Selamat Datang

Selasa, 22 November 2011

Gelombang Rakyat Bersih 3.0 sedia cabar Umno

| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 22 Nov: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh ketegasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang tidak akan membubarkan Dun Selangor sehingga Jun 2012 walaupun Perdana Menteri Malaysia membubarkan parlimen dalam jangka waktu terdekat.
“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid kerana mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengagihkan dan menyelesaikan peruntukan-peruntukan Bajet 2012 yang telah diluluskan oleh Dun Selangor baru-baru ini kepada rakyat keseluruhannya,” kata pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Katanya, keprihatinan dan kesungguhan Khalid untuk mempastikan rakyat mendapat manfaat daripada Bajet 2012 yang telah diluluskan sewajarnya dipuji dan dicontohi oleh pemimpin Umno BN.
Tambahnya, pihaknya sepatutnya MCA perlu mencabar Umno supaya membaiki sistem pilihanraya dalam negara yang semakin tempang dan tidak berlaku adil kepada parti pembangkang daripada terus menerus menghamburkan fitnah dendam kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Walaupun begitu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia telah melakukan persediaan menyeluruh untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 pada bila-bila masa.
Beliau menambah, jentera pemuda PAS di semua peringkat telah bergerak lancar dengan program-program yang telah disusun untuk mendekati para pengundi terutamanya pengundi muda.
Baru-baru ini, ujarnya Konvensyen Pilihanraya Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan telah mengumpulkan hampir 500 orang petugas ‘utama’ jentera pemuda negeri-negeri dan kawasan-kawasan.
Menurutnya, pengisian program yang menyentuh motivasi dan penumpuan gerak kerja yang teratur di saat akhir oleh pimpinan PAS Pusat telah memberikan suntikan semangat juang yang baru kepada para peserta untuk mempastikan kemenangan mutlak PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara Malaysia yang tercinta ini.
Para peserta juga, jelasnya telah membulatkan tekad dan azam untuk menyahut seruan dan cabaran Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli untuk turun sekali lagi memenuhi pusat Bandaraya Kuala Lumpur dengan menggerakkan Gelombang Bersih 3.0 sekiranya kerajaan masih berdegil untuk tidak membersihkan sistem pilihanraya dan mengambil pandangan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) berkenaan penambahbaikan sistem pilihanraya di dalam negara ini.
“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat sekiranya beliau ingin menghadapi Gelombang Rakyat Bersih 3.0 yang akan menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional, insya Allah,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails