Selamat Datang

Selasa, 29 November 2011

Malaysia makin mundur dalam amalan demokrasi

| Print |
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kesal dengan kegagalan Kerajaan Umno BN menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat majmuk di negara ini mengenai konsep keadilan dalam Islam.
Abdul Hadi sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman sebelum ia diluluskan petang tadi berkata, kerajaan di negara Barat sendiri melakukan pembaharuan dalam demokrasi selepas merujuk kitab feqah dalam Islam.
Sebaliknya beliau berkata, Malaysia yang mendakwa sebuah negara Islam semakin mundur dalam amalan demokrasi.
"Di negara barat perubahan demokrasi purba ke demokrasi moden dilakukan daripada kajian orientalis daripada kitab-kitab feqah Islam.
"Mengapa kita yang menganut Islam yang memimpin kerajaan, dan Umno sebagai tulang belakang (kerajaan) tak boleh tunjukkan contoh yang baik dalam masyarakat majmuk," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurut Abdul Hadi, kerajaan meninggalkan konsep "mendengar sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap rakyat" seperti yang diajar dalam Islam, menyebabkan kerajaan sesuka hari meminda undang-undang yang mencengkam kebebasan rakyat.
"Dalam Islam ada budaya memberontak iaitu mengangkat senjata menentang kerajaan, itupun ditangani dengan baik dalam Islam.
"Mengikut Islam, kerajaan akan dengar aduan mereka. Kalau aduan mereka benar, kerajaan yang salah, kerajaan wajib ikut. Sekiranya aduan mereka salah, mereka degil, barulah kerajaan boleh bertindak. Konsep ini kita tinggalkan khususnya dalam negara aman.
"Saya harap kerajaan jangan salah guna kuasa majoriti yang ada pada mereka tetapi mestilah lebih berhemah dalam meminda sebarang undang-undang," katanya.
Tambahnya, RUU Perhimpunan Aman menujukkan kerajaan bertindak sebelum terjadinya perhimpunan aman sedangkan rakyat berhak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dalam sesuatu isu melibatkan kerajaan.
"Rang undang-undang ini terdapat kemungkinan sebelum apa-apa tunjuk perasaan sudah bertindak. Belum melihat sudah bertindak, tak diberi kebenaran.
"Setelah ada tunjuk perasaan boleh berlaku provokasi. Provokasi bukan daripada penunjuk perasaan tapi dari pihak lain. Maka berlakulah tindakan kerajaa yang zalim," katanya sambil menyifatkan RUU itu jauh terkebelakang dalam sistem demokrasi.
Sementara itu, RUU tersebut berjaya diluluskan dengan undi suara selepas dibahaskan kira-kira empat jam oleh enam wakil BN dan Pakatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails