Selamat Datang

Memaparkan catatan dengan label polis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label polis. Papar semua catatan

Rabu, 8 Ogos 2012

Tak perlu baiah, kata bekas pengarah JSJ

Hazayani Zakaria, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu sehingga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbaiah dengan kerajaan kerana tugas anggota polis sememangnya menjaga keselamatan awam dan negara.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, jika anggota polis memahami kerja mereka satu ibadah, mereka harus bekerja dengan jujur, amanah dan bersungguh-sungguh.

"Itu hak perdana menteri untuk membuat seruan tapi sememangnya penjawat awam khususnya anggota polis yang faham konsep ibadah, mereka akan bekerja dengan bersungguh-sungguh," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Selasa, 10 Januari 2012

Polis digesa bertindak segera insiden letupan


Muhammad Faizal,
SHAH ALAM, 10 Jan: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam sekeras-kerasnya insiden pengeboman yang berlaku di sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, menyifatkan adalah sesuatu yang memelikkan, di saat Kompleks Mahkamah Jalan Duta boleh diiktiraf sebagai kawasan paling selamat di Malaysia dengan kawalan rapi ratusan anggota polis, masih ada ruang untuk pihak tidak bertanggungjawab melakukan perancangan bodoh sebegitu.
Kejadian tersebut telah menyebabkan lima orang tercedera dan beberapa buah kenderaan turut rosak, di mana tidak kurang 3 letupan telah berlaku di sekitar kawasan berkenaan.
"AMK mengesyaki wujud unsur-unsur sabotaj yang mahu dilancarkan oleh pihak-pihak tertentu di sebalik perhimpunan aman kempen 901 hari ini.

Khamis, 1 Disember 2011

Ubah polis, tentera mengundi di tempat awam


| Print |
Muhammad Faizal   
KUALA LUMPUR, 1 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengubah tempat pengundian bagi anggota polis dan tentera ke tempat awam.
Mahfuz memperlihatkan pemindahan tempat pengundian undi awal itu sangat penting kerana ia dapat mengelak berlakunya tekanan kepada anggota tentera dan polis yang mengundi.
"Saya menggesa perubahan tempat pengundian bagi undi awal diubah dari kawasan disiplin tentera atau balai polis dilakukan di kawasan sekolah seperti apa yang dilakukan oleh pengundi awam biasa.
"Perkara ini penting kerana ia dapat mengelakkan tekanan ataupun ketakutan kepada anggota tentera serta polis yang ingin membuang undi yang merasakan ada pegawai sedang memerhati mereka membuang undi.

Rabu, 2 November 2011

Jangan sampai polis dianggap pelindung BN


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 2 Nov: Polis perlu cekap bertindak terhadap pencetus provokasi sebagaimana mereka agresif bertindak kepada himpunan aman Bersih 2.0, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Beliau mengulas ucapan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohd. Sofian Md. Makimuddin di taklimat Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Sabah seolah-olah apa yang berlaku ialah kerana Pakatan Rakyat.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.

Ahad, 12 Disember 2010

Surat terbuka kedua kepada KPN


Mat Zain Ibrahim

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar IGP,

Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur.

10hb.Disember 2010

YDH Tan Sri,

JAWAPAN KDN MENGENAI INSIDEN MATA-LEBAM.

Assalamualaikum wbt.,Semoga YDH Tan Sri dalam sihat walfiat.

2. Izinkan saya dengan segala hurmatnya merujuk kepada jawapan YB Menteri Dalam Negeri bertarikh 2.12.2010 kepada persoalan yang ditimbulkan di-Parlimen oleh YB Lim Kit Siang berkaitan isu diatas.

3. Saya menarik perhatian Tan Sri kepada petikan jawapan tersebut; “Pihak PDRM telah membuat semakan keatas penyiasatan yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam kes serangan mata-lebam pada 1998.Tiada apa apa keterangan yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan tersebut”.Saya memohon maaf kerana terpaksa menyatakan pendapat saya, bahawa pendirian yang PDRM ambil dalam menyediakan jawapan tersebut adalah jauh berbeza,malahan bertentangan dengan pendirian PDRM, ketika menangani siasatan insiden ini pada 1998.Saya wajar menegaskan bahawa pendirian PDRM ketika itu, adalah untuk menjalankan siasatan “without fear or favour;leaving no stone unturned;and to get it over with as soon as possible” dan tidak ada sebarang “cover-up” untuk sesiapa pun.Namun begitu pendirian kali ini nampaknya cenderong kepada melindungi orang-orang tertentu.

4. Saya berharap pendirian sedemikian yang Tan Sri ambil dalam penyediaan jawapan diatas adalah terbatas yang disebabkan oleh kekurangan bahan rujukan yang sepatutnya berada dalam kertas siasatan kes mata-lebam tersebut. Pada ketika penyiasatan kes ini lagi, beberapa dokumen penting dalam kertas siasatan itu, pernah dihilangkan ketika ditangan Peguam Negara dan kami terpaksa menggantikannya dengan salinan pendua.Malah keseluruhan kertas siasatan berkenaan pernah “dihilangkan” sementara, selama lebih kurang 3 minggu diatara 30.10.1998 hingga 20.11.1998 sepertimana yang saya jelaskan dalam perenggan 16 Surat Terbuka saya kepada Tan Sri pada 22.11.2010. Tidak hairan jika berlaku kekurangan kandungan kertas siasatan itu, kerana ianya tersorok lama di-Jabatan Peguam Negara.

5. Sebelum saya pergi kepada isu pokok surat ini,izinkan saya menegaskan bahawa diari penyiasatan saya dalam kes ini adalah dibuat “as and when the events unfolded”, sama-ada yang saya rakamkan secara detail atau sekadar mencatitkan perkara mustahak setakat membolehkan saya menyegarkan ingatan saya kepada peristiwa berkenaan.Seperti apa yang kita pernah diajar di-Maktab KKB dahulu, “you see..you recognize;you read..you will know;if you write…you will remember for ever.”.Saya juga ada merakamkan perkara-perkara penting dalam perharian rasmi (official diary) khususnya bagi memelihara kerahsiaan identity individu dan maklumat penting yang saya terima berkaitan siasatan kes ini. Selain daripada diari penyiasatan tersebut saya telah menyediakan summary of evidence dalam minit-minit bertarikh 15.10.1998, 29.10.1998 dan 27.1.1999 yang saya jadikan sebahagian daripada diari penyiasatan, kesemuanya diedarkan mengikut prosidur edaran kertas siasatan,kepada Peguam Negara.Jika terdapat rakaman diari atau minit saya yang palsu atau tidak benar,sudah lama saya telah dikenakan tindakan Mahkamah.

6. Apabila PDRM baru-baru ini menyatakan, “Tiada apa apa keterangan yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan ini”,persoalan yang muncul secara spontan ialah;bagaimana dan dimanakah hendak disorokkan sebanyak tiga(3) laporan perubatan yang telah dipalsukan dalam siasatan tersebut?.Malah dua(2) daripada tiga laporan berkenaan telah dikemukakan dan dipertimbangkan dalam prosiding Suruhanjaya Di Raja menyiasat insiden mata-lebam ini pada tahun 1999,dan laporan Suruhanjaya diistiharkan dokumen public.Laporan-laporan ini pula bukannya sekadar satu atau dua muka surat yang boleh terlepas pandang. Ketiga-tiga laporan ini berjumlah enam puloh lima(65) muka surat kesemuanya.Selain itu ketiga-tiga laporan berkenaan telah saya edarkan kepada;

YAB Perdana Menteri sendiri pada 19.2.2009.
YA Bhg.Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM pada 15.4.2009 dan 7.5.2009
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Pengarah Hospital Kuala Lumpur dan Presiden Malaysian Medical Association pada 7.5.2009.
Peguam Cara Negara menerusi salinan laporan 15.4.2009 dan 7.5.2009.

6.1. Saya percaya Tan Sri masih ingat,bilamana satu helai surat sahaja,bertarikh 21.9.1953 yang ditanda tangani oleh seorang Pemangku Setia Usaha Kerajaan Negeri, menjadi antara sebab utama,maruah dan kedaulatan Negara tercemar apabila kita terpaksa menyerahkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.Bayangkanlah apa yang boleh enam puloh lima (65) muka surat dokumen yang dipalsukan atas arahan Peguam Negara-Peguam Negara, boleh lakukan terhadap Sistem Keadilan Jenayah kita.

7. Saya turut yakin Tan Sri mahir dengan case laws berkaitan pemalsuan.Setiap pemalsuan itu adalah dilakukan secara “deliberate”.Tidak ada pemalsuan yang sebegini banyak dilakukan secara tidak sengaja.Saya ingin menegaskan bahawa ketiga-tiga laporan perubatan yang dipalsukan itu dilakukan dengan perancangan, persediaan dan perlaksanaannya dilakukan secara deliberate bagi memenuhi motif-motif yang jelas.Diary penyiasatan saya dan minit-minit berkaitan boleh membantu mengenalpasti sequent of events pemalsuan-pemalsuan ini.

8. Jika saya yang menjelaskan motif-motif pemalsuan itu dilakukan,mungkin ada pihak yang akan mempertikaikannya atau mungkin ada yang akan mengatakan saya melampau atau bias.Untuk menjauhi tanggapan khilaf sedemikian,apa kata saya jemput Tan Sri menilai sendiri dengan merujuk kepada penemuan Ahli Suruhanjaya Di-Raja Tersebut yang bijaksana, dirakamkan dalam Laporan Volume 1,PART TWO,Item 2 “OVERVIEW” perenggan 2.1.Komen Suruhanjaya ini dibuat berkaitan Press Statement Peguam Negara bertarikh 5.1.1999 yang ditanda tangan sendiri oleh Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham TSMA) khususnya muka surat 5 Press Statement tersebut:-

:Quote:( 6 baris terakhir muka surat 5 “Overview”)

“Quite simply,this passage meant that Dato Seri Anwar Ibrahim(DSA)had made untrue allegations about several injuries sustained by him but more to the point that it had been proved,to the satisfaction of the Honourable the Attorney General,that more than one Police Officer was involved in causing other injuries on certain parts of DSA’s body” ( penekanan saya kepada perkataan dalam “bold & italic”).Unquote.

8.1. Perkara dalam 2nd limb,quotation diatas yang menyebabkan pertembungan “head-on” antara Tan Sri Abdul Gani Patail(TSGP) dengan saya.Jika saya sebutkan nama-nama pegawai tinggi Polis dan berapa jumlahnya yang TSGP katakan beliau ada kuasa untuk menuduh dan atas kesalahan apa berkaitan insiden mata-lebam ini,mungkin saya akan dianggap sebagai seorang penghasut atau batu api. Tiada faedah untuk saya memainkan script usang ini.Bagaimanapun untuk makluman Tan Sri ,pada ketika saya dipanggil memberi keterangan oleh pihak SPRM bulan July 2008 itu,saya disoal juga mengenai “sikap tidak sopan” saya ini.Mungkin ianya tidak penting tetapi sekadar untuk Tan Sri membuat verifikasi jika relevan.

9. Dalam prosiding Suruhanjaya DiRaja tersebut yang diadakan diantara 22.2.1999 dan 4.3.1999,dua laporan pakar dalam persoalan ini,yang disediakan oleh Dr.Rahman Yusof masing-masing yang diarahkan oleh TSGP pada 26.10.1998 dan satu lagi yang diarahkan oleh Allahyarham TSMA,yang dipercayai disediakan diantara 14.12.1998 dan 21.12.1998 (Ekshibit A9) telah dikemukakan dan diteliti oleh Suruhanjaya. Perkara ini dirakamkan dalam Volume 1,PART FOUR,Item 4(B) The Medical Evidence,perenggan 4.11 dan 4.12.

9.1. Saya mendapat faham pendedahan dalam prosiding ini telah membuat Allahyarham TSMA merasa cemas.Diberitakan beliau tidak tahu TSGP telah lebih awal melantik Dr.Rahman menyediakan laporan pada 26.10.1998. Allahyarham juga dikatakan tidak diberitahu mengenai latar belakang Dr.Rahman sepertimana yang saya telah jelaskan kepada TSGP.Saya turut percaya sekiranya Allahyarham TSMA diberitahu mengenai kedua perkara ini,tidak mungkin beliau akan melantik Dr.Rahman buat kali kedua oleh kerana sebarang pemalsuan yang dilakukan akan mudah dikesan kerana semua aktibiti siasatan ini dirakamkan secara ketat oleh Pasukan Penyiasat.

9.2. Saya kemudiannya diberitahu ,TSGP telah memainkan peranannya dibelakang tabir untuk cuba “membetulkan” keadaan.Apa yang boleh saya sahkan ialah Dr.Rahman sendiri memohon, malah merayu kepada pembantu-pembantu saya untuk mendapat kerjasama saya memasukkan laporan ketiga pula untuk “neutralize” laporan pertama bertarikh 26.10.1998 dan laporan kedua sepertimana Ekshibit 9,yang saya tolak.

10. Perkara yang sangat penting yang saya harapkan Tan Sri mengambil perhatian ialah;

10.1. Dalam prosiding Suruhanjaya DiRaja tersebut,dua laporan Dr.Rahman yang diarahkan oleh Allahyarham TSMA dan TSGP telah dikemukakan; sepertimana disebut dalam perenggan 9 diatas.

10.2. Apabila laporan Suruhanjaya tersebut lengkap dicetak dan dipersembahkan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong,dan kemudiannya diistiharkan sebagai dokumen public,didapati laporan Dr.Rahman yang diarahkan oleh TSGP tidak ada dalam laporan tersebut.Bagaimanapun laporan yang diarahkan oleh Allahyarham TSMA ada sepertimana Ekshibit A9.

10.3. Untuk berlaku adil kepada TSGP,saya tiada maklumat mengatakan yang beliau ada peranan sehingga menyebabkan laporan yang beliau arahkan itu digugurkan daripada laporan Suruhanjaya tersebut.Bagaimanapun saya tidak akan terkejut jika beliau terlibat,oleh kerana orang lain tiada mempunyai kepentingan berkaitan laporan ini.Pun begitu saya tidak bimbang dengan ketiadaan dokumen tersebut dalam laporan Suruhanjaya, oleh kerana salinan-salinanya adalah dalam kawalan dan rakaman mengenai pembikinan laporan ini, dalam diari penyiasatan saya adalah lengkap dan jelas.

10.4. Apa yang patut dibimbangkan ialah;jika laporan penting sepertimana rekod prosiding Suruhanjaya Di-Raja ini,yang akan dipersembahkan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong, pun boleh dimanipulasikan,maka bayangkan apa yang boleh dilakukan terhadap rekod siasatan melibatkan rakyat biasa.

11. Saya berharap Tan Sri akan menimbangkan semula pendirian yang PDRM ambil dalam isu ini.Perkara mantan IGP,TSRN mengaku bersalah dan mengambil tanggung-jawab dan melalui hukuman yang dikenakan keatasnya, TIDAK sepatutnya diungkit lagi.Perkara yang patut dititikberatkan ialah mengenai pemalsuan-pemalsuan yang dilakukan dalam penyiasatan mata-lebam ini,dan pemalsuan-pemalsuan serta penipuan-penipuan yang dilakukan susulan dari itu dan/atau yang berkaitan dengannya dan mengenalpasti siapa pemain-pemain utamanya.Keterangan mengenainya baik keterangan direct mahupun circumstancial adalah jelas.Saya percaya Tan Sri turut sedar bahawa tidak ada pihak yang mempunyai kuasa untuk indemnify mana-mana individu daripada criminal liability.

11.1. Tidak salah untuk saya membawa ingatan Tan Sri kepada Januari 1999, dimana kesan daripada pemalsuan dan penipuan yang terkandung dalam Press Statement Peguam Negara bertarikh 5.1.1999 telah membawa PDRM to the brink of collapse. Betapa masyarakat memandang rendah dan hinanya kita ketika itu,sehinggakan timbul cakap-cakap yang orang luar dari kalangan PTD pula akan mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara,seolah-olah dalam PDRM tidak ada orang yang layak atau mampu memimpin pasukan.Saya percaya Tan Sri juga ingat situasi ini dan tentunya tahu orang-orang yang terlibat dan bersubahat membawa kita kepada situasi itu.Saya berharap sejarah ini tidak berulang.

12. Apa pun,saya serahkan kepada kebijaksanaan Tan Sri untuk membuat keputusan yang terbaik untuk PDRM dan adil untuk semua pihak.Bagaimanpun saya memelihara hak saya, untuk menyambung atau menghentikan setakat ini sahaja, persuratan berkaitan perkara dalam persoalan ini atau perkara yang berkaitan dengannya.

Salam sejahtera dan selamat maju jaya.Wassalam.

Yang benar,

(Mat Zain bin Ibrahim)

10hb.Disember 2010

Rabu, 24 November 2010

Mata Lebam: 2 menteri diarah soal Gani Patail


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, Nov 24: Dua menteri kabinet telah diarahkan menyoal Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dengan dakwaan beliau terlibat dalam salah lapor kepada kabinet berikutan tragedi Mata Lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lalu.

Keputusan itui dicapai kabinet dipercayai selepas surat terbuka bekas Pegawai Penyiasat kes itu, Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara yang mendakwa Gani terlibat dalam salah lapor kepada kabinat itu.

“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Mekah,” kata Nazri kepada laman web The Malaysian Insider.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu, Kabinet mahu mendengar sendiri daripada Gani sendiri mengenai dakwaan terbaru Mat Zain dalam satu lagi surat terbukanya kelmarin sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).

“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.

Semalam Harakahdaily menyiarkan berita surat terbuka yang dihantar oleh Mat Zain itu kepada Ketua Polis Negara.

Dalam surat itu Mat Zain mendakwa, Gani telah dua kali membuat salah lapor atau menipu kepada kabinet.

"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.

Menurut surat Mat Zain itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah bersedia untuk mengambil tanggungjawab berikutan kes Mata Lebam dan mahu melepaskan jawatannya.

Persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan antara beliau (Mat Zain) dengan Rahim dan timbalannya ketika itu, Tan Sri Norian Mai di pejabat Rahim.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau (Rahim) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulis Mat Zain.

Namun, keputusan itu berubah selepas Peguam Negara ketika itu, Datuk Mohtar
Abdullah bersama timbalannya, Datuk Abdul Gani Patail datang berjumpa dengan Rahim di pejabat Ketua Polis Negara itu.

Ekoran itu, pasukan polis didakwa gagal menyiasat siapa di belakang tragedi Mata Lebam menyebabkan kerajaan telah menubuhkan satu Suruhanjaya untuk menyiasatnya dan mendapati Rahim adalah pihak yang memukul Anwar sehingga lebam matanya.

Bagi Mat Zain, ini adalah satu tragedi kepada pasukan polis dan ia perlu dipulihkan segera.

Beliau membayangkan, satu tribunal diperlukan untuk menyiasat orang berkedudukan seperti Gani.

"Setakat yang saya telah dinasihatkan dan sesungguhnya percaya;bahawa jika seorang Peguam Negara didapati tidak lagi berupaya diatas apa sebab pun, untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna, atau didapati telah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan beliau dipecat daripada jawatannya,maka pihak yang berkuasa mengadili/ menghakimi beliau ialah suatu Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong sahaja, sepertimana perbekalan Artikel 125 Clause (4) Perlembagaan; setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri mengikut Artikel sama Clause (3)," tulis beliau dalam suratnya kepada Ketua Polis Negara 22 November lepas.

Selasa, 23 November 2010

Selepas 12 tahun, Mata Lebam terus hantui polis


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Walaupun sudah 12 tahun berlalu, tragedi 'Mata Lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menghantui pasukan polis dan hari ini Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sediri dikaitkan dengan tragedi ini.

Bekas Pegawai Penyiasat polis terhadap kes ini, Mat Zain Ibrahim semalam (22 November) menghantar satu surat terbuka kepada Ketua Polis Negara meminta beliau membersihkan pasukan polis dan mendakwa pihak yang patut dipersalahkan dalam isu ini adalah Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Menurut surat panjang Mat Zain kepada Tan Sri Ismail Omar itu, sekurang-kurangnya sudah dua kali Gani menipu Jamaah Menteri.

"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.

Menurut Mat Zain, beliau pernah diminta menemui Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2008 ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri. Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Najib telah memarahi beliau apabila memberitahu satu penal telah dibentuk bagi mengkaji siasatan SPRM terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Gani Patail.

"Dalam perbualan sama, saya memberitahu YAB PM mengenai maklumat yang saya perolehi; dimana pihak Kerajaan telah melantik satu Panel bagi mengkaji siasatan yang dijalankan oleh SPRM. Saya juga telah menyebutkan nama dua orang yang telah dilantik sahaja yang saya ketahui pada masa itu.

"Secara sepontan YAB PM bangun daripada tempat duduknya dan menyatakan dengan serious bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perlantikan Panel yang saya nyatakan kepadanya. Beliau selanjutnya menyatakan bahawa sekiranya benar sesuatu Panel telah dilantik, beliau pasti telah ditaklimatkan mengenainya.

"Malahan YAB PM telah menasihatkan saya supaya tidak percaya dengan khabar angin sedemikian kerana perkara itu adalah tidak benar. Setelah berbual satu dua perkara lain saya telah meninggalkan Pejabat YAB PM," tulis Mat Zain menceritakan bagaimana PM telah memarahi beliau.

Namun, katanya, terbukti selepas itu, Penal itu memang diwujudkan oleh Jabatan Peguam Negara sebagaimana jawapan rasmi kerajaan di Parlimen.

Pada 11.3.2009, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuat pengumuman di-Parlimen mengenai keputusan siasatan SPRM tersebut, tulis Mat Zain.

Nazri mengumumkan bahawa siasatan SPRM telah diteliti oleh tiga orang Ahli Panel bebas yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya(DPP) mengikut Kanun Prosidur Jenayah(CPC) oleh Peguam Cara Negara(SG) padahal sebelumnya, PM Najib telah menafikan penubuhan penal itu.

Beliau juga memberikan nama-nama tiga orang Ahli Panel bebas tersebut iaitu; Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk Wira Mohd.Noor Ahmad dan Datuk Mohd.Noor Abdullah,masing-masing mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan.

Selanjutnya beliau mengumumkan bahawa Ahli Panel sebulat suara (3-0) mendapati Tan Sri Musa Hasan tidak terlibat dalam sebarang salah laku jenayah manakala keputusan majoriti (2-1) terhadap Tan Sri Gani Patail (TSGP) yang bermakna seorang dari Ahli Panel tersebut mendapati terdapat keterangan mengaitkan TSGP dalam suatu salah-laku.

Namun begitu kedua-dua TSGP dan TSMH dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah, tulis Mat Zain.

Menurut Mat Zain, cara Peguam Negara mengendalikan isu P I Balasubramaniam dan dakwaan terhadap Ling Leong Sik "mengesahkan tanpa ragu lagi, bahawa beliau tidak menghiraukan langsung hak kesamarataan individu dari sudut undang-undang, yang dijamin oleh Perlembagaan."

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Peguam Negara dihadapkan kehadapan Tribunal untuk disiasat.

"Sekiranya Ketua Hakim Negara boleh dibawa kehadapan Tribunal,jika bekas Timbalan Perdana Menteri,Menteri Besar,Menteri-Menteri kanan termasuk Tun LLS,Ahli-Ahli Parlimen,Ketua Polis Negara,Panglima dalam Tentera Darat, Ketua Setiausaha Kementrian,Ketua Pengarah-Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan dan lain-lain, mampu dihadapkan kemuka pengadilan oleh Kerajaan,malah ada diantara mereka yang telah menjalani hukuman,dibuang kes dan ada yang masih menunggu perbicaraan selain daripada telah diaibkan. Apa istimewanya Peguam Negara?" tulis beliau.

Mat Zain juga mengaitkan kes Mata Lebam dengan Peguam Negara.

Menurutnya, persetujuan telah dicapai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor dengan timbalannya, Tan Sri Norian Mai dan beliau selaku Pegawai Penyiasat kes itu agar ia ditutup dengan penuh hormat.

"Sebenarnya persetujuan untuk penutupan sepenuhnya insiden mata-lebam itu, dicapai antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang hari Khamis 8.10.1998," katanya.

Persetujuan ini dicapai diantara Tan Sri Abdul Rahim Noor (TSRN), Ketua Polis Negara ketika itu,Tan Sri Norian Mai,Timbalan Ketua Polis Negara dan saya selaku Pegawai Penyiasat,didalam bilik Pejabat TSRN sendiri

"Setelah memberi persetujuan tersebut saya lihat wajah TSRN begitu tenang,dan menerusi “body language” beliau, saya dapati seolah beliau begitu lega, setelah beban diatas bahunya dilepaskan.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau(TSRN) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulisnya.

Keputusan yang dicapai, berdasarkan tulisan Mat Zain itu, Tan Sri Rahim akan mengaku memukul Anwar sehingga lebam matanya dan meletakkan jawatan kerana kesalahan itu.

Namun semua itu berubah apabila Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah diiringi orang kuatnya Datuk Abdul Gani Patail telah menemui Rahim Noor.

"Manusia hanya boleh merancang, tetapi Allah sahaja yang boleh menentukanNya. Saya mendapat tahu kemudiannya, iaitu pada jam lebih kurang 5.00 hingga 5.30 petang 8.10.1998 itu,Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) diringi oleh orang kuatnya Datuk Abdul Ghani Patail ,telah menemui TSRN dibilik Pejabat KPN," tulis Mat Zain.

"Lebih kurang jam 6.00 petang itu saya dipanggil untuk berjumpa dengan Tan Sri Norian dan beliau cuma memberitahu saya “untuk meneruskan siasatan seperti biasa”,dan apabila melihat beliau membuat gesture bahunya sedemikian,saya faham bahawa persetujuan yang dicapai antara kami beberapa jam sahaja sebelum itu telah dibatalkan.

"Saya harus menyatakan bahawa saya terkejut dan hampa dengan perubahan ini, tetapi siapalah saya untuk menghalangnya, oleh kerana kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok," tulisnya lagi.

Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat tragedi Mata Lebam itu mendapati Rahim yang bersalah kerana memukul Anwar.

Namun sebelum itu, siasatan polis tidak pernah mendedahkan Rahim yang bersalah bahkan Tun Dr Mahathir pernah mendakwa Anwar mencederakan dirinya sendiri.

BACA SURAT PENUH MAT ZAIN DI SINI

Selasa, 12 Oktober 2010

19 kelongsong peluru di samping Aminurasyid


Harakahdaily

SHAH ALAM, 12 Okt: Seorang saksi kes perbicaraan seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian adik Aminulrasyid Amzah, 16 tahun, memberitahu mahkamah, ada 19 kelongsong peluru dijumpai di tempat kejadian.

Kopral Mokhtar Hussein berkata, dia menjumpai kelongsong peluru itu ketika beliau ke tempat kejadian selepas mendapat laporan tembakan ke atas seorang remaja.

Beliau memberikan keterangan sebagai saksi ke atas Kopral Jenain Subi, 48 tahun, yang didakwa menyebabkan kematian ke atas Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, Shah Alam pada awal pagi 26 April lalu.

Jenain boleh dihukum sehingga 30 tahun penjara berikutan dakwaan membunuh tanpa sengaja itu.

Perbicaraan ke atas beliau bermula hari ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam di hadapan hakim Latifah Mohd Tahar. Jenain diwakili oleh Salim Bashir manakala peguam Karpal Singh menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Aminulrasyid.

15 saksi dijangka akan dipanggil bagi memberikan keterangan dalam kes yang mendapat perhatian pelbagai pihak ini.

Pada awal pagi 26 April lalu, Aminulrasyid mati tertembak apabila sebutir peluru menembusi kepalanya dari belakang.

Aminurasyid memandu kereta yang dimiliki kakaknya. Turut serta dalam kereta itu adalah rakannya, Azamuddin Omar, 15, yang juga seorang remaja di bawah umur.

Saksi pertama yang memberikan keterangan hari ini adalah lans kopral Mohd Sabri Salleh, 30 yang bertugas pada hari kejadian itu.

Dia memberikan keterangan bahawa pada jam kira-kira 1.45 pagi, dia menerima panggilan dari kereta peronda untuk membantu menghentikan sebuah kereta Proton Iswara berwarna puteh yang dipandu laju dan tidak berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis.

Saksi kedua adalah penyiasat lans kopral Ahmad Zamzani Abd Wahab, 25. Dia dipanggil untuk mengambil gambar tempat kejadian dan mendapati tayar belakang kereta yang dipandu Aminurasyid itu pancit.

Rabu, 4 Ogos 2010

Pemuda bimbang polis pertahan sisa kuasa Umno

Wartawan Kita

KOTA BHARU, 3 Ogos: Tindakan tidak profesional polis menahan dua wartawan yang bertugas pada program membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohammad ke-IV malam semalam dipertikai Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak polis menahan wartawan yang sedang menjalankan tugas.

Katanya, tindakan polis menahan petugas berkenaan sehingga awal pagi jelas sekali menunjukkan pasukan keselamatan itu seolah-olah diperalat Umno dan Barisan Nasional bagi kepentingan politik mereka.

”Tindakan menahan petugas media menyebabkan pihak polis tidak lagi dihormati masyarakat,” katanya di sini.

Malam semalam dua wartawan akhbar Salmah Mat Hussain dari Harakah dan Rizal Tahir (harakahdaily) ditahan ketika sedang bertugas membuat liputan perhimpunan membantah ISA.

Lebih mengejutkan lagi apabila anak mereka berusia 15 tahun yang berada dalam kereta juga ditahan. Mereka dibawa ke ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan.

Mereka ditahan ketika berjalan ke kereta untuk pulang selepas polis meminta orang ramai yang hadir bersurai.

Orang ramai memberitahu mereka melihat sebuah kenderaan polis cuba menghalang kereta wartawan terbabit setelah diletak di hadapan astaka stadium.

Kereta mereka digeledah bagi mencari risalah berkaitan perhimpunan membantah ISA.

Mereka kemudian dibebaskan kira-kira jam 2.45 pagi dengan jaminan polis setelah disoal siasat hampir lima jam.

Semalam Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan polis menahan wartawan yang sedang bertugas.

Seorang pengiat seni yang enggan mendedahkan identitinya bimbang penggunaan pasukan polis secara berleluasa akan menghakis demokrasi yang dipertahan di negara ini.

Perhimpunan membantah ISA yang diadakan di seluruh negara malam semalam berdepan dengan tindakan keras polis dengan menahan pencinta keadilan.

Ahmad Fadhli berharap pihak polis lebih mengutamakan kepentingan awam bagi menjaga keselamatan rakyat dan bukan bertindak menjaga sisa-sisa kuasa dimiliki Umno.

Isnin, 2 Ogos 2010

Polis perlu jaga keselamatan negara, bukan Umno



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: PAS berharap polis menjaga keselamatan negara, bukan keselamatan Umno dan bertindaklah secara profesional dengan memberikan keutamaan kepada apa yang patut dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara, bukan untuk kepentingan Umno BN.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad menegaskan pihaknya membantah sikap primitif dan tidak bertamadun polis yang bertindak kasar terhadap ceramah dan himpunan aman yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negara ini.

Beliau merujuk kepada tangkapan dan gangguan ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rengit, Batu Pahat pada 31 Julai di mana polis bertindak mengosongkan pentas, merampas pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.

Sekurang-kurang-kurangnya sembilan orang ditangkap yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita di mana polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak, seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis pada 1 Ogos manakala pada sebelah malamnya, pada himpunan menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seramai 29 orang ditangkap, 21 lelaki dan 8 perempuan.

Wartawan Harakah dan Harakahdaily di Kota Bharu juga turut ditahan semasa bertugas membuat liputan himpunan membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke-IV malam tadi.

“PAS sungguh kecewa terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis, ketika kadar jenayah meningkat, buang anak menjadi-jadi. Manakala pihak polis sanggup memerah otak untuk menyekat rakyat mendapat maklumat yang sebenar,” ujar Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah tidak adil ketika media elektronik kerajaan BN memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak dibenarkan menjelaskan cerita yang sebenar.

PAS, ujarnya yakin tindakan itu sebagai satu usaha Umno kerana parti perkauman Melayu itu sudah berada penghujung hayat, lantaran apa yang dikhabarkan oleh Umno, rakyat tidak percaya.

Menurutnya lagi, maka satu jalan sahaja yang ada kepada mereka ialah menggunakan kuasa dengan mengarahkan pihak polis mengganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.

“PAS yakin tindakan yang dibuat oleh polis bukan rakyat semakin takut, malahan semakin benci dengan Umno BN, dan yang paling kita bimbang moral dan imej polis akan tercalar di mata rakyat.

“Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat Pusat, kesemua mereka yang bertindak secara tidak profesional akan dihadapkan ke pengadilan,” tegasnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails