Khairil Abdul Rahim, | 24 Jul 2012 |
(Melihat tangki yang tidak menghasilkan air di Pekan)
PEKAN: "Kami hidup macam zaman sebelum merdeka, malu rasanya berada dalam parlimen dua orang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib dan Tun Razak).
"Nak disembunyikan, kami sudah tidak mampu. Pihak berkenaan hanya berjanji dan terus berjanji... masalah ketiadaan air tetap tidak dapat diselesaikan."
Begitulah bunyinya rungutan Hasni Omar, seorang penduduk Taman Sepekan Makmur dekat sini, yang kecewa dengan Ahli Parlimen mereka yang juga Presiden Umno serta pemimpin tempatan yang gagal membela nasib mereka mengatasi masalah ketiadaan bekalan air.
Dalam aduannya kepada media, beberapa orang penduduk di taman perumahan yang mempunyai 248 buah rumah itu telah mengalami masalah ketiadaan air sejak tujuh tahun yang lalu.
Menurut mereka, meskipun sudah berkali-kali masalah itu diajukan kepada pelbagai pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri sendiri, namun hingga kini masih belum diselesaikan.
"Pada awalnya kami bersabar, namun selepas pinjaman perumahan mula dipotong daripada gaji kami maka terpaksalah berpindah ke sini kerana tidak mampu membayar sewa rumah lain.
"Banyak kali kami adukan masalah ini kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang kini dah jadi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) namun tiada tindakan dibuat.
(Tangki ada tetapi air yang takda di kawasan PM ini)
“Sampai bila kami harus terus jadi mangsa keadaan. Mujurlah setakat ini belum ada lagi mana-mana penghuni yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan dan sebagainya.
"Bayangkan jika ada, sudah pasti keadaan akan lebih merumitkan. Kami terpaksa memunggah air dari sungai berdekatan atau dari rumah saudara mara setiap hari. Teruk kami, tujuh tahun hidup begini.
“Rumah yang kami beli ini bukan rumah kos mewah cuma rumah kos sederhana dan kos rendah sahaja yang mana kebanyakan pembeli berpendapatan rendah dan sederhana.
"Kami terpaksa menanggung pembiayan bank sejak 2006 lagi dan ada pembeli yang tak sanggup tinggal di sini terpaksa menanggung rumah sewa diduduki sekarang," kata beliau lagi.
Sementara itu tinjauan mendapati segala kelengkapan untuk pengurusan bekalan air sudah disediakan.
Menara tangki, pam dan kipas juga sudah pun disiapkan sejak sekian lamanya oleh pemaju, namun air tetap tidak dibekalkan kepada penduduk hingga menyusahkan mereka.
Menurut penduduk, mereka difahamkan masalah timbul apabila pemaju taman perumahan terbabit iaitu Sepekan Sdn Bhd didakwa telah melanggar syarat dan membuat pembinaan tangki tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh PAIP.
"Tangki air taman perumahan terbabit didakwa tidak mengikut piawaian yang ditetapkan maka itu kebenaran tidak diberikan.
"Kini struktur semuanya sudah disiapkan, saluran paip pun sudah siap, tangki bawah dan pam semua sudah ada cuma kelulusan sahaja tidak diperolehi," katanya.
Ada pula yang berkata ia berpunca apabila pemaju dikatakan membeli tangki sedangkan kos berkaitan tidak dibayar sepenuhnya kepada pembekal.
Justeru, pembekal tidak mengeluarkan surat kepada pemaju sedangkan dalam masa yang sama PAIP perlukan surat tersebut untuk proses kelulusan.
Penduduk mengatakan, masalah mereka telahpun acap kali diadukan kepada Pegawai Daerah Pekan, Adun Peramu Jaya dan setiausaha politik Najib di Pekan.
Mereka berjanji untuk selesaikan, namun hingga kini tidak ada sebarang penyelesaian dilakukan.
“Apa lagi yang dapat kami lakukan jika tidak mendedahkannya kepada media? Cuba bayangkan jika masalah seperti kami ini berlaku dalam negeri Pakatan Rakyat,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA