Persatuan
Belia Islam Nasional (PEMBINA) merasa kesal dengan tragedi buruk yang
berlaku antara polis dan sekumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi di
hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tg. Malim pada
awal pagi 1 Januari 2012.
Difahamkan
sekumpulan 60 mahasiswa telah berkumpul untuk membantah dan menyeru
pemindaan AUKU serta menuntut pengguguran hukuman UPSI ke atas Adam
Adli. Setelah diberi ruang untuk berucap, mahasiswa yang enggan bersurai
dilaporkan telah berdepan dengan penahanan dan tindakan bersurai secara
kasar oleh pihak polis. Akibat insiden tersebut, 2 orang dilaporkan
cedera termasuk Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang, penganjur
perhimpunan tersebut, manakala 17 lagi siswa ditahan di lokap dan
kemudiannya dibebaskan petang tadi.
PEMBINA
berpendirian bahawa sebarang bentuk kekasaran atau reaksi melampau dari
mana-mana pihak adalah tidak perlu dalam apa jua keadaan. Sebarang
bentuk provokasi juga adalah tindakan yang tidak berhemah dalam keadaan
demonstrasi yang cukup tegang.
Dalam
hal ini, UPSI sepatutnya mampu untuk berperanan lebih sebagai institusi
pengajian tinggi yang matang, dimana pihak UPSI sepatutnya berinteraksi
dan berunding dengan pelajar-pelajar ini dan tidak semata-mata
berlepas tangan dengan menyerahkan urusan mereka kepada polis dan
anggota keselamatan.
Amat
mengejutkan juga bahawa polis tergamak mengambil tindakan kasar ke atas
mahasiswa yang akhirnya menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Tindakbalas ini bertentangan dengan peranan polis sebagai badan penjaga
keamanan negara. Polis sepatutnya menggunakan kebijaksanaan dalam
mengawal mahupun menghadapi kemarahan mahasiswa yang sedang
berdemonstrasi, bukan bertindak ganas dan menghilangkan rasa hormat
mahasiswa terhadap pihak berkuasa.
Di
samping itu, mahasiswa perlu sentiasa menjaga etika ketika melaungkan
isu dan berdemonstrasi dan tidak sengaja menimbulkan provokasi terhadap
polis yang boleh mengundang padah. Mahasiswa juga perlu menunjukkan
kematangan dan bekerjasama untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak
diingini. Dalam kes ini, PEMBINA bersimpati dengan nasib mahasiswa yang
terpaksa mengharungi peristiwa buruk ini lebih-lebih lagi pada malam
tahun baru dan musim peperiksaan institusi pengajian tinggi.
Selain
itu, golongan politik diingatkan supaya tidak menjadi batu api dan
mengambil kesempatan dalam kesucian perjuangan isu mahasiswa. Mahasiswa
juga mesti bersikap bijak bagi mengatasi politik sentimen dan partisan
agar tidak mudah diperkuda mana-mana pihak. Mahasiswa perlu membuktikan
kematangan dan kesediaan mereka untuk berjuang dalam keterbukaan
berpolitik sekiranya AUKU dipinda dengan tidak mudah terikut-ikut dengan
budaya provokatif dan sandiwara politik. PEMBINA juga ingin
menzahirkan kerisauan ke atas peritiwa ini yang menunjukkan tanda-tanda
mahasiswa mula mengadaptasi budaya "anti-establishment". Jika benar ini
berlaku, ia adalah berita buruk, yang mana tidak kira siapa memerintah
negara, jalanan akan dipenuhi dengan protes dan apa sahaja sistem yang
dibuat akan sentiasa disanggah. Akibat paling buruk adalah umat Islam di
Malaysia akan terus bertelagah. Tidak akan ada rahmat dalam tuntutan
dan pergelutan akan menjadi norma.
Oleh
yang demikian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajib menyiasat dan
memperhalusi punca peristiwa berdarah ini. Mahasiswa perlu diberikan hak
untuk menyatakan hujah mereka mengambil tindakan berdemonstrasi
manakala pihak berkuasa juga perlu diberikan peluang untuk
mempertahankan tindakan yang diambil terhadap kumpulan mahasiswa yang
berdemonstrasi tersebut. Sekiranya terbukti mana-mana pihak bersalah
dalam hal ini, tindakan perlu diambil mengikut peruntukan
undang-undang. Rakyat Malaysia menuntut penjelasan di atas kejadian
ganas ini, lebih-lebih lagi dalam semangat tahun baru dimana setiap
warganegara mengharapkan negara yang lebih aman dan tenteram.
Oleh
itu, PEMBINA menyeru agar perkara ini tidak diperpanjangkan dan
diselesaikan dengan cara yang baik, waras dan bertamadun. PEMBINA
berpegang bahawa jalan yang aman perlu sentiasa diutamakan, lebih-lebih
lagi apabila ia melibatkan sesama Muslim. Sentiasalah membuka pintu
perbincangan kerana bersama musyawarah itu akan hadir rahmat Allah SWT
yang mampu menyejukkan api kemarahan. Cabaran yang perlu dihadapi dalam
memperjuangan bangsa, agama dan negara masih jauh dan panjang, dan sudah
tentu golongan mahasiswa merupakan aset penting dalam melakar masa
depan. Kita meyakini bahawa akhirnya Islam adalah penyelesaian yang
terbaik, jauh lebih baik dari segala bentuk acuan perubahan yang
disebarkan oleh Barat.
"Sebenarnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di
antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada
Allah supaya kamu beroleh rahmat." [49:10]
Penulis adalah Naib Presiden I Ketua Penerangan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA