Selamat Datang

Rabu, 6 Jun 2012

Malang sungguh Perdana Menteri kita

Syamila Najman, 05 Jun 2012

KOMENTAR Nampaknya kerajaan BN diterajui Umno terperangkap lagi. Himpunan Jutaan Belia jauh sekali mahu menandingi Bersih 3.0 atau Himpunan Hijau di Alor Setar.

Malang sungguh bukan keberkatan dicari, sebaliknya bala diundang. Bayangkan kos sehingga USD300,000 (RM900,000) semata-mata membawa tiga kumpulan pop Korea (K-pop) membuat persembahan pada program tersebut.

Jumlah berkenaan didedah Ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed. Itu belum lagi cerita soal maruah agama yang digadai.

Bagi menutup malu menteri berkaitan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf, seperti dilapor media massa.


Sebelum itu beliau memberitahu kos bagi membayar kumpulan Dal Shabet, Teen Pop dan U-Kiss - akan ditanggung penaja, Stadium First Sdn Bhd.

Hari ini semua pihak kecoh. Lagi kecoh di laman Facebook. Walaupun ada yang melatah dengan pembatalan ceramah Ustaz Azhar Idrus di Putrajaya sehingga memaksa penganjur memindahkan ceramahnya ke sebuah masjid di Puchong.

Di halaman depan Mingguan Malaysia terpampang dengan gahnya sekeping gambar “jutaan” belia sedang mendengar ungkapan keramat Datuk Seri Najib Razak.

Mereka dilihat membawa bendera negeri masing-masing. Belia dibekal t-shirt bertulis “Saya sayang PM”. Mereka bertanding banner untuk menentukan siapa yang lebih sayang PM.

PM pula memuji sakan. Katanya, inilah belia yang boleh menjadi contoh untuk menjamin masa depan negara.

“Yang sopan, yang berperaturan, dan boleh digantung harap. Belia yang menendang polis bukanlah yang boleh menjamin masa depan negara,” ujar Najib di majlis itu.

Pada awal mungkin ada yang teruja dengan kehadiran belia di himpunan jutaan terbabit apabila media tradisional cuba memberi gambaran kehadirannya seumpama Bersih 3.0.

Sebaliknya tiba-tiba semua orang terkejut besar. Sekeping gambar muncul di Facebook (FB). Kemudian muncul lagi beberapa lagi gambar artis-artis kecil dan mulus dengan pakaian lucah naik ke pentas. Mereka menari ala erotik di hadapan PM kita.

Tarian penuh aksi. Tidak tahulah wasotiyyah mana yang digunapakai Najib di saat itu. Astaghfirullahal azhim. Inilah yang disajikan kerajaan BN kepada belia kita di atas nama IMalaysia.

Satu Malaysia terbeliak mata. Gara-gara FB kerajaan BN jadi kaget. Menteri pun jadi gelabah. Banyak suara termasuk mufti bangkit menyatakan rasa kesal dan jijik.

Jijik kerana kerajaan sanggup menghidangkan menu lucah untuk belia. Tidak cukup dengan sukan lasak, persembahan tarian, artis, drag race, teater Menora, drift, pemilihan pelakon secara terbuka, artis-artis genit dari Korea diundang khas bagi menjamu mata.

Rupa-rupanya kata PM Najib, ia semata-mata demi orang muda. Kalau begitu, benarlah laungan PM, "Kita harus tahu memilih antara intan dan permata, siapa yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini."

Nampaknya strategi memancing orang muda tidak mengena, bahkan jadi senjata makan tuan. Malang sungguh PM kita semua yang dibuat tidak menjadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails