Saya
tertarik dengan penjelasan mengenai pinjaman KWSP kepada Kerajaan
Malaysia seperti kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang
Adek di Dewan Rakyat semalam. (The Star, m s 20 30 November 2011).
1. RM 79.4 billion - adalah jumlah pinjaman KWSP kepada Kerajaan
Persekutuan - seperti disebut oleh Dr. Awang. Adakah angka ini tidak
mengambil kira pembelian kertas sekuriti dan bon Kerajaan Persekutuan
oleh KWSP yang lain? Setakat pengetahuan saya, kedua-dua pinjaman dan
kertas sekuriti jika dijumlahkan sekali, jumlah besar pendedahan KWSP
sebagai Hutang Kerajaan adalah RM 240 billion!
2. Jumlah itu tidak mengambil kira pinjaman KWSP kepada GLC milik Kerajaan.
3. Berdasarkan jumlah RM 240 billion, ia adalah 52.6% dari jumlah
hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 456 billion pada tahun 2011,
seperti dibentangkan oleh Ketua Audit Negara dalam Mesyuarat Majlis
Kewangan Negara baru-baru ini.
4. Dalam keadaan Hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat dan
sepatutnya, tanpa manipulasi statistik, telah melebihi paras 55% yang
diizinkan oleh Undang-Undang Negara, keselamatan pinjaman ini memerlukan
penelitian yang serius. RM 456 billion jumlah hutang pada tahun 2011,
dari segi peratus KDNK, adalah 54.3%.
5. Hanya tinggal 0.7% untuk mencapai tahap 55%! Melalui Belanjawan
defisit tahun ke 15 berturut-turut dengan jumlah RM 45.?? billion,
sepatutnya tahap 55% tadi telah dilanggar.
6. Bagi mengelakkan pelanggaran itu, manipulasi statistik telah dibuat dalam dua cara;
a. Meletakkan kadar pertumbuhan setinggi 6% supaya dengan itu jumlah
agregat KDNK menjadi besar dan dengan sendirinya peratus hutang
berbanding KDNK menjadi rendah.
Soalnya, semua penganalisis ragu Malaysia mampu mencapai pertumbuhan
6% sepanjang tahun hadapan. Jika ini tidak dicapai, dengan sendirinya
tahap yang dihadkan pertama kali akan dilanggari dan ini memberi kesan
terhadap keselamatan hutang KWSP.
b. Meninggikan jumlah KDNK 2012 dengan memasukkan kadar inflasi. Oleh
kerana itu, ada perbezaan ketara antara jumlah KDNK yang dicatatkan
dalam Buku Belanjawan berbanding tercatat dalam Laporan Statistik.
Jumlah RM 918.322 KDNK bolehlah dianggap memasukkan peratusan tertentu
kadar inflasi, menjadikan angkanya lebih besar dan peratusan hutang
menjadi kecil.
7. Namun begitu, sekalipun disebabkan oleh dua manipulasi statistik
ini peratusan hutang negara belum mencecah tahap 55%, ia akan mencecah
tahap 55% ini pada bila-bila masa dari sekarang. Tidak ada tanda-tanda
ekonomi negara akan tumbuh sebanyak 6% pada tahun hadapan. Sebarang
kekurangan dalam peratus pertumbuhan ekonomi negara dengan sendirinya
menjadikan angka KDNK lebih kecil dan peratusan hutang lebih besar.
8. Selain itu, dengan trend berbelanja yang langsung tidak
memperdulikan kedudukan kewangan semasa yang ada, dijangka jumlah hutang
baru negara akan melebihi dari jumlah awal yang dinyatakan dalam Buku
Belanjawan.
9. Jika ini berlaku, rakyat Malaysia, selepas PRU ke 13 yang mungkin
akan diadakan pada Mac 2012 akan menyaksikan jumlah hutang negara kita
melebihi paras yang dibenarkan oleh undang-undang buat kali pertama di
bawah teraju Datuk Seri Najib.
10. Itu belum mengambil kira jumlah hutang GLC yang tidak digambarkan
dalam Akaun Hutang Awam Negara yang jumlahnya adalah juga besar iaitu
RM184 billion.
Sebagian pinjaman ini telah dikelaskan sebagai CC minus. Jika jumlah
ini diambil kira, kita telah lama melepasi tahap 55% dan dengan itu,
keadaan adalah amat membimbangkan.
11. Tujuan saya menulis kenyataan akhbar ini ialah supaya Kementerian
Kewangan mengubah habit berbelanja Kerajaan Persekutuan sekarang.
Termasuk berbelanja besar melebihi kos sebenar, dari sekecil-kecil bil
api tinggi menggila untuk kediaman PM sampailah pembelian kapal peronda
dll, seperti dalam kes-kes dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
Kedua, terus berbelanja atas perkara-perkara yang tidak produktif
seperti pembelian vesel dan kereta perisai baru dengan begitu mahal
melebihi harga pasaran dan dibeli melalui pihak ketiga yang mendapat
untung melangit.
12. Semua perbelanjaan joli ini bersandarkan pinjaman KWSP yang
merupakan wang amanah rakyat negara ini. Perbelanjaan pruden boleh
membantu hutang dikurangkan dan dengan sendirinya nilai wang KWSP yang
dipinjamkan kepada Kerajaan menjadi lebih berharga.
13. Jika tidak, KWSP hanya dijadikan tabung berharga murah untuk membantu Kerajaan Pusat berjoli atas wang rakyat!
Husam Musa
Naib Presiden PAS
30 November 2011 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA