KUALA LUMPUR, 18 Sept:
Pemaksaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya boleh dielakkan
dengan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan
datang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah memberi
isyarat yang jelas bahawa GST akan dipaksakan ke atas rakyat selepas
pilihan raya akan datang, maksudnya selepas BN menang dalam pilihan raya
akan datang.
"Dengan sendirinya ia memberi mesej yang jelas kepada rakyat supaya
menolak BN habis-habisan dalam pilihan raya akan datang jika mereka
tidak mahu GST dipaksakan ke atas mereka," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata: "Persoalannya ialah masa.
Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat...
kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan
GST".
Mahfuz menyifatkan tindakan memaksakan GST ke atas rakyat itu sebagai gambaran jelas sikap tidak bertanggungjawab kerajaan BN.
"Dari dulu lagi, asal menghadapi masalah, simpanan rakyat seperti di
dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dikerjakan oleh kerajaan BN.
"Sekarang, zaman pemerintahan Najib, lebih teruk lagi. Asal menghadapi masalah kewangan, rakyat hendak disiksa.
"Hendak rentap subsidi dari rakyat dengan alasan subsidi adalah candu
kepada rakyat, hendak paksakan GST dan pelbagai tindakan lain menyiksa
rakyat dengan memaksa mereka menanggung beban ketidakmampuan kerajaan BN
yang sudah kehilangan akal untuk meningkatkan pendapatan negara," kata
Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Menurut Mahfuz, sebuah kerajaan
yang bertanggungjawab sepatutnya mencari jalan untuk mengurangkan beban
rakyat dan bukannya seperti kerajaan BN yang jelas begitu ketagih untuk
menyiksa dan membebankan rakyat.
"Bila menghadapi masalah kewangan, langsung tidak terfikir untuk
menghentikan sikap boros, menghentikan projek yang bukan-bukan seperti
hendak membina bangunan 100 tingkat dengan membelasah hasil simpanan
rakyat, menghentikan rasuah, melaksanakan tender terbuka dan pelbagai
amalan yang boleh menjimat dan meningkatkan pendapatan negara.
"Yang kerajaan BN tahu hanyalah hendak menyiksa rakyat dengan memaksa
rakyat mengeluarkan lebih banyak lagi wang dari poket mereka, tidak
kiralah dengan merentap subsidi, memaksakan cukai seperti GST,
menguatkuasakan pelbagai saman dan lain-lain tindakan yang tujuannya
hanya satu, iaitu memeras wang rakyat dan meragut wang dari poket
rakyat," katanya.
Menurut Mahfuz, tidak ada gunanya menggula-gulakan rakyat kononnya
dengan mengajak mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi pada masa yang sama memaksa
mereka mengucapkan selamat datang kepada GST. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA