Kita juga mengharapkan dengan sokongan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asli dan dokongan orang Melayu akan berlaku perubahan besar dengan meningkatkan majoriti undi dan pengisytiharan malam ini juga adalah bersempena sambutan 20 tahun pentadbiran PAS di Kelantan,” katanya lagi.

Bagi Parti Keadilan Rakyat, kesepakatan dalam Pakatan Rakyat akan diterjemahkan dengan menggerakkan jentera pilihan raya kecil di Dun Galas.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun PKR kini sedang sibuk dalam urusan pemilihan parti, namun ia tidak menghalang usaha membantu calon yang telah mendapat mandat dari pimpinan Pakatan Rakyat.

“Insya Allah dengan jentera yang kita ada, kita akan membantu sebaik mungkin rakan-rakan kita yang lain seperti PAS dan DAP dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat di sini dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, jentera Pemuda PAS sudah lama bersiap untuk bergerak membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

Menurut beliau lagi, Pemuda PAS telah berikrar untuk menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih walaupun ia bukan dari kalangan pemuda.

“Bagi kita dalam Pemuda PAS, setiap apa yang diputuskan oleh pimpinan parti itu jugalah keputusan kita dan jentera pemuda bersama dengan ulamak dan muslimat telah bersepakat untuk berjuang habis-habisan di sini bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih selesa,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails