Sudah tiga hari perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan Terengganu dan Pahang berlalu. Namun cerita pertarungan dua pasukan tetangga itu masih hangat diperbualkan, khususnya di Terengganu. Anak-anak muda dan para peminat bolasepak negeri ini seakan masih belum puas mengulang-ulangi cerita kejayaan manis pasukan mereka. Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Isnin lalu, pasukan tuan rumah berjaya menundukkan pasukan pelawat dengan dua jaringan tanpa balas. Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, beberapa hari sebelumnya, Terengganu mempamerkan persembahan mengagumkan apabila bangkit mengalahkan pasukan tuan rumah 3-2 setelah ketinggalan 2-0 pada babak pertama. Dengan kemenangan pada perlawanan timbal balas itu, Terengganu berjaya mengalahkan Pahang dengan agregat 5-2. Ia sekali gus mengesahkan tiket untuk Terengganu ke perlawanan akhir Piala FA bertemu satu lagi pasukan tetangga, Kelantan, pada 11 Jun nanti. Ia dianggap catatan sejarah buat Terengganu. Kejayaan malam itu mengakhiri penantian selama tujuh tahun untuk kembali beraksi di final Piala FA setelah buat kali terakhir layak pada edisi 2004, di mana Terengganu tewas 3-0 kepada Perak. Tidak syak lagi kemaraan ke pentas final kali ini menyemarakkan semangat khalayak peminat sukan, khususnya para penyokong bolasepak Terengganu. Turut dibuakkan ialah ‘sentimen’ kewilayahan yang kini bertukar ke arah kenegerian. Sebelum ini cakap-cakap mereka banyak membungakan kebanggaan atas sentimen Pantai Timur. Mereka bangga, entah atas asas apa, bahawa arena bolasepak negara seakan dikuasai negeri-negeri Pantai Timur, apabila pentas separuh akhir Piala FA dikuasai ketiga-tiga negerinya – Pahang, Terengganu dan Kelantan. Hanya Selangor yang mampu mengisi satu lagi slot separuh akhir itu. Kini, kebanggaan itu beransur diresapi sentimen kenegerian. Setelah sah Terengganu bakal bertemu Kelantan, dua pasukan yang secara tradisinya ‘bermusuhan’, para penyokong masing-masing sudah mula menyebarkan perang psikologi terhadap lawan. Sejauh manakah pertembungan di luar padang itu bakal menggegarkan gelanggang pertarungan sebenar bulan depan, hanya Allah Ta’ala yang Maha Mengetahui. Namun seperkara yang agak unik dan sedikit terkeluar daripada kebiasaan orang berseteru ialah wujudnya keadaan saling berbangga dengan tabiat dan gelagat para penyokong kedua-dua pasukan. Tidak sukar dibaca komen-komen para penyokong Terengganu di media baru, terutama menerusi laman sosial facebook, yang memuji-muji tindakan sebahagian penyokong bolasepak Kelantan mengadakan solat berjamaah di atas padang sementara menunggu perlawanan bermula. Gambar-gambar para pemuda berpakaian merah-putih mendirikan solat, termasuk sebahagian lain di celah bangunan dan di tepi stadium, dijadikan bahan perbincangan. Mereka memuji ketaatan rakan-rakan seperjuangan mereka terhadap perintah Allah. Malah tidak sedikit antara mereka mengaitkan perubahan fenomena penghayatan memenuhi tuntutan agama di kalangan penyokong pasukan bolasepak Kelantan kini sebagai hasil tarbiyah dan keberkatan pemerintahan ulama di negeri itu. “Nampak gaya kita (penyokong pasukan Terengganu) pun kena buat gitu jugok (bersolat sebelum perlawanan), baru berkat pasukan kita,” baca salah satu komen. Nampak di situ sudah ada unsur-unsur politik? Ya, tidak dapat disangkal lagi betapa sentimen politik turut bersemadi kukuh dalam jiwa anak-anak muda itu, walau pun mereka dianggap khalayak yang taksub dengan agenda sukan. Sebab itu tidak sukar juga dilihat komen-komen positif penyokong pasukan Kelantan terhadap rakan-rakan mereka di belah Terengganu pula. Antara yang menarik perhatian mereka ialah apabila ada kelibat bendera hijau-putih di celah-celah keriuhan stadium meraikan kejayaan pasukan Terengganu. Secara logiknya, hanya penyokong tegar PAS yang akan tergamak mengibarkan bendera parti mereka di tempat sebegitu. Mereka bagaikan sudah tidak dapat menahan runtunan jiwa menzahirkan pendirian politik, lalu mengambil kesempatan mempamerkannya di stadium. Apa yang berlaku dalam stadium di Kuala Terengganu malam itu bukan suatu yang luar biasa. Difahamkan kelibat penyokong pasukan Terengganu dan Kelantan menjulang syiar parti Islam itu di tengah-tengah sorakan penyokong bolasepak sudah semakin melumrah. Namun, ruapan sentimen politik yang terluah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Isnin lalu bukan setakat kibaran bendera ‘bulan’. Ia malah telah melangkaui persefahaman biasa bahawa soal memilih parti adalah hak masing-masing. Anak-anak muda di dalam stadium malam itu dikatakan telah menzahirkan sikap politik mereka secara serius. Manakan tidak apabila mereka sanggup menyorak dan mengejek rakan yang menaikkan bendera Umno? Dikatakan di saat mereka bersorak-sorai kegirangan meraikan jaringan gol oleh pasukan Terengganu, sebilangan mereka mengibarkan bendera PAS. Namun sorakan mereka serta-merta bertukar cemuhan dan ejekan tatkala ada seorang yang menaikkan bendera parti Melayu itu. Nasib baik yang mengambil sikap melawan arus itu rakan penyokong pasukan yang sama. Dapat dibayangkan betapa suasana akan lebih gamat dan hangat sekiranya yang menaikkan bendera Umno itu penyokong pasukan lawan. Babak itu belum cukup menjadi bahan tawa dan ‘hiburan tanpa dirancang’ di kalangan penyokong. Apa yang menimpa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said bahkan jauh lebih memalukan. Dikatakan kehadirannya ke tepi padang meraikan para pemain turut menjadi bahan sorakan dan cemuhan penonton. Para penyokong Terengganu sendiri seakan ‘tidak mengalu-alukan’ kelibat pemimpin Umno itu. Malah, ada antara yang berada berdekatan kumpulan yang bersorakan itu mengatakan, kedengaran tidak sedikit suara kutukan bersifat peribadi terhadap Ahmad, termasuk “Mat Said bodoh”, dan sebagainya. Cemuhan mereka itu mungkin agak keterlaluan dan tidak boleh dijadikan kebanggaan buat parti disokong mereka. Bagaimana pun jika sikap penyokong itu diambilkira, agak ketara maruah Umno tidak ada tempat di kalangan mereka. Sikap sama mereka tunjukkan di luar stadium. Kibaran bendera PAS mengiringi kegirangan mereka meraikan kejayaan pasukan Terengganu. Ada kereta dibaluti bendera ‘bulan’. Ada penunggang menyelimuti badan mereka dengan bendera sama. Malah ada yang mengiringi kibaran bendera itu dengan laungan keramat ‘Allahu Akbar’. Sayugia diingati bahawa sebahagian amat besar penyokong yang hadir ke stadium malam itu ialah kalangan anak-anak muda. Umur mereka antara akhir belasan tahun hingga awal 40-an. Di dunia politik, kumpulan usia ini membentuk kelompok terbesar pengundi. Dalam perkiraan lebih luas, kelompok usia mereka ini juga yang memainkan peranan besar mencorakkan perubahan politik dunia mutakhir ini. Jika luahan sikap politik anak-anak muda di stadium malam itu dijadikan isyarat, itu bermakna gelombang menolak Umno sudah semakin menyemarak dalam masyarakat, khususnya di Terengganu. Ia satu reaksi positif untuk slogan ‘PAS Ganti Umno’. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA