Selamat Datang

Ahad, 29 Mei 2011

BN takut, 'rayu' belia pertahan Putrajaya


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belia Malaysia membantu untuk mempertahankan Putrajaya bukti Umno BN takut berdepan Pilihan Raya Umum ke -13, kata Idris Ahmad.

Ketua Penerangan PAS itu mendakwa, permintaan Najib itu hanya sia-sia kerana yakin belia pada zaman ini matang membuat penilaian dengan pendedahan maklumat yang pelbagai dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana yang dikawal Umno BN.

"PAS yakin belia Malaysia bukan hidup zaman gua yang terputus maklumat. Belia Malaysia yang merupakan orang aktif dengan media baru yang sentiasa terdedah dengan maklumat sebenar.

"Umno hanya boleh mendapat sokongan daripada rakyat yang buta maklumat, belia bukan tergolong dalam kategori rakyat yang buta maklumat. Kebetulan pula yang datang di dalam perhimpunan ini bukan dengan kerelaan hati," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Mengulas himpunan setuja belia yang diadakan di Putrajaya itu, Idris berkata PAS tidak menganggap kehadiran belia ke sana petanda sokongan mereka kepada Umno BN, apatah lagi kehadiran mereka secara paksa rela.

"PAS tidak hairan kerana perhimpunan yang Umno BN anjur semuanya bukan sukarela tetapi paksa rela, berbeza dengan himpunan anjuran PAS yang datang dengan belanja sendiri.

"Rakyat tentu masih ingat ketika Umno tersepit maka mereka akan menghimpun rakyat. Sewaktu bergaduh dengan Raja-raja Melayu tahun 1983 mereka ajak rakyat untuk tunjuk kepada Raja-raja Melayu dengan mengadakan perhimpunan bahawa rakyat di belakang Umno," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau yakin belia yang matang tidak akan bersama dengan kerajaan yang boros, korup dan tidak berhemah kepada negara dan rakyat.

Belia jelasnya sedar mereka kini sedang dibebankan dengan kos kenaikan harga barangan termasuk beban pinjaman pengajian, beban sara hidup, pengangguran dan sebagainya.

"Mereka tidak boleh terima, rakyat negara ini semakin merempat walaupun hasil mahsul negara begitu banyak," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails