Selamat Datang

Rabu, 21 Disember 2011

Kemuncup perjuangan, dasar PAS dijamin Majlis Syura

| Print |
Tuan Ibrahim Tuan Man   
Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatullah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.
Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di  negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti  terus berkembang hingga kini.
Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, sama ada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:
"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.”
Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumaraha dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.
Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.
Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi.
Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri,  kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.
Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada di puncaknya.
Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.
Suatu hari, bila mana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi-nabi  (para sahabat) dan mereka yang mengikuti di belakangnya (tabieen).
Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tertib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.
Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.
Majlis Syura Ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Aziz, dan timbalannya Datuk Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.
Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.
Manakala Muktamar Agung adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.
Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agung dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku.
PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.
Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai rahmatul lil alamin.
Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna  langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruang tamu itu.
Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah rahmatul lil alamin telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.
Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk  mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin; teruskan mainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga gol terlopong tanpa penjaga.
Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.
Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.
Salam perjuangan.
Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Disember 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails