KUALA LUMPUR, 31 Dis: Umat Islam mesti bangkit
beramai-ramai menuntut pendakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Jamil Khir Bahrom kerana pecah amanah wang zakat, kata Naib
Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"Persoalan terbesar di sini
ialah jenayah pecah amanah wang zakat apabila Jamil Khir dan dua orang
lagi yang bersyubhat dengannya menggunakan wang itu untuk kos guaman kes
qazaf (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.
"Perbuatan pecah amanah wang
zakat tidak boleh ditutup walaupun di bayar balik kerana pecah amanah
telah pun berlaku," katanya.
Persoalan kedua, kata Mahfuz, ialah
pembohongan Jamil Khir apabila tanpa sebarang rasa malu sedikit pun
beliau membohongi rakyat dan mendakwa "mana mungkin saya hendak
menggunakan duit zakat untuk tujuan guaman".
"Dakwaan Jamil Khir
itu menghina Ketua Audit Negara yang membuat laporan bahawa wang zakat
telah digunakan untuk membayar kos guaman tersebut.
"Menghina
Ketua Audit Negara bermakna menghina Yang di-Pertuan Agong kerana Ketua
Audit Negara dilantik oleh baginda," kata Ahli Parlimen Pokok Sena
itu.
Menurut Mahfuz, menteri itu melakukan dua kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
"Selain
menghina Ketua Audit Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,
Jamil Khir sebelum itu telah melakukan jenayah pecah amanah wang zakat
dan institusi zakat yang terlibat itu berada di bawah bidang kuasa Yang
di-Pertuan Agong," katanya.
Sebagai anak Kedah, kata Mahfuz,
beliau tidak mahu Sultan Kedah yang kini menjadi Yang di-Pertuan Agong
tercalar imejnya kerana jenayah pecah amanah wang zakat yang dilakukan
oleh menteri berkenaan dan penghinaan terhadap Ketua Audit Negara yang
juga dilakukan oleh menteri berkenaan.
"Mereka yang terlibat
melakukan pecah amanah wang zakat itu mestilah didakwa dan jawatan
mereka hendaklah digantung sepanjang proses pendakwaan itu dan jika
mereka didapati bersalah mereka mestilah dihukum selain dipecat dari
jawatan mereka," tegas beliau.
Laporan Ketua Audit Negara 2010
mengesahkan pecah amanah wang zakat berjumlah RM63,650 dilakukan oleh
Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya bagi menghalang
kes qazaf yang di failkan oleh Anwar.
Wang zakat itu
disalahgunakan untuk pembayaran kepada firma guaman Zainul Rijal Talha
dan Amir bagi mewakili Jamil Khir, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin
Hussain, sebagai responden.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA