Selamat Datang

Khamis, 29 Oktober 2009

Jalan Dakwah


Jalan dakwah adalah jalan yang satu. Di atas jalan inilah Rasulullah saw dan para sahabat baginda berjalan dengan taufiq dari Allah swt. Mereka berjalan dengan berbekalkan iman,amal,kasih sayang dan persaudaraan. Rasulullah menyeru mereka kepada iman, amal dan kemudiannya menyatukan hati-hati mereka di atas dasar cunta dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman dan kekuatan aqidah dengan kekuatan persatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah contoh tauladan. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya mesti menang walaupun ditentang oleh semua penghuni muka bumi ini.

Seruan dakwah Rasulullah saw tersemat kukuh di hati mukminin sehingga mereka berusaha untuk menanamkan keimanan di hati umat Islam supaya mengamalkannya di segala kegiatan hidup mereka. Allah akan menolong mereka, membantu mereka dan menunjukki ke jalan yang benar dan lurus.

Tujuan berdakwah adalah untuk menuju kepada Allah swt. Kita beriman kepadaNya. Kita melihat segala sesuatu untuk Dia didalam hidup kita. Kita beribadah kepadaNya dengan segenap kesungguhan. Kita mencari redhaNya di segala usaha kita dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara di dalam segala kehidupan kita dengan penuh ikhlas, tulus yang sempurna dan yakin yang sebenar-benarnya bahawa disitulah terletaknya bahagia yang sejati, hidayah yang hakiki dan kejayaan yang hakiki.

Tugas dan kepentingan dakwah adalah sangat besar dan agung iaitu memimpin dunia, mengajar kemanusiaan seluruhnya kepada sistem Islam, cara hidup Islam, ajaran yang baik dimana manusia tidak mungkin bahagia tanpanya. Tugas ini adalah tugas yang bukan tugas juziah, suku-sukuan atau sebahagian-sebahagian atau hanya untuk mencapai tujuan yang terbatas dalan jurusan tertentu sahaja seperti politik,ekonomi atau sosial. Bahkan bukan hanya untuk daerah atau tempat tertentu atau terbatas kepada satu bangsa atau tanahair tertentu sahaja. Ia adalah satu tugas yang agung meliputi segenap jurusan hidup kepada seluruh manusia dan kemanusiaan sejagat atau seluruh makhluk Allah swt demi kebaikan dan kebahagian yang paling sempurna.

Firman Allah swt yang mafhumnya;
' Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu' (Az-Zariat: 50)

Balasan kepada mereka yang menjalankan kerja-kerja dakwah sangatlah besar. Sudah tentulah apa yang ada di dunia ini sangatlah kecil melainkan balasan Syurga yang seluas langit dan bumi dan disediakan di dalamnya apa yang tidak pernah dilihat oleh mata tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di dalam fikiran. Di sana mereka akan bersama-sama dengan nabi-nabi, para siddiqin, para syuhada dan para solihin sebagai sebaik-baik sahabat. Bahkan mereka terselamat dari azab neraka dan kemuncaknya ialah mendapat keredhaan Allah swt.

Firman Allah swt yang mafhumya;
' Dan keredhaan Allah swt adalah lebih besar, itu adalah keberuntungan yang besar'. (At-Taubah: 72)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails