KUALA LUMPUR, 10 Mei: Laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?’ yang disiar 7 Mei lalu adalah perbuatan jenayah, kata Pakar Udang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar).
Menurutnya, laporan tersebut cenderung mencetuskan api perkauman dan pertelagahan agama di negara ini.
Sehubungan itu jelasnya, Utusan boleh didakwa sama ada di bawah Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan atau di bawah Kanun Keseksaan kerana menerbitkan berita palsu.
“Jelas apa yang dipaparkan oleh Utusan itu sebenarnya cerita bohong. Berita palsu dan tidak wujud.
“Ini semua menangani perlakuan jenayah. Apa yang dilakukan oleh Utusan pada saya prima facie satu perbuatan jenayah,” katanya kepada Keadilandaily.
Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan yang sehingga kini dilihat 'lepas tangan' terhadap jenayah Utusan tersebut tanpa ada sebarang tindakan terhadap akhbar itu.
"Laporan polis sudah dibuat tapi apa hasilnya?" soalnya lagi.
Mengulas lanjut, Aziz Bari berkata, tulisan Utusan yang tidak masuk akal itu, merupakan bukti Umno panik untuk menarik simpati orang Melayu dan Islam terhadap parti itu yang dilihat semakin hilang sokongan.
“Lagipun apa isunya? Bukankah DAP dan sekutu Pakatannya telah pun mengisytiharkan bahawa mereka akan pertahankan perlembagaan?
“Bukankah Perdana menteri sendiri kata tahun lepas bahawa peruntukan yang dimaksudkan itu telah ‘dikunci mati’? Anehnya Najib cakap lain pula sekarang.
“(Menteri kebudayaan, Warisan dan Kesenian) Rais Yatim pun dua kali lima. Mereka dah lupa atau buat-buat tak faham perlembagaan,” katanya.
Dalam laporan 7 Mei lalu, Utusan mengambil sumber bloger Umno Zakhir Mohamed ‘Making Christianity the official religion’ yang mendakwa Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi telah menganjurkan pertemuan dengan paderi kristian di mana kumpulan berkenaan berdoa supaya Kristian dijadikan agama rasmi dan seorang kristian dilantik sebagai perdana menteri.
Jeff Oii turut membuat laporan polis terhadap Utusan dan blog berkenaan kerana cubaan memfitnah dan berniat jahat.
Beberapa laporan polis turut dibuat agar Utusan disiasat kerana didakwa cuba meniup api perkauman.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga sebelum ini berpendapat, tindakan Utusan itu sebagai permainan politik Umno menjelang pilihan raya.
Beliau bagaimanapun menasihatkan seluruh ahli PAS tidak terjerumus dalam 'perangkap' politik itu seperti apa yang berlaku pada Operasi Lalang 1987. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA