Selamat Datang

Sabtu, 12 November 2011

Demi ranking, universiti abai pensyarah tempatan?


| Print |
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 11 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa pentadbiran Universiti Malaya (UM) lebih mengutamakan pensyarah luar negara berbanding pensyarah tempatan semata-mata untuk menaikkan ranking universiti tertua di Malaysia itu.

Beliau juga meminta Kementerian Pengajian Tinggi menjelaskan tindakan UM yang semakin mendahulukan pelajar luar negara berbanding pelajar tempatan kerana ingin memenuhi kriteria untuk mendapat tempat di peringkat antarabangsa.


Usaha-usaha untuk meningkatkan taraf dan mutu pendidikan dan pengajaran di kalangan graduan ijazah pula katanya lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha pengajian di peringkat sarjana, penyelidikan dan pengeluaran jurnal daripada tumpuan kepada pelajar peringkat ijazah.

Apabila ini berlaku, maka kesannya ialah bahawa pensyarah-pensyarah tempatan mendapati bahawa mereka tidak lagi begitu dihargai dan begitu juga pengambilan pelajar-pelajar tempatan dan kualiti pembelajaran dan pengajarannya," kata beliau pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai membidas jawapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung yang menafikan laporan berhubung ramai pensyarah tempatan meninggalkan Universiti Malaya dan pengambilan pelajar baru menurun.

Beliau sebaliknya menyatakan ranking UM naik ke tangga 167 pada tahun ini berbanding 207pada tahun lepas.

Khalid berkata, tidak guna UM hanya mengejar ranking tapi pada masa yang sama mengenepikan mutu pengajian dan menganak tiri pensyarah dan pelajar tempatan.

"Sekiranya ranking itu menjadi sasaran, maka matlamat utama UM iaitu untuk mengeluarkan graduan-graduan yang bermutu, yang boleh diterima oleh industri tidak lagi tercapai...inilah masalahnya .

"Walaupun disebut bahawa ranking sudah naik kepada 167, kita kita kena ambil kira sebab dulu ianya adalah di antara 100 yang tertinggi," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, beliau juga berkata, kewujudan akta-akta yang mengongkong pelajar dan juga pensyarah seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) menghalang kecemerlangan universiti.

Ini katanya termasuk kes penggantungan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr. Abdul Aziz Bari akibat dikatakan mengkritik Sultan Selangor baru-baru ini.

"Walaupun (kes Aziz Bari) bukan di Universiti Malaya adalah merupakan bukti yang nyata bahawa budaya kebebasan dan intelektual dan academic independent itu tidak dihormati oleh institusi pengajian tinggi," katanya menyebabkan dewan menjadi riuh rendah dengan suara wakil BN yang tidak senang dengan kenyataan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails