Selamat Datang

Sabtu, 5 November 2011

Penyelarasan kakitangan awam fokus utama PR


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sekiranya mendapat mendapat membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU-13, PAS hari ini menegaskan fokus utama Pakatan Rakyat ialah untuk menyelaraskan tenaga kerja kakitangan awam, mewujudkan sistem timbang-tara yang baik dan bukannya mengecilkan (downsizing) jumlah kakitangan awam.



Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masalah utama yang melanda kakitangan awam kini ialah ketidakselarasan tenaga kerja yang menyebabkan wujudnya pertindanan tugas antara jabatan-jabatan kerajaan.
"Sebagai contoh, dalam penguatkuasaan di jalanraya sahaja, terdapat pelbagai agensi yang terlibat - antaranya polis, peronda lebuhraya, Jabatan Pengangkutan Awam, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain.
PAS yakin sekiranya tugasan tersebut dapat diselaraskan, ia akan dapat mewujudkan dan meningkatkan keberkesanan dalam perkhidmatan awam yang secara langsung juga akan meningkatkan daya saing kerajaan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut berhujah bahawa penyelarasan tugas yang efisyen dengan sistem timbang-tara yang baik akan dapat meningkatkan sikap kebertanggungjawaban dalam jabatan-jabatan kerajaan.
"Ini bakal dapat mengurangkan jumlah insiden ketirisan, keborosan dan elemen rasuah yang dilaporkan dalam Laporan Audit setiap tahun.
Itulah fokus utama Pakatan Rakyat untuk mengubah nasib kakitangan awam sekiranya diberi mandat berkuasa nanti dan bukannya soal mengecilkan jumlah kakitangan awam," tegas beliau.
Tambah beliau, PAS yakin rakyat terutamanya para kakitangan awam bakal mengecapi pulangan yang lebih baik berbanding zaman pemerintahan BN sekiranya PR mengambilalih tampuk pemerintahan nanti selepas PRU-13.
"Dengan pentadbiran bersih dan kebolehan Pakatan Rakyat seperti yang ditunjukkan di negeri-negeri kuasaan mereka, sekiranya diberi mandat nanti, PAS yakin pendapatan dan bajet kerajaan akan bertambah sihat dengan pengurangan hutang negara secara berperingkat.
Pada masa itu, rakyat, terutamanya para kakitangan awam bakal mengecapi pulangan yang lebih baik berbanding zaman pemerintahan BN. InsyaAllah," kata beliau.
Oleh itu, kata beliau, apa yang penting sekarang ialah untuk menyedarkan seluruh kakitangan awam bahawa mereka perlu bangkit membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik.
"Soal pengecilan (downsizing) atau penambahan (upsizing) kakitangan awam bergantung kepada kepentingan dan keperluan masa depan negara.
Soal mengecilkan jumlah kakitangan awam tidak timbul kerana prospek keperluan mana-mana negara akan diselaraskan dengan keperluan pembangunan negara yang sentiasa bertambah tahun ke tahun," tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails