Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli
PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani
permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.
Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:
Maksudnya: (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu
keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka
yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka
pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka,
mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)
Sabda Rasulullah S.A.W.
Maksudnya: (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang
yang baik nescaya dijadikannya faqeh (faham) dalam perkara agama
Islam). Riwayat Bukhari Muslim
Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat
yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya
mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua
bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar
sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara
beramalnya.
Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa
hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada
kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka
hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham,
bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan
kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam.
Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat
sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan
Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan
akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi
seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham,
khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau
bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al
Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran
Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu.
Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam
perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi
segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau
dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan
berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani,
Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang
berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke
Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan
kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun
tidak menganut Islam.
Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan
kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya
melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab
dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah.
Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya
berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan
Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap
seluruh manusia juga.
Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan
risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya
yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat
dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan
hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku
sekiranya memerlukan penjelasan.
Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala
para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak
kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan
pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit
nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di
Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang
Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan
umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram
dan lain-lain.
Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian
Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan
Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara
mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi
kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang
datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.
Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W.
dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam
peristiwa Uhud dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang
bermaksud:
(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan.
Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah
kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah
kepadanya).
Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan
kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah
selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan
kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya
dalam politik.
Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang
mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam
dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu
yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan
siyasah syari’yyah.
Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia
(PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa
mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah
Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam
yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak,
dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan
kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan
sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura
pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.
PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang
perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian,
bersefahaman dengan: kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan
bukan Islam.
Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi
penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh
temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep
perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara
adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan
Raja Berpelembagaan.
Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal
mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana
tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah
S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan
muhasabah?
Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas
bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang
adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa
semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa
mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti
Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut
perjuangan Islam.
PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin
oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa
ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang
berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya
tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa
serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap
membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang
menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang
terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri
daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi
melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada
seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya
serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara
feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.
Khadam Perjuangan Islam
Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA