Selamat Datang

Sabtu, 3 Disember 2011

MTUC desak tarik balik Akta Kerja

| Print |
Muhammad Faizal   
SHAH ALAM, 2 Nov: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak kerajaan menarik balik Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan pada 6 Oktober lalu di Parlimen.
Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah, N.Gopal Krishnan sewaktu berucap menjelaskan akta tersebut bersifat akta 'bapa ayam' yang jelas zalim dan bersikap kuku besi.
"Saya nyatakan dengan perlaksanaan akta ini kerajaan akan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan sebelum ini dan dengan perlaksanaan ini jelas menunjukkan kerajaan bersifat zalim malah umpama 'bapa ayam'.

"Kita tidak mahu pekerja dinafikan hak di negara ini dan secara tidak langsung taraf pekerja warganegara kita hanya setanding dengan pekerja warga asing," jelasnya.
Beliau menyatakan bantahan it akan terus dilakukan kerana hak pekerja itu perlu ada pada tahap yang sepatutnya.
"Kita tidak mahu pekerja ditekan dan terus ditekan oleh pemerintah sekarang, kita akan terus mendesak serta menentang habis-habisan sehingga kerajaan menarik balik akta tersebut," sambung beliau lagi.
Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani yang turut hadir berkata, selama ini menentang perlaksanaan akta tersebut di Parlimen memberitahu akta tersebut bersifat 'rejim Israel'.
"Apa yang ingin saya katakan akta ini bersifat seperti 'rejim Israel' yang sikap ganas serta memijak kepala pekerja.
"Secara jelas saya membantah akta tersebut dan semua pasti tidak mahu masalah menimpa anak-anak mereka yang sudah pasti mangsanya mereka.
"Kita tahu akta ini sudah berulang kali ingin dibentang tetapi gagal, dan disebabkan majoriti yang besar penyokong kerajaan Barisan Nasional maka ia diluluskan pada sesi Parlimen kali ini," ucapnya.
Beliau berkata akta itu akan dimansuhkan jika berlakunya perubahan politik negara pada masa akan datang.
"Ini janji saya dan juga rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, jika berlakunya perubahan lanskap politik di negara ini, maka hak pekerja akan dipenuhi selain memansuhkan akta yang zalim ini.
"Kita mahu meletakkan pekerja pada tempat yang sepatutnya ia berada bukannya di bawah tapak kasut kerajaan sekarang," sambungnya lagi.
Mantan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud memberitahu dengan terteranya akta itu maka pada masa akan datang tidak akan ada lagi pekerja tetap dan syarikat-syarikat swasta akan menggunakan khidmat pekerja kontrak.
"Akibat dan kesan kepada perlaksanaannya menyebabkan pada masa akan datang tidak akan ada lagi pekerja tetap dan semua akan menjadi pekerja kontrak.
"Kita pasti ini semestinya akan berlaku kerana pihak swasta dapat menjimatkan kos operasi mereka, jadi apa hak yang kita akan dapat dan apa akan jadi kepada anak-anak kita nanti.
"MTUC bersama pekerja serta Pakatan Rakyat akan terus mendesak agar akta ini ditarik balik, kita mahu kerajaan yang kejam serta menindas rakyat itu faham apa yang di alami oleh pekerja," ucapnya.
Sebelum itu perhimpunan bantahan yang diadakan di Dewan MBSA Seksyen 19 Shah Alam merupakan susulan bantahan yang diadakan di seluruh negara sebelum ini.
Turut hadir ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Presiden MTUC, Malaysia Mohd Khalid Atan dan juga kesatuan-kesatuan pekerja kilang di seluruh Shah Alam.
Satu resolusi dan ikrar telah dibaca oleh seribu pekerja dan akan dibawa ke peringkat MTUC Malaysia bagi membincangkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails