Selamat Datang

Ahad, 13 November 2011

Sultan Muhammad V prihatin dunia akademik


| Print |
Muhammad Yusri Amin   
KOTA BHARU, 13 Nov: Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri yang dizahirkan pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri 2011 di Istana Balai Besar semalam bukan saja menggambarkan sikap Sultan Muhammad V dalam memayungi rakyat jelata, bahkan pengurniaan itu adalah sebagai pengiktirafan baginda kepada dunia akademik dan warga univsersiti umumnya.
Ini kerana pada istiadat penzahiran penerimaan ketandaan darjah kebesaran itu terdapat golongan pakar, ahli akademik dan pensyarah universiti turut menerimanya.
“Dan itu menunjukkan Tuanku memberi perhatian kepada perkembangan akademik di negara kita,” kata Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff (gambar).

Pada penzahiran pengurniaan ketandaan darjah dan kehormatan kebesaran itu Agus dikurniakan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yangt Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (D.P.S.K).
Turut menerima kurniaan kehormatan kebesaran bagi darjah yang sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Profesor Dr Rujhan Mustafa.
Menerima kurniaan yang sama Pakar Perunding Kanan Kardiologi Jabatan Perubatan Hospital Universiti Sains Malayusia (USM) Kubang Kerian, Profesor Dr Zurkurnai Yusof.
Majlis itu sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-42 Sultan Muhammad V.
“Yang penting pengiktirafan Tuanku kepada ahli akademik,” tegas Agus.
Mengulas lanjut, beliau melahirkan rasa teruja kerana Sultan Muhammad V turut memberi pengiktirafan itu kepada ahli akademik dan pensyarah universiti.
“Ramai Prof Madya mendapat pingat pada hari ini daripada Tuanku. Dan itu adalah menunjukkan Tuanku memberi perhatian kepada perkembagan akademik di negara kita.
“Dan saya, alhamdulillah, menjunjung kasih mendapat anugerah D.P.S.K, dan pada saya, saya fikir ‘ilmu’ itu akhirnya dihargai oleh baginda Tuanku,” katanya.
Beliau turut mengulas kebebasan dunia akademik.
Menurutnya, kebebasan akademik itu wajib ada pada universiti.
Ini kerana dengan kritikan dan pandangan keilmuan itulah menyebabkan universiti  itu wujud.
Beliau mengakui bahawa dari segi menyuarakan pendapat, termasuk membabitkan bidang perundangan aalah tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Saya fikir tiada halangan, dan saya sendiri tidak pernah ada halangan di UKM.
“Ini dibuktikan bahawa kejujuran akademik itu apa yang ilmu kata ianya ‘benar’ maka itu yang kita suarakan.
“Dan insya Allah, kita berperanan dalam membangunkan negara bangsa ini,” katanya sambil akur bahawa perbezaan pendapat  itu perlu diraikan.
Bahkan, kata Agus, dalam Islam perbezaan pendapat itu rahmat, dan tidak menjadi masalah.
“Itu dibenarkan oleh agama dan dibenarkan oleh undang-undang untuk kita meraikan perbezaan pendapat.
“Bahkan saya tidak ada masalah di UKM, sebab saya buat sesuatu itu di atas niat dan kejujuran akademik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails