KUALA LUMPUR, 16 Sept: Gabungan Mahasiswa Islam
Se-Malaysia (Gamis) menggesa kerajaan meneliti semula Akta Universiti
dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang saban tahun diperjuangkan oleh
mahasiswa untuk memansuhkannya.
“Saya minta untuk kerajaan juga turut mengkaji dan memansuhkan akta
Auku ini,” kata Ketua Penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari dalam satu
kenyataan.
Katanya, Auku menjadi halangan kepada mahasiswa dan ahli akademik
dalam menyuarakan pandangan secara bebas bertepatan dengan Artikel 10
Perlembagaan Persekutuan.
Ia, ujarnya menggariskan bahawa hak kebebasan bersuara, berhimpun dan
berpersatuan adalah hak kepada mana-mana individu yang sah sebagai
warganegara Malaysia.
Menurutnya, pembatasan hak-hak asasi warga institusi pengajian tinggi
(IPT) dalam Auku juga bersalahan dengan piawaian Hak Asasi Manusia PBB.
“Perkara ini merupakan suatu keaiban kepada Malaysia yang mendokong prinsip demokrasi.
“Sewajarnya sebagai negara demokrasi berperlembagaan, mahasiswa dan
ahli akademik perlu turut sama diberi ruang untuk berkongsi rasa dan
pandangan secara murni bersama-sama kerajaan dan pihak pentadbiran
universiti bagi membentuk masyarakat dan negara yang adil serta
sejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, katanya Gamis menyambut baik pengumuman kerajaan
untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus kerajaan
mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut
sejak ia ditubuhkan pada 1960.
Dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia
2011 malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga
memaklumkan bahawa dua undang-undang baru akan digubal di bawah Perkara
149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif,
keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Selain itu, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959, di
samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia
memenuhi kehendak semasa.
Di samping itu, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula
dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen
sehingga dibatalkan.
Najib berkata, selain itu kajian semula komprehensif turut melibatkan
Akta Kediaman Terhad 1933 dan seksyen 27 Akta Polis 1967, mengambil
kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan
berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
“Bagi saya, ini merupakan pembaharuan yang baik di lakukan oleh
kerajaan dan transformasi seperti ini yang rakyat harapkan kerana
tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak
asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.
“Mungkin ini juga di sebabkan oleh tempias gelombang himpunan Bersih
2.0 yang lalu. Dan pengumuman ini juga titik tolak penentuan tarikh PRU
yang ke-13,” kata Mohd Yusof. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA