Selamat Datang

Selasa, 20 Oktober 2009

Muslimat Pembangun Ummah






Muslimat memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ummah. Allah swt tidak membezakan antara peranan kaum muslimin dan muslimat. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri walaupun terdapat perbezaan antara keduanya dari segi hak dan tugas mereka dibidang ibadat atau kemasyarakatan. Perbezaan ini berlaku kerana tabiat semulajadi yang hikmahnya hanya diketahui olah Allah swt. Umpamanya muslimat tidak diwajibkan menunaikan fardhu Jumaat. Begitu juga muslimat hanya mendapat separuh daripada bahagian muslimin dalam pembahagian harta pesaka.

Namun begitu peranan muslimat bolehlah dibahagikan kepada tiga golongan iaitu muslimat sebagai isteri,muslimat sebagai ibu dan muslimat sebagai anggota masyarakat. Peranan muslimat sebagai seorang isteri adalah untuk memberi ketenangan kepada suaminya. Sebagaimana Allah swt telah berfirman yang mafhumnya,

'Dan di antara tanda keagungan Allah itu bahawa ia menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri isteri-isteri supaya kamu dapat menenangkan jiwa kamu disampingnya. Dan Allah menjadikan di kalangan kamu itu rasa kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu (tanda yang jelas) bagi orang yang berfikir.(Surah Ar-Rum:21)

Walaupun demikian tidak semua isteri boleh memenuhi peranan ini kerana terdapat juga isteri yang tidak selari aqidah dan pemikirannya dengan para suami sehingga menyebabkan berlakunya masalah. Ini jelas dilihat dalam firman Allah swt yang mafhumnya,

'Allah swt telah mengadakan suatu contoh bagi orang kafir, (iaitu) isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut dimana isteri-isteri itu berada dibawah naungan dua orang dari hamba-hamba kami yang soleh, lalu isteri-isteri itu mengkhianati suaminya masing-masing. maka tidak terdaya oelh suami mereka untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah walaupun sedikit, dan isteri-isteri itu diperintah supaya memasuki neraka bersama-sama mereka yang memasukinya.(surah At-Tahrim:10)

Tindakan isteri-isteri nabi Nuh dan nabi Lut itu berlawanan dengan ajaran Allah swt apabila mereka menambahkan kesulitan terutama kepada suami masing-masing yang sedang menjalankan tugas dakwah Islamiyyah. Kedudukan mereka sebagai isteri Nabi-Nabi tidak dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. Berbeza dengan kedudukan isteri Firaun (Asiah binti Muzahim)yang menjadi contoh teladan apabila beriman dengan Allah swt walaupun hidup dibawah naungan seorang suami dan kerajaan yang kafir. Ini dapat dilihat dalam firman Allah swt yang mafhumnya,

'Dan Allah swt membuat contoh yang baik bagi mereka yang beriman(iaitu) isteri Firaun ketika dia berkata: Ya Allah! binalah bagiku sebuah rumah disampingmu di dalam syurga. Selamatkanlah aku dari Firaun dam amalan jahatnya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim itu.'(surah At-tahrim:11)

Bertapa pentingnya isteri yang solehah, Nabi Muhammad telah bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari yang maksudnya

' Tidak sesuatu yang lebih bermanafaat bagi seorang mukmin selepas dari bertaqwa kepada Allah swt selain dari isteri yang soleh, apabila dia memerintah sesuatu, ditaatinya, apabila dipandang kepadanya dia digembirakan olehnya dan apabila dia membuat giliran, diterimanya dengan senang hati dan apabila dia ketiadaan di rumah, menjaga dia akan dirinya dan harta benda suaminya.'

Suri teladan yang baik boleh didapati daripada Ummul Mukminin Khadijah bt Khuwailid, Ummu salamah dan lain-lainnya. Khadijah bt Khuwailid bukan sahaja hartawan tetapi tidak pernah bersikap angkuh dan sombong terhadap suaminya. Malahan segala hartanya disumbangkan untuk perjuangan Islam selain dari semangat yang tidak pernah luntur ditiupkan kepada Rasulullah.

Kisah yang berlaku kepada Rasulullah yang pulang ke rumah dalam keadaan terketar-ketar lalu disuruh isterinya Khadijah menyelimutkannya. Apabila baginda merasai sedikit ketenangan lalu diceritakan peristiwa yang berlaku di gua Hira' lalu dengan lemah lembut khadijah menjawab, "Bertenanglah wahai anak bapa saudaraku. Demi orang yang berkuasa terhadap Khadijah, saya harap semoga kamu menjadi nabi kepada umat ini". Kata-kata Khadijah ini menghilangkan rasa gelisah Rasulullah saw.

Begitu juga kisah baginda semasa berlakunya Perjanjian Hudaibiyyah di mana Rasulullah menyuruh para sahabat bercukur dan menyembelih dam tetapi tidak dilakukan oleh mereka. Lalu Rasulullah masuk ke khemah dan mengadu kepada Ummu salamah. Ummu Salamah pun memberi padangan agar baginda sendiri dahulu bercukur dan menyembelih dam. Nescaya perbuatan baginda akan diikuti oleh para sahabat dan ternyata isteri baginda itu dapat menolong menyelesaikan masalah baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails