Selamat Datang

Khamis, 24 November 2011

Gigi reput: Utusan melulu tanpa pandangan pakar



Dr Azman Ibrahim   
Berita muka depan Utusan Malaysia (Rabu, 24 November 2011) yang mengaitkan gejala kereputan gigi di kalangan kanak-kanak di Kelantan adalah disebabkan hanya lima daripada 29 loji rawatan milik Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang mempunyai sistem pemfluoridaan atau 17.9 peratus adalah disifatkan terlalu melulu dan kesimpulan yang dibuat tanpa pandangan pakar.
Untuk berlaku adil dari segi fakta, tanpa kita menafikan kebenaran  fakta akan kekurangan fluorida dalam bekalan air yang dibekalkan Air Kelantan Sendirian Berhad, mari kita merujuk kepada Kajian Epidemiologi Kesihatan Pergigian Kebangsaan (NOSHH) pada tahun 2007 di kalangan kanak-kanak Malaysia berusia enam tahun. Kajian yang sama inilah mungkin dijadikan rujukan oleh Utusan Malaysia. Kita amat memahami budaya ‘baca tak habis’ di kalangan wartawan mereka.

NOSSH mendapati 74.5 peratus mengalami masalah gigi. Kajian ini antara lain menyatakan bahawa kawasan Kuala Lumpur , mencatatkan rekod terbaik dengan 55.8 peratus kanak-kanak mengalami masalah gigi dan paling tinggi adalah Kelantan di mana 95.6 peratus kanak-kanak di situ mengalami kerosakan pada gigi susu mereka. Manakala bagi gigi kekal pula, sebanyak 10 peratus kanak-kanak mempunyai karies gigi.
Kajian Epidemiologi Kebangsaan yang dilakukan pada 2007 ini juga mendapati 93.2 peratus iaitu sembilan daripada 10 kanak-kanak berusia enam tahun di Terengganu mengalami karies gigi ataupun gigi berlubang.
Data ini menunjukkan perbezaan kadar kerosakkan gigi antara kanak-kanak di Terengganu yang dikatakan meminum air berfluorida dengan kanak-kanak di Kelantan yang dikatakan meminum air tidak berflorida hanyalah 2.4 peratus. Suatu angka perbezaan yang kecil. Saya suka mengambil perbezaan antara Kelantan dan Terengganu kerana kedua-dua negeri ini adalah berjiran dan rakyatnya mempunyai gaya hidup yang hampir sama.
Perhatikan pula fakta kajian yang menyatakan untuk gigi kekal, hanya 10% kanak-kanak mengalami karies gigi, suatu penurunan peratusan yang begitu drastik berbanding ketika kanak-kanak berusia bawah 6 tahun dengan 95.6 peratus, sedangkan tentunya mereka masih meminum bekalan air yang sama.
Apa yang ingin saya utarakan, faktor kerosakkan gigi bukanlah satu-satunya kerana bekalan air yang tidak mengandungi fluorida, tetapi lebih kepada gaya dan cara hidup, gaya pemakanan dan tahap kesedaran penjagaan gigi. Pengambilan makanan manis yang menjadi kesukaan kanak-kanak berusia di bawah 6 tahun serta kurangnya tahap kesedaran penjagaan gigi di kalangan ibu bapa adalah antara punca utama.
Sebagai pengamal pergigian profesional di Kelantan dan Terengganu sejak lebih 10 tahun lalu, serta pernah bertugas sebagai pensyarah pelatih di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Kelantan,  didapati hampir keseluruhan ibu-ibu di sini gemar memasukkan minuman bergula ke dalam botol susu anak-anak mereka, suatu amalan yang menjadi penyumbang utama kerosakkan gigi anak-anak diperingkat awal usia.
Pengalaman semasa bekerja di Iraq dahulu sebaliknya mendapati, amalan pemakanan mereka yang berbeza menyebabkan kadar kerosakkan gigi kanak-kanak di sana agak rendah walaupun negara mereka tidak pernah mengenal istilah air berfluorida.
Sekadar catatan, Pemfluoridaan air adalah penambahan paras fluorida semula jadi ke dalam bekalan air paip awam ke paras optimum untuk kesihatan pergigian. Ia  adalah selamat dan berkesan untuk mengurangkan kerosakan gigi. Dalam masa yang sama kita memahami bahawa tanggungjawab memastikan bekalan air mempunyai kandungan fluorida bukan hanya tanggungjawab Syarikat Bekalan Air negeri-negeri berkenaan, tetapi juga adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat melalui kementerian Kesihatan.
Sila rujuk kepada Rancangan Malaysia ke 9 (2006-2010) bab 20, Meningkatkan Taraf Kesihatan menyebut;
20.12 Aktiviti kesihatan pergigian dilaksana bagi menggalak kesedaran tentang pentingnya amalan pergigian yang baik untuk menambah baik kualiti hidup. Bagi mencegah pereputan gigi, pemfluoridaan bekalan air terus dijalankan. Sehubungan ini, sembilan loji rawatan air dilengkapkan dengan saluran fluorida di negeri Kedah dan Perak menjadikan bilangan loji yang dipasang penyalur kepada 249 daripada sejumlah 440 loji. Program penjagaan kesihatan pergigian yang komprehensif untuk pelajar sekolah bertujuan mengenal pasti dan merawat masalah pergigian di peringkat awal terus dilaksana dalam tempoh Rancangan yang memanfaatkan lebih 90 peratus pelajar sekolah rendah.
Silakan mereka yang berada di bilik berhawa dingin Kementerian Kesihatan untuk menjelaskan maksud pernyataan ini. Bukankah bisa difahami bahawa sebenarnya Kementerian Kesihatan mempunyai peruntukan kewangan untuk program pemfluoridaan bekalan air tetapi kenapa Kelantan dianak tirikan?
Kalau Umno ingin berpolitik, janganlah sampai hal budak-budak gigi ‘rongok’ pun nak dipolitikkan. Angka dan laporan memerlukan analisa teliti dan pandangan pakar  sebelum dibuat kesimpulan mudah dan dangkal.
Penulis berkelulusan Bachelor of Dental Surgery, University of Baghdad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails