Selamat Datang

Selasa, 27 Disember 2011

Pilihan raya umum Mac depan?


| Print |
Harakahdaily   
KUALA TERENGGANU, 27 Dis: PAS menjangkakan pilihan raya umum ke 13 akan diadakan Mac tahun depan dan mahu semua peringkat parti membuat persiapan terbaik.

"Kali ini saya agak yakin berbanding dengan tarikh-tarikh sebelum ini," kata ahli politik veteran PAS yang juga Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Beliau berkata demikian dalam satu majlis makan malam dekat sini baru-baru ini.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan media dan ramalan awal tentang status ekonomi negara.

"Bagi saya, Umno akan timbang dua perkara kali ini sebelum mengadakan pilihan raya iaitu keadaan dalam Pakatan Rakyat yang sedang diserang.

"Satu lagi, kedudukan ekonomi yang dijangka bermasalah tahun depan ekoran krisis ekonomi dunia khasnya di Amerika dan Eropah.


"Sebelum Malaysia terasa kesannya, baik buat pilihan raya dulu," kata Mustafa dalam ucapannya itu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua organisasi dalam PAS membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

"Najib sudah isytiharkan, ini adalah ibu kepada segala peperangan (mother of the batle), yang tidak pernah dirasai BN sebelum ini, jadi kita mesti membuat persiapan terbaik," katanya.

Mustafa bersetuju, ramai pemimpin dan Umno sangat terpengaruh dengan teori R.A.H.M.A.N yang menghasilkan Datuk Seri Najib perdana menteri di kalangan Umno yang terakhir.

Teori R.A.H.M.A.N adalah teori berdasarkan turutan perdana menteri Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib.

Sehubungan itu, Mustafa meminta semua ahli PAS memberikan fokus sepenuhnya untuk memenangi pilihan raya kali ini khasnya di Terengganu.

Bagi beliau, Umno Terengganu sudah terlalu kekeringan idea dalam menghadapi PAS sehingga terpaksa menimbulkan kembali isu yang sudah berlangsung puluhan tahun lalu iaitu isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman.

Ia dibangkitkan dalam satu titah Tuanku Sultan Terengganu di sebuah masjid baru-baru ini yang antara lain kesal kerana masih ada pihak yang tidak bersembahyang di masjid kawasan masing-masing.

Namun isu ini dijawab dengan mudah oleh penduduk kariah masjid Pengadang Baru dekat sini.

Masjid Pengadang Baru adalah masjid kerajaan negeri tetapi jawatankuasa dan imannya di kuasai oleh pemimpin PAS tempatan.

Ekoran itu, ramai pemimpin Umno tempatan tidak sembahyang termasuk sembahyang Jumaat di masjid itu.

Antaranya adalah Pengerusi JKKK Pengadang Baru yang sembahyang di masjid lain iaitu Masjid Kubang Durian.
(Dua orang kanak-kanak remaja menyampaikan sumbangan derma untuk dana pilihan raya kepada Datuk Mustafa Ali sambil diperhatikan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dalam majlis makan malam mengumpul dana Dun Ladang).

Ekoran itu, Mustafa merumuskan Umno sudah kekeringan idea untuk melawan PAS.

Oleh itu, pilihan raya ini disifatkan beliau sebagai masa terbaik untuk PAS merampas kembali Terengganu.
Dalam pada itu juga, Mustafa Ali mengingatkan jentera parti agar tidak mengharapkan masalah ‘dalaman’ Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya.

Justeru itu, kata beliau PAS perlu mempunyai kekuatan sendiri bagi menarik sokongan pengundi dan rakyat seluruhnya.

Menurutnya, meski pun Umno-BN menghadapi banyak masalah termasuk isu perbalahan dalaman parti itu tetapi bukan jaminan kepada PAS pada pilihan raya akan datang.

“Kita (PAS) tidak boleh bergantung dengan isu Umno dan Barisan Nasional ‘berbalah’ (krisis) tetapi kena ada kekuatan kita sendiri,” tegasnya.

Mustafa mahu jentera PAS di semua peringkat bekerja kuat bagi menambah serta memperkukuhkan daftar pemilihnya.

Menurutnya, senario politik hari ini menunjukkan gelombang bukan Melayu Islam agak kuat menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails