Selamat Datang

Sabtu, 10 Disember 2011

Gangguan HEP semarak api bebalisme mahasiswa


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 10 Dis: “Kami di pihak mahasiswa ingin mempersoalkan apakah rasionalisasi bagi gangguan tersebut?” Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khairul Naim.
Beliau mengulas program debat mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang diadakan malam tadi yang berkisar tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan autonomi mahasiswa berjalan lancar pada awalnya sehingga beberapa pengawal keselamatan dan special branch di bawah bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) menyerbu masuk ke dewan tempat berlangsungnya debat.
Baginya, pihak Hal Ehwal Pelajar UM bertindak seolah-olah mahasiswa sedang melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan kampus sedangkan perdebatan sihat itu bersifat ilmiah.
Tambahnya, tindakan itu dikira sesuatu yang tidak relevan malah bakal melahirkan lebih ramai graduan yang lemah serta menyemarakkan api ‘bebalisme’ dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, debat anjuran bersama Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu mendapat respons yang baik daripada mahasiswa sekitar Lembah Klang dengan kehadiran kira-kira 300 orang.

Namun begitu, mahasiswa begitu terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik itu diganggu oleh pengawal keselamatan dan special branch ketika  debat di antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab (mantan aktivis Pro-M) serta Syamsul Salleh (mantan YDP MPPUPM) sedang rancak berjalan pada pusingan kedua.
Beberapa pengawal keselamatan dan special branch telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera.
Ketika itu juga, lampu telah ditutup beberapa kali namun penganjur masih meneruskan debat sehingga memaksa Yang Dipertua MPMUM, Mohd Syahid untuk keluar berunding.
Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada pihak HEP UM.
“Mahasiswa lihat bahawa kebebasan akademik dalam negara ini masih berada di tahap paling corot. Apa yang mereka takutkan sebenarnya?” tanya Khairul.
Menurutnya, mahasiswa sudah mulai bosan dengan karenah birokrasi pihak HEP yang mengekang program ilmiah yang diadakan oleh mahasiswa.
“Mahasiswa bukan pelajar sekolah, lagi disekat lagi memberontak. Jadi, kami kira HEP sudah tidak relevan dan harus dimansuh.
“Apakah maknanya memegang gelaran mahasiswa tetapi masih perlu mengikut telunjuk dan  menjadi yes man sahaja?” tanya beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails