Selamat Datang

Sabtu, 28 Januari 2012

Saya tak sangka dilantik Exco - Dr Ahmad Yunus

Nazri Abdullah, 28 Jan 2012
SHAH ALAM, 28 Jan: Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi (gambar) menjelaskan, beliau sehingga kini masih terkejut kerana tidak menjangkakan dirinya akan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Dalam satu temubual dengan Harakahdaily di pejabatnya semalam, beliau bagaimanapun berkata, perlantikan baru itu diterimanya sebagai amanah besar untuk dilaksanakannya.

"Saya memang tak jangka akan dilantik sebagai exco menggantikan Datuk Hasan Ali. Di peringkat PAS negeri pun asalnya letak nama (Pesuruhjaya) Dr. Rani (yang juga Adun Meru).

"Lewat petang 17 Januari baru saya diberitahu bahawa saya dipilih dan esok kena angkat sumpah Exco," katanya menceritakan suasana sehari sebelum tarikh angkat sumpah.

Dr Ahmad Yunus menduduki pejabat Exco kerajaan negeri di tingkat 2 bangunan SUK Selangor yang diduduki oleh Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebelum ini.

Beliau yang baru memasuki pejabat itu sedang menyusun kakitangannya.

Sebagai Exco, beliau diperuntukkan beberapa kakitangan termasuk pegawai dasar, setiausaha di samping pegawai tadbir.

Dr Ahmad selaku profesional dalam bidang perubatan dari Universiti Malaya kelihatan kemas dengan tubuh yang tegap sangat mesra melayan tetamu.
Percakapannya lancar dan kemas memperlihatkan beliau berpotensi besar menjadi pemimpin kanan PAS selepas ini.

Dengan memegang portfolio Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus bakal berhubung selalu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Yang menariknya, kedua-dua mereka adalah dalam satu batch di Universiti Malaya.

Menurut Dr Yunus yang sebelum ini bertugas sebagai Pembantu Exco Belia dan Sukan di bawah Menteri Besar, beliau pada mulanya juga tidak diberitahu apa portfolio yang akan dipegang selepas dilantik menjadi Exco.

Sehinggalah ujarnya pada satu sidang media selepas mesyurat Exco pada hari angkat sumpah tersebut, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan beliau diamanahkan memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu.

Khalid pada sidang media tersebut juga, turut mengumumkan portfolio Infrastruktur dan Hal Ehwal Agama Islam yang dipegang Hasan Ali sebelum ini dipegangnya sendiri.

Ditanya apa perasaan beliau setelah menyedari tidak diberi tanggungjawab memegang portfolio agama, Dr Yunus  yakin ianya keputusan terbaik yang dibuat atas kebijaksanaan Menteri Besar.

"Kita tak pernah pun untuk merebut jawatan. Saya tak rasa langsung sama ada cemburu atau sebagainya kerana bagi saya apapun yang dipertanggungjawabkan adalah satu amanah.

"Saya tahu sudah tentu Menteri Besar ada strategi dan kebaikan tertentu," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Yunus berkata, kapasiti Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar juga diyakini mampu memberi kesan lebih baik dalam urusan agama di negeri itu ekoran hubungannya dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta pihak istana.

Biarpun portfolio agama tidak dipegang oleh PAS secara langsung, namun kata Dr Yunus, peranan PAS dalam portfolio itu masih besar ekoran perlantikan Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar sebagai Pembantu Exco Agama yang dipegang Menteri Besar itu.

"Walaupun exco agama tidak dipegang oleh PAS, tapi kita masih boleh beri input kepada Menteri Besar.

"Menteri Besar sendiri pun kata, apa-apa isu berkaitan agama, beliau sendiri akan rujuk kepada PAS," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails