Selamat Datang

Jumaat, 11 November 2011

Halang rakyat Malaysia luar negara mengundi tindakan dangkal


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 11 NOV: PAS hari ini menempelak MCA dan menyifatkan cadangan parti itu untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, mengundi dalam pilihan raya umum sebagai dangkal dan cetek pemikiran.

“Kalaulah atas alasan mereka tidak mendapat maklumat sebenar, maka apa beza dengan masyarakat pedalaman yang hanya mendapat maklumat sehala dari media perdana sahaja.

Ia juga tidak seimbang dan meragukan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Ketika membentangkan pandangan parti kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya (PSC), ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Ei Kim Hock berkata, cadangan untuk memperluaskan undi kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara adalah tidak munasabah kerana mereka menerima maklumat yang "meragukan".

"Pengundi yang menetap di luar negara tidak harus dibenarkan untuk mengundi," katanya sambil menambah parti itu memandang serius perkara itu kerana mereka yang tinggal di luar negara tidak mengikut perkembangan dalam negara dan tidak memahami sepenuhnya keadaan di Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata hujah MCA tidak boleh dipakai kerana “rakyat Malaysia di luar negara samada sebagai pelajar atau pekerja, mereka mempunyai akses kepada media baru dan mengikuti perkembangan semasa dalam negara.”

“Andaian mereka bahawa rakyat Malaysia di luar negara tidak mengetahui apa yang berlaku dalam negara; seolah-olah menggambarkan MCA sendiri yang kolot kerana tidak mengetahui perkembangan media baru yang sudah menjangkaui sempadan global,” selar beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Rakyat di mana mereka berada, hujah Tuan Ibrahim kini bebas mendapat maklumat, bahkan kemudahan media alternatif di luar negara lebih baik dari kawasan pendalaman yang hanya bergantung kepada media perdana yang dikuasai oleh BN sahaja.

“Daripada melahirkan kebimbangan terhadap hak undi rakyat Malaysia yang layak mengundi, lebih baik MCA memokuskan bagaimana untuk menghalang konspirasi yang membolehkan warga asing mengundi di negara ini,” tambah beliau.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan agar Suruhanjaya Pilihan Rayat (SPR) tidak menyekat hak rakyat Malaysia walau di mana mereka berada untuk mengundi sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

“Sebarang usaha menyekat hak mengundi adalah pencabulan prinsip demokrasi yang menjadi dasar politik negara,” terang beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails