Selamat Datang

Isnin, 4 Jun 2012

25% potongan cukai pintu pangsapuri kos rendah

Harakahdaily, 04 Jun 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan pemberian potongan 25 peratus cukai pintu kepada semua pemilik pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor.


Potongan itu akan berkuatkuasa serta merta selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengesahkan pemberian diskaun berkenaan pada  Rabu ini, lapor Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar.

Bagaimanapun, potongan 25 peratus itu hanya layak kepada pemilik pangsapuri kos rendah yang mendiami rumah mereka manakala pemilik yang menyewakan kepada orang lain, tidak layak  menerima pemberian istimewa ini.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, pemilik boleh memohon kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dipertanggungjawab untuk memastikan hanya yang layak sahaja yang mendapat diskaun tersebut.

“Kita juga akan beri insentif kepada JMB supaya mereka menjalankan kerja efektif memastikan diskaun tersebut dapat dinikmati oleh mereka yang berhak,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Penyerahan 50 lori pemampat sampah (kompaktor) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ dan  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,  hari ini.

Daripada 50 lori yang berharga RM14.5 juta itu, 28 unit diserahkan kepada MBSA, 18 unit kepada MBPJ,  dua unit untuk Hebat Abadi iaitu anak syarikat KDEB Waste Management  manakala baki dua unit lagi digunakan oleh bengkel untuk perkhidmatan sokongan.

Menteri Besar berkata, diskaun cukai pintu dapat diberikan susulan  kejayaan  Kerajaan Negeri mengurangkan kos pengurusan kutipan dan pelupusan sampah sebanyak RM100 juta setahun.

“Dari RM100 juta ini, saya gunakan 50% untuk memterjemahkan kecekapan kita untuk kesenangan rakyat. Dengan RM50juta ini,  Kerajaan Negeri boleh memberi diskaun 25% cukai pintu untuk pangsapuri kos rendah.  Inilah dikatakan hasil negeri untuk rakyat.  Lebih banyak hasil, maka banyaklah manfaat untuk rakyat,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata, penjimatan ini dapat dilakukan hasil pengurusan telus dan bertanggungjawab yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Di bawah penswastaan melalui Alam Flora sebelum ini,  rakyat tidak mendapat manfaat yang sebaik mungkin sedangkan penswastaan sebenarnya perlu melihat kepentingan rakyat bukan kontraktor sahaja.

“Kerajaan Negeri mampu  ambil alih tugas Alam Flora dan kita telah pun lakukannya. Bukan sahaja kita memberi perkhidmatan yang lebik baik tetapi juga dengan kos yang berpatutan,” kata Menteri Besar.

Beliau juga berharap dengan adanya 50 lori pemampat sampah , kerja pengurusan sampah akan berjalan dengan lebih lancar.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan membeli lagi 50 lori untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

KDEB  telah menandatangani perjanjian dengan pembekal di mana lori pemampat sampah yang rosak akan diganti baharu untuk sementara waktu sehingga lori berkenaan siap dibaiki.

“Menerusi perjanjian ini, syarikat pembekal akan menggantikan lori lain sementara menunggu lori rosak siap dibaiki. Justeru, kita tiada alasan kekurangan lori pemampat sampah kerana rosak,” kata Menteri Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails