KUALA LUMPUR, 3 Dis: Percubaan polis untuk
menghalang huru hara di dalam Umno berikutan kontroversi Perbadanan
Fidlot Nasional (NFC) tidak akan berjaya, kata Naib Presiden PAS Datuk
Mahfuz Omar.
"(Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri) Khalid
(Abu Bakar) dakwa tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam
penggunaan dana untuk NFC.
"Kenyataan Khalid itu mungkin
menyelamatkan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan
(Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) yang berhempas
pulas membela projek suami (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) itu dari menghadapi huru
hara dalam perhimpunan agung Umno serta dipersoalkan oleh
perwakilan-perwakilan yang berlakon kononnya mahu ketelusan dan amalan
yang bersih dalam pemberian projek itu.
"Tetapi ia tidak mungkin menyelamatkan Umno dari menghadapi huru hara yang lebih besar lagi selepas ini," katanya.
Menurut
Mahfuz, masalah terbesar yang dihadapi bukannya ketegasan ahli-ahli
Umno kepada prinsip menentang kronisme, penyalahgunaan kuasa atau amalan
yang tidak bersih dalam pemberian mana-mana projek.
"Semua itu
mereka tidak peduli dan tidak pernah ambil peduli. Huru hara akan
berlaku kerana semakin ramai ahli Umno yang akan mempersoalkan mengapa
pemimpin tertinggi atau keluarga mereka mendapat habuan yang banyak
sedangkan mereka hanya mendapat tulang-tulang sahaja.
"Tak mungkin boleh berpuas hati dengan sedikit suapan yang dihulurkan ketika pemilihan parti itu.
"Tentu
mereka juga mahu habuan besar seperti keluarga Shahrizat kerana bagi
mereka, mereka dan keluarga mereka juga berkerja keras dan berhak
mendapat apa yang dinikmati oleh keluarga Shahrizat," kata Ahli Parlimen
Pokok Sena itu.
Begitu juga dengan ahli-ahli Umno yang mendapat
upah lima enam puluh ringgit memasang poster ketika pilihan raya, mereka
juga teringin hendak mendapat habuan besar seperti dinikmati keluarga
Ketua Wanita Umno, kata Mahfuz.
"Ahli-ahli Umno juga tentu boleh
berfikir, itu habuan untuk keluarga Sharizat, bagaimana pula dengan
pemimpin Umno lain dan keluarga mereka?
"Sebab itulah huru hara yang ditumbulkan oleh lembu fidlot itu besar kemungkinan akan berpanjangan dan semakin buruk.
"Bila
keluarga Sharizat daat habuan besar, tidak ada jaminan para penyokong
(Tan Sri) Rafidah (Aziz) yang ditewaskan oleh Shahrizat dalam
pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita Umno sebelum ini akan berdiam
diri," katanya lagi.
Beliau juga mempersoalkan dakwaan Khalid kononnya tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC.
"Khalid
dan (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein)
sendiri berkata siasatan terhadap projek NFC masih diteruskan.
"Kalau
masih disiasat bagaimana pula boleh mendakwa tiada unsur pecah amanah
atau penyelewengan dalam penggunaan dana untuk NFC?" kata Mahfuz sambil
menyatakan beliau merasa sangat kasihan melihat Khalid berusaha
sungguh-sunguh memberi penjelasan dalam kes yang melibatkan para
pemimpin Umno itu.
"Khalid tentu mahu menjadi Ketua Polis Negara," katanya lagi sambil tersenyum. |
Salam....moh singgah !
BalasPadam