Selamat Datang

Isnin, 19 September 2011

Najib sengaja ketepi pejuang mansuh ISA


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 19 Sept: PAS hari ini membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa inisiatif untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah “keputusan dibuat kerajaan Barisan Nasional sahaja dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain” tanpa memberi pengiktirafan kepada pejuang-pejuang mansuh akta zalim itu yang menentang ISA sejak dahulu lagi.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kini tetiba sahaja, pejuang-pejuang yang dulunya bermati-matian nak kekalkan ISA hendak menjadi hero, yang hendak mansuhkan ISA sejak dulu pula sengaja diketepikan.

Ttindakan itu, katanya terus mengingatkan rakyat kepada nasib yang menimpa pejuang-pejuang haluan kiri pra-kemerdekaan seolah-olah sejarah diulang tayang untuk membuka mata rakyat.

“Mana ia penghargaan kepada jasa-jasa pejuang-pejuang memansuhkan ISA selama ini? Tak akanlah disebabkan mereka ini rakyat jelata yang menyokong perjuangan samada dalam wadah pembangkang ataupun tidak, dalam menuntut memansuhkan ISA tiada kredit?

Siapakah pencetus inisiatif tersebut kalau bukan rakyat yang membantah kerajaan dalam isu ISA, terutamanya barisan pembangkang dulu, sehinggalah Pakatan Rakyat kini yang menyerang habis-habisan ugutan dan salahguna ISA oleh puak-puak kanan di dalam Umno, dan adik mereka Perkasa selama ini yang menggunakan akta ini demi kepentingan politik semata-mata?” selar beliau.

Tindakan juak-juak Umno, yang dulunya lantang melaungkan pentingnya ISA dikekalkan, sindir Tuan Ibrahim telah menebalkan muka dan memuji bertubi-tubi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang berani, tegas dan hebat.

“Jika pujian itu diterima, secara logiknya - bukankah itu bermaksud dulu semua pemimpin Umno ini penakut, tiada ketegasan dan tiada kehebatan? Cuma sekarang saja ada keberanian,” kata beliau dengan sinis.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengimbas kembali kata-kata kerajaan Barisan Nasional pada 2009, di mana ia telah berkali-kali menegaskan bahawa dasar dan pendirian Kerajaan adalah untuk mengkaji dan “bukannya memansuhkan ISA.”

Malah pada bulan Disember 2009, kata Tuan Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah berkata bahawa “semua pihak” sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pakatan Rakyat pula, kata beliau telah menyatakan akan memansuhkan ISA dalam Buku Jingga yang dilancarkan mereka.

“Apabila Pakatan Rakyat kata penghapusan akta zalim ini meniru idea dalam Buku Jingga, tiba-tiba bangkitlah beberapa orang menteri Umno amnesia yang menyatakan bahawa ini idea asli Perdana Menteri, bukannya tiru idea Buku Jingga,” bidas beliau.

“Cukup marah nampaknya Perdana Menteri dan para pimpinan Umno apabila dikatakan mereka telah meniru idea orang lain -  barangkali itu sebenarnya punca utama di sebalik penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli parlimen dari Parlimen dalam kontroversi APCO kerana mereka juga pernah menyatakan idea 1Malaysia adalah hasil ciplak 1Israel.”

Media perdana, katanya kini terus memberikan bayangan bahawa Perdana Menteri sedang disanjungi kerana keberaniannya dalam menghapuskan ISA.

“Sehinggakan Presiden KITA, Zaid Ibrahim perlu cepat-cepat memohon maaf kepada Najib kerana tersilap membuat andaian bahawa menyangka Perdana Menteri tidak berani, walaupun tiada apa-apa konkrit yang berlaku lagi selain pengumuman lisan beliau,” sindir beliau.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS akan meneliti secara dekat hasrat murni ini dengan hati-hati kerana pada masa yang sama, Najib turut mengumumkan untuk menggubal dua akta baru bagi menyekat golongan “pengganas” yang akan mencetuskan suasana huru-hara dan menggugat ketenteraman awam.

“Tafsiran “pengganas” dan “ancaman” ini pula luas, tak tahulah ia mengikut tafsiran Umno-BN ataupun kerajaan memerintah? Semuanya masih samar dan tidak diketahui,” terang beliau, sambil menambah bahawa PAS akui keamanan negara menjadi keutamaan dan tiada pihak ingin melihat negara menjadi tidak aman.

Namun, Tuan Ibrahim berhujah bahawa kerajaan BN tidak boleh menyalahkan rakyat yang bersangka buruk pada pengumuman ini kerana rakyat sudah banyak kali dikecewakan.

Apa yang menjadi keraguan rakyat, katanya ialah kebanyakan akta digubal asalnya dengan tujuan yang sangat baik, tapi rakyat sedar apabila sampai sudut pelaksanaannya, ia sering kali disalahgunakan bukan untuk menjaga kepentingan negara, tapi hanya kepentingan Umno BN, terutamanya apabila hipokrisi mereka telah terlondeh dan nyawa-nyawa ikan.

“Ini ditambah pula dengan pelbagai janji Umno BN yang jarang ditunaikan, terutamanya janji-janji yang ditaburkan semasa pilihanraya telah menyebabkan majoriti rakyat serik dengan pengumuman sedemikian,” tambah beliau.

Rakyat kini, kata Tuan Ibrahim dibelenggui satu persoalan yang amat mustahak - apakah jaminan yang boleh mereka harapkan dengan mengekalkan Umno-BN, selain ISA yang dijanjikan akan dimansuhkan, apakah jaminan bahawa penyelewengan, rasuah, salahguna kuasa, politik fitnah akan turut terhenti daripada terus berlaku itu?

“Rakyat sebenarnya sedar bahawa tiada apa yang boleh dijamin dalam hal-hal sedemikian sekiranya Umno-BN dikekalkan, tambahan pula, Najib sudahpun memberikan bayangan jaminan bahawa rakyat akan terpaksa menanggung kedatangan GST sekiranya Umno-BN kekal berkuasa selepas PRU13.”

Jaminan terbaik sekarang untuk rakyat, hujah beliau ialah dengan mengambil langkah berani untuk mencuba pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat untuk satu penggal bagi membolehkan segala janji yang diterterakan dalam Buku Jingga dilaksanakan selepas pilihanraya umum ke 13.

“Percayalah kerajaan Pakatan Rakyat akan bersungguh-sungguh melaksanakan semua janji mereka kerana Pakatan Rakyat sedar ‘Rakyat’ adalah bos mereka yang sebenar dan hakikatnya, tiada kerajaan yang hanya ingin berkuasa untuk satu penggal. Inilah jaminan yang lebih menyakinkan daripada terus mempercayai bahawa Umno-BN akan berubah satu hari nanti,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails