Selamat Datang

Sabtu, 5 November 2011

PPSMI: Mahathir tak wajar masuk campur


| Print |
Khairil Abdul Rahim   
TEMERLOH, 5 Nov: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang seolah-olah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menghalang timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dianggap cuba masuk campur.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) melihat kenyataan bekas Perdana Menteri yang dianggap masih berpengaruh dalam Umno dan kerajaan itu, hanya akan mengusutkan lagi keadaan.
“Dr Mahathir sudah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun dan dasar perubahan dalam pendidikan PPSMI diperkenalkan oleh pentadbirannya. Maka setelah dibuat kajian, ratusan ribu pelajar Melayu didapati menjadi mangsa iaitu tercicir dalam pelajaran teras tersebut.

“Jadi apabila Menteri Pelajaran membuat keputusan untuk menghapuskan PPSMI dan kembali kepada bahasa ibunda, beliau (Dr Mahathir) tidak sepatutnya dilihat cuba mempengaruhi keputusan yang telah dibuat menteri betanggungjawab itu," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Mahathir dalam kenyataan di Langkawi kelmarin bahawa Perdana Menteri masih boleh menghalang Muhyiddin memansuhkan PPSMI.
Beliau dipercayai memberi respons kepada Muhyiddin yang berkata keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI muktamad walaupun cuba didesak oleh beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page).
Muhyiddin juga menolak sebarang perbincangan lagi memandangkan kerajaan sudah pun memutuskan bagi memansuhkan dasar itu pada tahun 2009 dan ia berbetulan dengan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
"Pelajar Melayu luar bandar sudah lama tertinggal walaupun terpaksa menunggu sistem tersebut kembali kepada Bahasa Melayu. Mereka tidak wajar terus menjadi mangsa kepada eskperimen yang sudah jelas menjejaskan pencapaian mereka seperti yang telah terbukti diakui oleh Menteri Pelajaran.
“Setelah beberapa tahun PPSMI diperkenalkan oleh Dr Mahathir, didapati ratusan ribu generasi pelajar menanggung kerugian kerana gagal menguasai mata pelajaran yang penting untuk berjaya melanjutkan pelajaran kepada yang tahap lebih tinggi. Pada masa yang sama tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
“Justeru sudah jelas PPSMI hanya membawa kerugian kepada bangsa Melayu. Oleh yang demikian, PAS Pahang menentang sebarang cubaan menghidupkan semula PPSMI, termasuk cubaan Dr Mahathir untuk mempengaruhi Najib,” jelas Tuan Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails