Selamat Datang

Jumaat, 25 November 2011

Pemuda Parit Buntar Hantar 1,000 Pemuda HEMPAP

Parit Buntar - Dewan Pemuda PAS Parit Buntar bersedia menghantar 1,000 pemuda ke Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) yang dijadualkan berlangsung pada 27 November ini di Dataran Purnama, Kampung Kedah di sini. Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, pimpinan pemuda diperingkat kawasan telah turun padang ke cawangan-cawangan memberikan taklimat menemui seluruh jentera pilihanraya pemuda untuk hadir ke program yang bakal menghimpunkan 10,000 pemuda dari seluruh negeri Perak.



 
Objektif program ini diadakan adalah untuk menghimpunkan seramai mungkin petugas pilihanraya pemuda PAS yang akan digembeling peranan mereka untuk menghadapi Pilihanraya Umum 13 (PRU13) tidak lama lagi. Antara lainnya ia bertujuan menyemarakkan semangat motivasi para pemuda melalui ucapan amanat yang bakal disampaikan oleh pimpinan pemuda PAS diperingkat negeri dan juga nasional. Semua pemuda dan hadirin diminta memakai baju kuning bagi menyemarakkan gelombang kuning sebagai tanda kekuatan pemuda PAS di negeri Perak.

Program tersebut akan dimulakan jam 9.00 pagi. Pelbagai aktiviti dan acara telah diatur seperti ucapan pimpinan seperti Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hasan, Timbalannya Ustaz Nik Abduh Nik Aziz, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Ustaz Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husain dan ramai lagi bakal berucap memberikan amanat kepada ribuan pemuda pada hari tersebut.

Dalam program ini juga adalah pelancaran Amal Riders Club (ARC) negeri Perak yang menampilkan bekas jaguh motosikal seperti Wazi Abdul Hamid dan Yaser Said, gerai jualan, derma darah, jamuan tengahari dan banyak lagi acara yang disediakan.

Selaku tuan rumah kita akan sedaya upaya menyediakan prasarana terbaik bagi melicinkan perjalanan program. Justeru kami mengucapkan selamat datang ke seluruh tetamu yang hadir ke program ini. Untuk makluman umum program peringkat tempatan juga akan diadakan iaitu sehari lebih awal pada 26 November dimulakan kuliah maghrib oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz di Surau Mujahideen, Kampung Kedah, manakala jam 9.00 malam akan diadakan Pidato Pentas Pemuda yang menampilkan Ustaz Nasrudin Hasan, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz, Dr Raja Ahmad Al-Hiss, Mohd Sani Hamzan dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Manakala 27 November selepas program HEMPAP pada pagi itu, Dewan Muslimat PAS Parit Buntar akan melancarkan Jentera Pilihanraya Muslimat PAS Parit Buntar pada jam 3.00 petang dan acara penutup diisi dengan program ceramah oleh Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Sidek Noor pada jam 9.00 malam.

Justeru kita mengalu-alukan seluruh pemuda dan penyokong PAS agar dapat hadir ke program ini. Kita berharap himpunan ini akan dapat menyuntik semangat para petugas bagi menawan kembali negeri Perak dalam PRU13yang dirampas secara zalim oleh UMNO/BN.

Peta ke lokasi himpunan boleh rujuk di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails