Selamat Datang

Rabu, 9 November 2011

Nilai aset air Selangor RM12 bilion



Kerajaan Negeri Selangor   
Setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya tersendiri. Begitulah juga dengan isu air yang hangat diperkatakan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Apatah lagi kebanyakan dari yang cuba memberi komen, saranan dan ugutan tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan pengetahuan dalam isu air ini. Dalam pada kita kesal kerana kepincangan yang telah didedahkan dalam pengurusan air di negeri Selangor ini dipandang ringan oleh Kerajaan Persekutuan, namun kita bersyukur akhirnya seluruh rakyat memahami isu sebenar, punca dan akibat daripadanya.

Izinkan saya mengambil sedikit masa menerangkan isu ini dengan lebih mendalam. Penswastaan industri air di Selangor bermula pada tahun 1994 dengan operasi rawatan oleh Puncak Niaga, diikuti oleh SPLASH, ABASS dan akhirnya SYABAS pada Disember 2004, hanya memberi lebih manfaat kepada syarikat konsesi berbanding rakyat negeri Selangor. Selepas kelemahan operasi SYABAS didedahkan dalam Laporan Audit Negara pada tahun 2008, satu notis telah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberitahu penamatan konsesi SYABAS. Namun ia tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.
Sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha membolehkan penstrukturan industri air dibuat untuk manfaat rakyat negeri ini.
Sejak itu dan sehingga Januari tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat tiga tawaran untuk mengambil alih dan menstrukturkan semula industri air di Selangor dan ia telah diterima oleh ABASS dan SPLASH. Puncak Niaga dan juga SYABAS kekal menolak tawaran ini. Meskipun terdapat kelemahan dalam pengurusan SYABAS, misalnya dalam pelaburan penukaran paip, kenaikan tarif air yang tentunya boleh menambah beban rakyat Selangor cuba diusulkan. Jika kita mengambil kira kadar kenaikan tarif air pada tahun 2009 dan 2012, setiap isi rumah di Selangor akan berdepan dengan kenaikan bil air sehingga 71% berbanding kadarnya pada tahun 2008 sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan cadangan kadar kenaikan tarif tersebut.
Kini, rakyat cuba dimomokkan pula dengan kemungkinan Selangor menghadapi masalah air menjelang tahun 2014. Kerajaan Negeri Selangor memandang serius perkara ini kerana sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, nasihat oleh pakar industri air telah diambil. Berdasarkan unjuran pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang ada mampu menampung keperluan seluruh Lembah Klang adalah sehingga 2019. Momokan kepada rakyat untuk mendesak Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan Projek Penyaluran Air Mentah adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana kajian berkaitan sumber lain serta pengurangan kadar air tanpa hasil (non-revenue water) tidak dilakukan.
Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak hakikat bahawa Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor boleh memberikan tambahan kepada bekalan air yang diperlukan, namun biarlah ia dibuat dengan lebih teliti agar ia dapat dilaksanakan dengan baik dan telus. Tuntutan Kerajaan Negeri Selangor dalam hal pengurusan dan bekalan air yang tidak memuaskan oleh SYABAS dan Puncak Niaga mesti turut diambil kira.
Malangnya kerajaan Persekutuan nampaknya lebih sanggup membela kroni perniagaan berbanding rakyat Selangor. Namun ia tidak mematahkan semangat kita untuk terus menjaga kepentingan rakyat Selangor. Kerajaan Negeri telah melantik Juru Perunding Kejuruteraan; Tetuan Erinco Sdn Bhd untuk melakukan carian, semakan dan penandaan ke atas semua asset air Selangor dan seterusnya melakukan nilaian terhadap aset-aset tersebut. Harus diingat, aset-aset negeri ini telah digunakan secara percuma oleh kroni yang mendapat konsesi air sedangkan rakyat pula yang dibebankan dengan caj yang tinggi.
Pada Jun 2011 maka selesai penilaian yang dilakukan oleh firma tersebut dan nilai asset air rakyat Selangor berjumlah RM12,000 ( Dua Belas Ribu ) juta. Inilah yang saya maksudkan sebentar tadi bahawa setiap perkara yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya. Pertarungan antara rakyat Selangor, Syarikat Konsesi Kroni dan Kerajaan Persekutuan akhirnya telah memberi kita makluman bahawa rakyat Selangor mempunyai harta air berjumlah RM12 ribu juta. Harta yang selama ini tidak dipedulikan kerajaan terdahulu dan sewenang-wenangnya digunakan oleh syarikat kroni ini adalah milik rakyat Selangor.
Nilai aset air negeri ternyata jauh lebih tinggi daripada aset air pemegang konsesi. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu sebagai satu pendekatan memulangkan hasil negeri untuk rakyat. Ini bererti jika setiap isi rumah menggunakan 20 meter padu atau lebih setiap bulan, Kerajaan Negeri Selangor membayar sebanyak RM11.40 sebulan atau RM136.80 setahun untuk mereka. Pemberian ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan bagi isi rumah, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
Meskipun kita telah membuktikan rakyat Selangor mempunyai lebih hak terhadap pengurusan air namun nampaknya Persekutuan masih mahu terus memihak kepada syarikat kroni; SYABAS dan Puncak Niaga. Pada Mei 2011, Kerajaan Negeri Selangor telah menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan dan mencadangkan satu model holistrik penstrukturan semula industri air Selangor. Model ini akan menyaksikan Agensi Bertujuan Khas Negeri (State Special Purpose Vehicle) menguruskan industri air ini secara meluas, daripada rawatan sehingga kepada agihan, pengeluaran bil serta khidmat pelanggan dan memajakkan aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); agensi yang ditubuhkan untuk memiliki seluruh aset air negara.
Dengan industri air negara telah distrukturkan melalui pengenalan Akta Industri Perkhidmatan Air (2006), cadangan Kerajaan Negeri Selangor memerlukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan kuasanya seperti yang terdapat dalam Akta tersebut untuk mengarahkan semua syarikat konsesi menyertai rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk pengambilalihan.
Kerajaan Negeri Selangor juga menawarkan rundingan diletakkan di bawah arbitrasi antarabangsa dan sebarang keputusan yang terhasil akan diterima sebagai keputusan akhir. Namun, Kerajaan Persekutuan tidak mahu berbincang mengenainya. Malah, mesyuarat terakhir antara Kerajaan Persekutuan dan pegawai Kerajaan Negeri pada September 2011 menunjukkan mereka hanya berminat untuk mendesak Projek Pemindahan Air dan tidak mahu berbincang tentang isu penstrukturan industri air yang memberi manfaat kepada semua pengguna di Selangor.
Selain menolak perbincangan ini, Kerajaan Persekutuan turut membiayai Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), sebuah syarikat dalam senarai bursa yang pemegang saham majoritinya ialah SYABAS dan Puncak Niaga. Pembiayaan ini dilakukan melalui subsidiari milikan penuh PAAB yang telah menandatangani persetujuan pada 1 November 2011 untuk membeli bon yang dikeluarkan oleh Puncak Niaga pada nilai nominal RM546,875,000 daripada PAAB. Puncak Niaga Holdings Berhad menggunakan dana yang diterima daripada pembelian semula bon yang dikeluarkan pada tahun 2001.
Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa sebarang perbincangan tentang masa depan Projek Pemindahan Air perlu dibincangkan bersama penstrukturan industri air di Selangor. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pada Oktober 2011 kerajaan Selangor telah melantik syarikat juruperunding HALCROW untuk membuat audit kewangan dan teknikal ke atas SYABAS. Apa yang mahu ditegaskan ialah Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat menerima Projek Pemindahan Air dijalankan bersama industri air yang lemah dan pada kadar yang membebankan rakyat.
Sekiranya cadangan Kerajaan Negeri Selangor diterima, kenaikan tarif sebanyak 71% yang dicadangkan oleh SYABAS boleh dielakkan. Di bawah cadangan Kerajaan Negeri Selangor juga, Agensi Bertujuan Khas Negeri hanya akan melaksanakan peningkatan pada kadar 12% sahaja bagi penjimatan dan mengelakkan pembaziran. Justeri, kenaikan tarif hanya akan berlaku pada kadar minima yang boleh dibiayai bersama.
Untuk makluman Tuan-tuan Yang Berhormat, lebih 1.2 juta isi rumah menerima pemberian air 20 meter padu ini dan jika kita mengambil jumlah isi rumah seramai empat hingga lima orang, bermakna hampir seluruh penduduk di Selangor menerima sumbangan ini.
Sedutan pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2012 yang bertema Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di persidangan Dewan Negeri pada 9 November 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails