KUALA LUMPUR, 1 Dis:
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Suruhanjaya
Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengubah tempat pengundian bagi anggota
polis dan tentera ke tempat awam.
Mahfuz memperlihatkan pemindahan tempat pengundian undi awal itu
sangat penting kerana ia dapat mengelak berlakunya tekanan kepada
anggota tentera dan polis yang mengundi.
"Saya menggesa perubahan tempat pengundian bagi undi awal diubah dari
kawasan disiplin tentera atau balai polis dilakukan di kawasan sekolah
seperti apa yang dilakukan oleh pengundi awam biasa.
"Perkara ini penting kerana ia dapat mengelakkan tekanan ataupun
ketakutan kepada anggota tentera serta polis yang ingin membuang undi
yang merasakan ada pegawai sedang memerhati mereka membuang undi.
"Kebebasan perlu diberikan kepada para undi awal dan kita mahukan
keselesaan kepada mereka untuk mereka membuang undi dan cara ini dapat
menjadikan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas," jelasnya
yang juga Naib Presiden PAS.
Beliau ketika membahas laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC)
berhubung syor penambahbaikan proses pilihanraya, berkata apa yang
dicadangkan itu tidak satu pun dilihat mengikat kerajaan dalam
perlaksanaannya.
"Cadangan yang baik telah dikemukakan oleh PSC tetapi bagaimana kita
ingin memastikan SPR dan juga agensi terbabit mematuhi syor yang
dicadangkan.
"Dalam pada itu apa yang saya lihat syor-syor yang dicadangkan itu
tidak mengikat langsung kerajaan untuk melakukannya seperti tempoh masa
perlaksanaan malah bila cadangan perlaksanaan.
"Saya melihat seolah-olah tiada kesungguhan dari kerajaan untuk
melaksanakannya dan saya tidak mahu pembaziran berlaku seperti mana
cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja sebelum ini, tiada
perlaksanaan tetapi wang habis dibelanja dan ini satu pembaziran.
"Saya mahu pada penghujung perbahasan ini akan ada satu ikatan yang
dibuat oleh Parlimen agar ia menjadi tanggungjawab kerajaan serta SPR
untuk melaksanakannya," ujarnya lagi.
Dalam pada itu Mahfuz juga mahu wujud ketelusan media diwujudkan
dengan mewujudkan satu stesen televisyen khas untuk setiap kali
pilihanraya yang dikendalikan terus oleh SPR.
"Wujud media yang telus dengan menyediakan media khas bagi
membolehkan parti-parti yang bertanding dapat menyampaikan maklumat
mereka kepada rakyat dan ia secara tidak langsung mewujudkan keadilan
dalam media," kata beliau lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA