Selamat Datang

Sabtu, 25 Februari 2012

Anak gesa tarik balik ‘borang durian runtuh’


Khairil Abdul Rahim, 24 Feb 2012
TEMERLOH, 24 Feb: Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman memberi kata dua kepada pihak Felda sama ada menarik balik ‘pekeliling durian runtuh’ yang diedarkan kepada peneroka atau laporan polis akan dibuat.
Katanya, ini disebabkan timbul keadaan yang amat mengelirukan dan kegelisahan di kalangan peneroka kerana semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, geran ladang, rumah digunakan untuk tujuan tertentu.

“Saya banyak terima aduan dalam seminggu ini tentang edaran borang untuk mendapat ‘durian runtuh’ dengan maklumat penting iaitu fotostat kad pengenalan, geran ladang, rumah, status senarai hitam bank dan pewaris.

“Isinya agak berbeza tetapi membawa implikasi yang sangat besar kerana dokumen-dokumen penting boleh dimanipulasi.


“Jadi saya nak minta satu penjelasan siapa yang keluarkan arahan itu? Saya tak salahkan pengurus-pengurus Felda kerana mereka hanya menjalankan arahan daripada pihak atasan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Tambah Mazlan, ini berkaitan dengan janji kepada peneroka.

“Ada pengurus yang janji nak bagi duit tunai RM10,000 ada yang janji dalam bentuk saham. Ini satu harapan kepada peneroka dan bila nak bagi duit mereka tak fikir panjang lalu serah semua dokumen,” katanya.

Katanya, ada beberapa tempat seperti di Jengka 18 peneroka disuruh membuat buku akaun dan agen bank sendiri datang ke balai raya.

“Bagi saya ini akan menimbulkan keadaan yang mengelirukan terutama sebenarnya janji durian runtuh itu tidak wujud sama sekali,” jelasnya.

Mazlan juga berpendapat, ini mungkin juga satu helah di mana akhirnya pihak tertentu akan menggunakan semua dokumen tersebut untuk mereka akhirnya menjustifikasikan peneroka Felda secara majoriti setuju dan menyokong penyenaraian FGVH.

Tambahnya, tidak mustahil secara halus atau pintu belakang mereka menggunakan referendum itu untuk meneruskan penyenaraian dengan paksaan tetapi secara halus.

“Sebab itulah saya sudah beritahu peneroka yang menghubungi saya supaya buat laporan polis kerana ada unsur ugutan, penipuan dan salah guna kuasa.

“Jadi oleh kerana isu ini begitu besar dan melibatkan warga Felda seluruh negara, saya minta surat arahan itu ditarik balik serta merta. Saya nak katakan durian runtuh itu satu pembohongan sebab mesyuarat agung khas (EGM) semalam (kelmarin) pun dibatalkan, KPF tiada kaitan dengan penyenaraian jadi nak dapat durian runtuh dari mana.

“Sebab itu saya katakan durian runtuh itu cerita karut dan yakin ada satu agenda halus yang menjurus kepada mereka nak bina satu keyakinan  sebenarnya yang hendakkan penyenaraian itu kononnya besar dan yang menolak itu kecil,”  tegasnya.

Mazlan tidak menolak usaha itu mungkin ada kaitan dengan kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang mahu Felda disenaraikan juga menggunakan mekanisme yang lain setelah gagal EGM.

Dalam sidang media yang sama, Mazlan mengucapkan syabas kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang berani mengeluarkan kenyataan terbuka dan jelas bahawa bahaya bagi Felda jika disenarai di bursa saham kerana beliau seorang yang berpengalaman dalam ekonomi.

Katanya, kenyataan berani tersebut sangat signifikan dalam hala tuju penyenaraian Felda dan itu jugalah sebenarnya kebimbangan warga Felda selama ini justeru minta Perdana Menteri membatalkan saja usaha penyenaraian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails