Selamat Datang

Isnin, 6 Februari 2012

Kini bola di kaki Ustaz Azizan ...

Ahmad Lutfi Othman, 06 Feb 2012
Ketika saya tiba di rumah Ustaz Azizan Abd Razak, di Sungai Limau, Yan, seawal jam 9 pagi Tahun Baru Cina, 23 Januari lalu, sudah ada tiga aktivis PAS tempatan bersembang santai dengan Menteri Besar Kedah itu. Suasana ceria. Sekali imbas umpama murid dengan tok guru, juga bagai rakan dengan sahabat lama.
Sesekali perbualan mereka, yang banyak menyentuh cerita-cerita lama, disulami gelak-ketawa yang menyenangkan. Saya tumpang seronok mencuri dengar kisah lama Ustaz Azizan. Wajahnya jelas terpancar kelegaan meskipun banyak isu-isu panas Kedah diperdebatkan di peringkat nasional.

Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid membisikkan, "beginilah keadaan Ustaz jika bercuti di rumahnya". Sambil mempelawa saya duduk di ruang tamu yang agak sempit, hanya dihiasi rak-rak buku dan sofa lusuh, Ustaz Azizan yang berkain pelikat berbaju pagoda putih, terus menjemput kami menjamah sarapan.

Saya bersama Helmi dan Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah, sebenarnya telah mengalas perut di pekan kecil tidak jauh dari rumah Ustaz Azizan, di tepi Jalan Alor Setar - Sungai Petani itu. "Ustaz macam terkilan kerana tidak dapat lagi bersama rakyat di pasar dan kedai makan seperti ini kerana kekangan masa," kata Helmi, semasa kami menikmati nasi berlaukkan ikan keli sambil menunggu roti canai serta kari kepala ikan dibungkus untuk 'bosnya'.


"Lutfi, ini pertama kali datang rumah ana?" tanya Ustaz Azizan, ramah dan mesra. Saya perhatikan, rupanya tetamu terdahulu juga menitip makanan. Isterinya sendiri yang keluar membawa minuman.

"Ya, ana tak pernah datang lagi, dulu buat interbiu dengan Ustaz di Alor Setar," balas saya perlahan, sambil menjeling suasana rumah yang cukup sederhana. Ada rakan-rakan yang pernah mengaitkannya dengan kediaman Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abd Hadi Awang: "Rumah Ustaz Azizan lagi simple, 'kan?"

Selang beberapa ketika, salam diberi dan pintu dikuak. Kunjungan tetamu lagi, rasanya tiada temujanji dibuat, juga orang tempatan. Daripada reaksinya, Ustaz Azizan kenal rapat dengan mereka. Turut dibawa bungkusan kecil nasi lemak dan dadih. "Masin sikit dadih ini," tegur Ustaz Azizan.

Tidak terasa kami bersembang panjang melampaui dua jam. Dalam kelucuan, banyak juga perkara serius dan penting yang disentuh Ustaz Azizan. Beliau nampak cukup prihatin dengan bebanan amanah kepemimpinan yang dipikulnya, termasuk hal-hal berkaitan rasuah dan pengurusan kewangan negeri.

Isu-isu membabitkan penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan kontroversi Madrasah Salihiah turut disinggungnya.

Penjelasan mengenai surau, yang dimanipulasi Umno dan Perkasa Kedah -- sebenarnya lebih merupakan pejabat syarikat insuran dengan ruang solat -- di Kanchut, Alor Setar itu memang cukup meyakinkan. Tinjauan saya ke Madrasah Salihiah dan kawasan sekitarnya melenyapkan sama sekali pelbagai keraguan tentang kemungkinan isu itu boleh "menikam" PAS Kedah.

Isu madrasah bukan hanya mendedahkan kegagalan kerajaan BN terdahulu menyelesaikan projek Kompleks Tunku Yaakob yang terbengkalai selama lebih 30 tahun, malah menunjukkan keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat menjana ekonomi melalui projek Aman Central bernilai RM500 juta, dengan pembinaan surau gantian di dalam pusat membeli- belah yang mampu menampung 400 jemaah.

Ramai beranggapan tapak itu "berhantu" disebabkan terlalu lama terbiar, selain  mencacatkan pemandangan dari Menara Alor Setar, lokasi yang sepatutnya boleh menarik pelancong.

"Ada taukeh Cina bertanya saya, 'Dato' Seri ada baca apa-apa ke, sehingga projek ini boleh dipulihkan?' Saya kata, 'baca banyak takdalah, tetapi adalah sikit-sikit baca'," gurau Ustaz Azizan disambut ketawa.

Tidak kurang yang mengaitkan kegagalan usaha menangani projek usang itu dengan elemen rasuah dalam pentadbiran lama, sesuatu yang kini diperangi kerajaan Pakatan. "Bayangkan, melalui projek setengah bilion ini, kalau rasuah lima peratus saja, sudah RM25 juta, tapi sah saya masuk neraka kalau terima sogokan," tegas Ustaz Azizan.

Bagaimanapun, hukuman  ke atas lima pelajar KUIN (tempoh penggantungan empat daripadanya sudah berakhir kecuali seorang yang digantung pengajian dua semester, Mohd Faiz  Mohd Arshad), yang pada mulanya dikaitkan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), tetap hangat diperkatakan.

Ustaz Azizan memberitahu kami, Anwar Ibrahim sendiri menghubunginya pada sebelah malam demonstrasi pelajar di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dan beliau telah menjelaskan situasi sebenar kepada Ketua Pembangkang itu. Pastinya beliau juga memaklumkan hal itu kepada Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, seseorang yang paling dihormatinya.

Dalam pertemuan eksklusif dengan Jabatan Pengarang Harakah, di sebuah resort Sungai Tua, Ulu Yam minggu lalu, Ustaz Hadi turut ditanya isu KUIN. Beliau mengulangi pendirian Ustaz Azizan yang tidak mahu campur tangan hal elwal pengurusan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu. Agak mengejutkan apabila Ustaz Hadi mengaku belum melihat memorandum pelajar.

Daripada tutur bicara Ustaz Azizan, kolej universiti itu memang dekat dengan beliau, yang juga Pengerusi KUIN. Helmi turut memaklumkan, semasa Ustaz Azizan menjadi wakil rakyat pembangkang lagi, beliau kerap menimbulkan persoalan Insaniah ini dalam setiap kali persidangan Dun.

Tetamu yang lebih awal sampai daripada kami juga menimbulkan perkara sama. Dia masih ingat ucapan Ustaz Azizan dalam satu majlis yang menggambarkan keakraban Menteri Besar Kedah itu dengan pengembangan KUIN.

"Helmi, nanti bawa Lutfi tengok kampus baru KUIN di Kuala Ketil," kata Ustaz Azizan semasa saya minta izin berundur. Difahamkan beliau agak kerap melakukan tinjauan di tapak projek, kadang-kadang secara mengejut.

Sebelum bergegas ke hotel penginapan untuk check-out, sempat saya memerhati keadaan sekeliling rumahnya -- tenang dan sunyi. Terbayang gaya kehidupan kampung Ustaz Azizan yang cukup mudah.

Namun, harapan rakyat dan pendokong parti tidak semudah itu. Di bahu Ustaz Azizan tergalas impian yang cukup besar. Tidak cukup sekadar untuk membuktikan pemerintahan PAS berjalan lancar tanpa gangguan besar. Dakwaan bahawa tanpa Umno, kerajaan negeri akan kucar-kucir hanya mitos, dan rakyat amat memahaminya kini. Mereka menuntut lebih daripada itu.

Selama lebih 20 tahun, Kelantan dan perwatakan Tok Guru Nik Aziz diperhatikan penuh minat dan cemburu, bukan saja oleh masyarakat setempat tetapi menarik tumpuan rakyat seluruhnya, tidak kira orang Melayu atau bukan Islam. Perubahan yang dilaksanakan Kelantan menjadi buah mulut -- dipuji dan dikritik -- namun ia langsung tidak membantut  pembaharuan yang dibuat.

Apabila PAS menerajui Pakatan Rakyat memerintah Kedah, fokus sedikit sebanyak beralih, sekurang-kurangnya untuk mengenali personaliti Ustaz Azizan. Ya, sekali lagi, tidak memadai dengan kehidupan sederhananya yang cukup mengkagumkan itu ...

Latar belakang akademiknya, yang pernah menuntut di Mesir dan England, sudah cukup menggamit perhatian. Begitu juga dengan komposisi anggota Exco Kerajaan Negeri (daripada kalangan PAS), yang nampak seimbang dan harmonis, iaitu dua jurutera profesional, dua doktor perubatan, dua peguam, dan seorang ustazah.

Selaras dengan gelombang politik baru dan proses pendemokrasian yang menjalar ke seluruh planet bumi hari ini, apa yang berlaku di Kedah turut membentuk imej dan penampilan PAS, sama ada positif mahupun sedikit tercalar.

Dalam masyarakat yang serius membicarakan soal keadilan, demokrasi, ketelusan, dunia tanpa sempadan, langit terbuka, good governance, antirasuah, integriti, akuantabiliti dan seumpamanya, isu-isu seperti pengisytiharan harta kepada publik dan kongkongan peraturan seumpama Auku (walaupun atas nama berbeda seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta) boleh menimbulkan persepsi baru kepada gabungan parti-parti dalam Pakatan.

Isu KUIN memang satu cabaran kepada kepemimpinan Ustaz Azizan menjelang PRU13. Ia boleh sahaja menjadi masalah lebih besar ataupun dapat ditangani secara berhemah, bergantung kepada pendekatan Menteri Besar sendiri. Meskipun Ustaz Azizan beberapa kali menegaskan untuk tidak campur tangan dalam pengurusan KUIN, tetapi saya kira isu ini tidak semudah itu untuk "didiamkan".

Semasa bersembang panjang dengan aktivis mahasiswa UPSI, Adam Adli Abd Halim, yang turut digantung pengajian selama tiga semester, di rumah saya, Selasa lalu, jelas sekali komitmen mereka untuk mengungguli idealisme perjuangan mahasiswa.

Adam mewakili suara prihatin mahasiswa yang nampak tulus dan tidak diperalatkan oleh pihak berkepentingan, jauh sekalilah Umno! Usah rentap keyakinan mereka terhadap Pakatan Rakyat dengan dakwaan yang menyakitkan hati. Masih terbuka luas jalan keluar, tetapi pilihan itu bergantung sepenuhnya kepada Ustaz Azizan. Ya, bola di kakinya sekarang ...

Selama ini Ustaz Azizan dikenali sebagai tokoh yang tajam pengamatan politiknya, sekali gus mempunyai kebolehan luar biasa untuk meredakan kemarahan dan protes kepadanya. Harapan tinggi disandang ke bahunya.  Masakan isu KUIN harus dibiar menggerhanakan imejnya itu.

(Persoalan dibangkitkan Dr Mujahid Yusof Rawa dalam artikelnya  agak menganggu saya: "Apakah Azizan terlalu personal dengan cita-citanya dengan KUIN sehingga isu Auku dianggap terlalu kecil atau Azizan terlalu marah kerana beberapa pelajar telah menyentak impiannya dan mencabarnya? ... Ataukah Azizan mempunyai egonya sendiri sehingga gagal melihat kepentingan Pakatan Rakyat yang lebih besar?")


Umno sendiri terkedu dengan keupayaan diplomasi Ustaz Azizan. Tak percaya tanyalah dengan Abd Aziz Sheikh Fadzir, Pengerusi Biro Pendidikan Umno Kedah yang pernah berkunjung ke pejabat Menteri Besar itu, ekoran isu  rayuan rebat cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM), pada bulan Mei 2011!

Reaksi protes yang dijangka panas hilang begitu sahaja selepas rombongan Aziz diberi penjelasan sedetailnya oleh Ustaz Azizan dan mereka makan tengahari bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails