Selamat Datang

Sabtu, 10 September 2011

Profesor Hina Perjuangan Kemerdekaan


Kenyataan Akhbar

Kenyataan Prof Zainal Kling yang menganggap Malaysia tidak pernah dijajah oleh British kerana yang berlaku ialah perjanjian berkonsepkan naungan adalah sesuatu yang memalukan dan menjatuhkan kredebiliti beliau sebagai ahli akademik yang sayangkan perjuangan bangsanya. Kenyataan beliau yang mewakili MPN (Majlis Profesor Negara) menghina perjuangan bangsa yang selama ini menjadi sumber inspirasi generasi anak merdeka. Kurikulum sejarah sekolah-sekolah sejak sekian lama memahamkan pelajar kita bahawa British adalah penjajah dan kita merdeka dari penjajah dengan laungan Merdeka! Ia tidak memerlukan seorang Profesor untuk memahami bahawa 'MERDEKA' membawa pengertian kebebasan dari sesuatu penjajahan dan bukan naungan.

Kenyataan beliau turut menghina pejuang bangsa selama ini kerana jikalau bukan penjajahan mengapakah adanya istilah ' pejuang kemerdekaan'? Mengapakah adanya semangat nasionalisma menentang penjajahan British? Bukankah perjanjian pangkor menandakan penjajahan kepada kekayaan negara dan eksploitasi kekayaan hasil bumi untuk memberikan kekayaan kepada penjajah? Tidak cukupkah maruah bangsa diinjak apabila anak bangsa tidak ada suara dalam menentukan nasib bangsanya selama dijajah? Saya tidak tahu apa maksud Profesor ini apabila memutarbelitkan istilah penjajah kepada penaung? Adakah beliau mahu mengatakan bahawa generasi anak merdeka telah ditipu oleh buku-buku sejarah atau tawarikh yang kita baca di bangku sekolah dan di universiti?

Oleh itu saya menuntut supaya pihak MPN melucutkan beliau dari terus menganggotai MPN bagi memelihara kredibeliti majlis ini dan menuntut supaya gelaran Profesor ditarik balik kerana menghina sejarah bangsanya sendiri dan penghayatan kemerdekaan yang baru sahaja kita sambut. Saya juga menuntut beliau menarik balik kenyataannya bahawa kita tidak dijajah, kita hanya dinaungi oleh British. Jika beliau tidak menarik balik, ini menandakan bahawa seluruh rakyat Malaysia yang masih hidup dan yang mati selama ini telah ditipu dengan mempercayai bahawa kita telah dijajah sedangkan kita hanya dinaungi sahaja. Saya menyeru kepada Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan yang tegas terhadap Profesor ini yang menimbulkan kekeliruan yang amat berbahaya terhadap perjuangan bangsa yang terbina selama ini.

Yb Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Perpaduan Nasional PAS

10 Sept 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails