Selamat Datang

Jumaat, 20 Januari 2012

Umno gagal takutkan Melayu kepada DAP

Muhammad Faizal, 20 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 20 Jan: Dengan penyertaan beberapa orang Melayu termasuk orang kuat Umno ke dalam DAP sejak akhir-akhir membuktikan dakwaan Umno bahawa DAP anti Melayu selama ini meleset sama sekali.

Malah kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar), cubaan Umno menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP itu ternyata gagal apabila terbaru bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Mohd Hata Wahari menyertai DAP semalam.

Yang lebih menarik lagi, Hata Wahari adalah bekas wartawan Utusan Melayu, organisasi media milik Umno sendiri.

Perkembangan itu juga jelas Mahfuz membuktikan bahawa DAP lebih diyakini oleh sesetengah rakyat termasuk Melayu berbanding Umno dan MCA.

"Kita melihat sekarang ini bahawa DAP lebih baik daripada Umno mahupun rakan mereka MCA yang mana ia diterima oleh semua kaum termasuk orang Melayu itu sendiri.

"Kalau Umno dan juga media mereka mengatakan DAP itu anti kepada orang Melayu ataupun bersikap perkauman adalah fitnah semata-mata," jelasnya.

Semalam, Hata Wahari yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, menjadi orang Melayu terbaru yang menyertai DAP.

Selain itu juga awal bulan ini, penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno dan Mohd Ariff Sabri Aziz yang juga merupakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004 telah terlebih dahulu menyertai DAP.

Turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata Umno sepatutnya menilai kembali sikap rasis di dalam parti mereka sendiri bukannya menuduh orang lain, apatah lagi dengan tujuan menakut-nakutkan orang Melayu.

"Bagaimana DAP yang dikatakan anti kepada orang Melayu boleh menerima kemasukan orang Melayu beragama Islam di dalam parti mereka, apatah lagi individu tersebut merupakan salah seorang kakitangan akhbar Umno sebelum ini.

"Fitnah yang telah dilemparkan oleh Umno selama ini telah gagal, orang Melayu bukannya takut tetapi semakin boleh menerima parti itu (DAP) dalam kehidupan mereka," kata Mahfuz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails