Selamat Datang

Ahad, 25 September 2011

Takut hudud Ibarat takut ‘hantu’


| Print |
Khairul Azlam Mohamad   
KUALA TERENGGANU, 25 Sept: PAS menyifatkan golongan yang takut kepada hukum hudud sama seperti manusia yang takut kepada ‘hantu’.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata ketakutan itu hanya disebabkan momokkan pihak tertentu sedangkan mereka belum dan tidak pernah pun melihatnya.

Beliau merujuk kepada dakwaan bahawa banyak pihak pula yang takut kepada penubuhan Negara Islam dan hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

“Banyak orang takut Negara Islam. Usahkan hudud malah takut kepada Negara Islam. Orang takut kepada Negara Islam ini macam takut ke ‘hantu’. Orang yang takut kepada hantu itu tidak tahu pun bagaimana hantu tetapi takut kepada hantu.

“Hudud Islam pun begitu juga, takut kepada hudud. Kenapa takut hudud, tidak tahu. Melayu, India, Cina sama,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Kebajikan Insaniah di Dewan Permata, Permai Inn, dekat sini, 23 September lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan pernah menjemput para ilmuan di kalangan ahli pondok dan pensyarah Universiti bagi membincangkan isu hudud sebelum diluluskan di Kelantan.

“Sekarang timbul balik hudud, alhamdulillah. Kita sampai kiamat pun selagi umur kita ada (hidup) kita mesti tegakkan Negara Islam.

“Hudud kita (PAS) buat, kita jemput para ilmuan, di kalangan ahli pondok, kalangan Universiti, golongan pensyarah di Kuala Lumpur, di Kelantan.

“Kita (PAS) buat Enakmen Hudud yang telah dilulus oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan. 100 peratus dan Umno pun sokong masa itu, Parti Melayu Semangat 46 sokong, kerana kita (PAS) pegang kerajaan,” ujarnya.

Namun begitu, Tuan Guru Nik Aziz melahirkan rasa dukacita hingga sekarang masih belum dapat melaksanakan undang-undang tersebut kerana halangan kerajaan pusat.

Katanya, “amaran” kerajaan pusat akan bertindak jika kerajaan negeri melaksanakan perundangan hudud di Kelantan.

“Bila kita (PAS) buat hudud, Perdana Menteri Malaysia yang masih hidup (Tun DR Mahathir) sekarang ini beri “Amaran” dalam bulan Ramadan. Jika Kelantan buat hudud dia (pusat) akan bertindak.

“Antara tindakan yang pernah Umno-BN buat suatu masa dahulu ialah “mageran”. Dia bakar tayar, dia bakar bangsal polis seorang dua, dia istihar darurat, dia ‘rampas’ semua kerajaan Kelantan.

“Semua kerajaan negeri dirampas oleh kerajaan pusat. Kita (PAS) bimbang dia (pusat) buat pula kali kedua di Kelantan.

“Sepatutnya, orang Melayulah yang sokong hudud tapi dukacita kerana dia juga antara orang yang menentangnya. Kita kempen, kita doa mudah-mudahan mereka semua boleh terima hudud Islam,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails