Selamat Datang

Jumaat, 9 September 2011

Kajian: Mat Indera bukan komunis


| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Satu kajian ilmiah pelajar Universiti Malaya yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, kajian tersebut adalah Latihan Ilmiah untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem”.

Tambahnya, tujuan kajian tersebut adalah untuk mengkaji keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan peristiwa berdarah Bukit Kepong, Muar.

Menurutnya, meskipun kajian tersebut adalah dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah Haji Nawi Idrus, Ketua Pengawal Kampung (Home Guard) dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan.

“Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.

“Setakat kajian PPP, mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Di dalam kajian tersebut, ujarnya pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama sebagai:

“Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya.”

Selain daripada itu, tambah beliau Ayub Kassim juga pada mukasurat 71 menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.

“Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas,” katanya.

Katanya lagi, kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Haji Ibrahim Jubah dan Haji Muhammad Yassin Muhammad (bapa Tan Sri Muhyiddin).

Kedua-dua guru Mat Indera itu, tambahnya dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.

Malah, katanya menurut pengkaji lagi pada mukasurat 30, Haji Muhammad Yassin bin Muhammad begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair, dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.

Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

“Fakta ini sekaligus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD, bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi,” ujarnya.

Menurutnya, semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA, sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.

Katanya, kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.

“Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah komunis tetapi seorang nasionalis radikal,” ujarnya.

Ini, jelasnya sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya “25 Tahun Merdeka” mukasurat 357-358:

“Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Dharurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat Nasionalisme yang meluap-luap? Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.

“Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan To’ Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Dato’ Dol Said di Naning, Dato’ Maharajalela di Pasir Salak, To’ Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu”.

Justeru, tegas Ahmad Zuhdi, PPP melihat kenyataan Tan Sri Abdul Samad Idris itu hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dalam ceramahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails