Kenyataan Terbuka
21 Disember 2011
Solidariti Anak Muda Malaysia dengan ini menyatakan secara terbuka
mempertahankan tindakan Adam Adli, 22 tahun siswa UPSI yang bertindak
meminjam tiang bendera di PWTC untuk menaikkan panji gerakan mahasiswa.
SAMM juga menyatakan solidariti bersama SMM memperjuangkan kebebasan
akedemik.
Pertama yang perlu dilihat ialah isu kebebasan akedemik itu, tunjuk
rasa mahasiswa pada 17 Disember lepas ialah untuk menuntut kebebasan
akedemik di dalam negara ini. Jika regim Umno tidak campur tangan dan
wujud kebebasan akedemik maka tunjuk rasa tersebut pasti tidak berlaku.
Kehadiran kumpulan lebih 400 siswa di PWTC (Bangunan Umno) selepas
mereka menghantar memorandum di SUHAKAM ialah selepas pimpinan Umno,
Dato’ Saifuddin Abdullah setuju menerima rombongan mereka untuk
menghantar memorandum, malah beliau turut sudi berucap dalam himpunan
tersebut memberikan jaminan bagi pihak Umno.
Semasa himpunan belansung, beberapa siswa telah bertindak meminjam
tiang bendera di PWTC untuk menaikkan bendera gerakan mahasiswa. Namun
tindakan ini telah difitnah oleh Utusan Malaysia dengan menambahkan
perkataan pijak , koyak dan seumpamanya. Ini merupakan amalan biasa bagi
alat propaganda Umno ini untuk menimbulkan kemarahan orang ramai.
Namun malangnya pemuda Umno sendiri yang telah termakan penipuan alat
propaganda mereka sendiri dengan mengeluarkan amaran tidak bertamadun.
Ketahuilah tiang bendera itu hanya dipinjam hanya 5 – 10 minit sahaja
dan kemudian kumpulan mahasiswa yang sama menaikkan semula bendera
asal seperti sediakala. Cuma dalam 6 tiang bendera kenapa mahasiswa
menurunkan bendera Najib Razak itu kena difikirkan ia mungkin saja
manifestasi anak muda yang sudah muak dengan Najib itu sendiri.
SAMM mengecam tindakan pemuda Umno yang menggunakan gangster sehingga
membawa ugutan ke rumah ibubapa Adam di Pulau Pinang. Adam diugut
dalam media baru termasuk sms, panggilan telefon. Setelah berjumpa Adam
saya nasihatkan Adam membuat laporan polis. Pada 19 Disember lepas
saya hadir untuk menyokong Adam ke Bukit Aman untuk membuat laporan dan
berbincang dengan polis. Kami diterima baik oleh Tuan Foo dari Bukit
Aman. Selepas selesai Adam terus memberikan kenyataan ringkas di depan
wartawan yang sedang menunggu di luar.
Sejak dari turun kereta hingga masuk ke kawasan Bukit Aman hingga
keluar semula kami diekori oleh sekumpulan lelaki yang saya kenali
antaranya anggota polis ada beberapa orang memakai topi berjenama
senjata api. Ketika Adam selesai memberikan kenyataan seorang lelaki
yang bertopi berjenama senjata api yang bersama dengan kumpulan polis
terbabit terus menyerang Adam. Namun cubaan mencederakan Adam berjaya
dielakkan apabila beberapa teman bertindak menolak lelaki tersebut.
Percayalah jika lelaki yang menyerang Adam itu dibalas dengan
asakkan fizikal dari pihak SAMM mahupun mahasiswa SMM, pastinya polis
yang betul-betul berada disekitar sidang media itu akan terus membuat
tangkapan ke atas kami. Jika berlaku sedemikian, maka ia pasti mengalih
perhatian dari isu sebenar terutamanya dari sudut persepsi. Mujurlah
SAMM dan SMM tidak termakan provokasi yang berniat untuk terus
merosakkan nama baik mahasiswa.
Malangnya polis yang ramai hanya melihat kejadian tersebut. Suspek
cukup dikenali kerana polis turut memanggil namanya sebagai ‘lan’.
Bukan sengaja meletakkan curiga kepada polis dengan kejadian ini tetapi
sehingga hari ini laporan polis ugutan terhadap Adam turut tidak
dilayan. Semalam seharian Adam terpaksa ‘berulang hubung’ antara IPD
Dang Wangi dan IPD Tanjung Malim kerana tidak ada pegawai penyiasat
untuk laporan polis beliau. Maka sehingga jam 8 malam Adam keluar dari
Balai HS Lee tanpa ada pegawai penyiasat sedia mengambil kesnya.
Tidak cukup dengan ugutan gangster, Umno turut membuat demonstrasi di
depan UPSI (maknanya umno juga sudah mengiktiraf aksi jalanraya) untuk
mendesak Adam dibuang pengajian. Begitulah Umno yang terperangkap
dengan pemikiran politik lama berdepan dengan kebangkitan anak muda
khususnya mahasiswa.
Tiba – tiba dalam kes Adam ini Umno merujuk budi bahasa dan
seumpamanya, tetapi bagaimana pula dengan tindakan proksi Umno
menghantar kek tahi kepada ketua menteri dan kakitangan awam atau
tindakan pemuda kencing digambar Tuan Guru Hj Hadi dan Tuan Guru Nik
Aziz.
Gambar atas ialah tindakan kurang ajar pemuda yang digunakan dengan
bangga di blog – blog umno gambarnya. manakala dua gambar berikut ialah
tindakan (ahli) Umno menghantar kek tahi ke ketua menteri Pulau Pinang,
kemudian dia memotong kek tersebut dan sajikan kepada kakitangan awam.
Kecewa kek tahinya tidak ada yang ambil akhirnya dia sendiri makan kek
tersebut. Tindakan hina ini bukan kali pertama sebelum ini proksi Umno
pernah hantar pakaian dalam juga kepada kakitangan awam di KOMTAR,
Pulau Pinang. Namun Umno, utusan dan lain – lain tidak melihat ini
sebagai menghina malah ia dianggap tindakan beradap dan hero.
Beberapa tahun lepas SAMM pernah muncul didepan Pejabat Perdana
Menteri untuk secara ‘terhormat’ menghantar kek ‘elok’ sempena hari
ulangtahun kelahiran Altantuya bagi mengingatkan mengenai kejadian kejam
pembunuhan yang berkaitan dengan penyelewengan pembelian alat
pertahanan negara. Namun polis telah bertindak kasar dan menangkap serta
menahan kami dalam lokap. Salahkah jika dikatakan tindakan dan istilah
mengancam keselamatan itu terpilih berdasar faham parti politik ?
Polis diminta bersikap profesional. Jika Adam Adli salah sila dakwa
dia berdasar undang – undang tak kisah lah jika ada akta menurun bendera
dakwanya. Sebagai anak muda seharusnya ketika dia melakukan perkara
tersebut dia juga harus sedia berdepan risikonya.
Kepada rakyat lihatlah cara tidak bertamadun Umno berdepan dengan
tuntutan rakyat. Jika apa-apa berlaku kepada Adam maka Najib presiden
Umno yang membiarkan budaya ugutan dan gansterisma dalam umno ini terus
dilindungi harus bertanggungjawab. Khairy Jamaluddin selaku ketua
pemuda Umno menyatakan pendirian sama ada dia bersetuju cara pemuda
Umno membuat ugutan termasuk membuat rakaman video ugutan atas nama
pemuda Umno.
Kepada anak muda terus bangkit, jangan takut. Ketika hujung usia
regim di Mesir dan dibanyak negara , gerakan rakyat bukan sahaja
berdepan dengan tindakan polis/tentera melindungi regim tetapi berdepan
dengan gangster upahan yang takut pelindung mereka hilang kuasa.
Bersatulah semua gerakan rakyat untuk menumbangkan regim. Ayuh sama
kita kibarkan bendera kebersamaan dalam perjuangan dengan mengenepikan
perbezaan.
Bersekutu mendesak perubahan, Asalkan Bukan Umno.
che’GuBard Solidariti Anak Muda Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA