Selamat Datang

Jumaat, 6 Mei 2011

Haron Din: Sekat fitnah dengan syariat Islam


Intan Abdullah

Perbincangan wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH bersama Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mengupas isu video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat menurut pandangan syariah.

Harakah : Bersandarkan kes (video seks) tersebut, boleh ustaz kupas tentang bagaimana syariat Islam berperanan dalam keadaan yang sepatutnya. Kita mulakan kes ini bagaimana ianya didedahkan oleh tiga individu iaitu Dato' T. Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berkuasa iaitu pihak polis dan jabatan agama Islam?

Datuk Dr Haron Din
: Masyarakat Islam khususnya dan rakyat secara umumnya digegarkan dengan peristiwa yang bermacam-macam. Mutakhir ini tercetus perkara yang amat mengaibkan bukan sahaja peribadi, malah komuniti masyarakat dan negara kita yang menunjukkan bahawa nilai-nilai moral sudah tidak menjadi pertimbangan utama asalkan tujuan yang tersembunyi di dalam diri yang biasanya untuk kepentingan peribadi dan politik.

Maka dijadikan isu-isu moral yang begini besar begitu mudah terpapar dalam masyarakat yang sepatutnya orang-orang khusus yang menangani dan melihat perkara ini bagi mencari jalan untuk sampai kepada tujuan asas sama ada untuk benar-benar menghukum orang yang bersalah atau untuk tujuan lain seperti sengaja membiarkan rakyat membuat tanggapan sendiri pada perkara yang belum ada kepastian. Cuma mesejnya kita dapat merasakan bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik memaparkan klip video yang masih ada banyak tanda tanya.

Memanglah kita akan menyatakan bagaimana syariat berperanan dalam menangani isu yang seperti ini. Ingin saya jelaskan terlebih dahulu bahawa syariat Islam ini didatangkan Allah kepada manusia untuk menangani dan mengatasi lima perkara utama yang diistilahkan sebagai al-kulliyyatul khamsah atau disebutkan juga sebagai maqasid as-syariah. Tujuan syariat itu diturunkan kepada manusia iaitu untuk menjaga agama, akal, maruah atau jatidiri, keturunan dan harta manusia.

Dalam kes kita ini termasuk dalam hal menjaga maruah atau keperibadian. Untuk inilah maka antaranya syariat turun ada kesalahan yang dipanggil sebagai zina (termasuk liwat), qazaf atau menuduh orang lain melakukan zina. Sekiranya hal-hal moral yang kita bincangkan ini tidak dilaksanakan maka tiada jaminan untuk kita dapat atasi masalah moral. Tapi kalau kita atasinya dengan syariah maka sudah ada suatu jaminan Allah dalam al-Quran kalau dalam kes zina sebagai contoh yang bermaksud : Janganlah kamu merasakan dengan sebarang keberatan ataupun kasihan kepada orang yang sabit melakukan kesalahan moral seperti zina, atau tuduh zina ini dalam melaksanakan hukum Allah.

Tujuannya mudah sahaja iaitu itulah hukuman sebagai balasan yang setimpal atas kesalahan yang mereka lakukan dan Allah menjanjikan untuk melarang dan mencegah agar ianya tidak berlaku lagi kesalahan yang seperti itu. Apabila Allah menjanjikan bahawa ia akan melakukan, ianya ditamatkan ayat itu dengan Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana. Perkasa - dia mampu melakukan apa sahaja. Bijaksana - Dia tahu apa yang menjadi ubat kepada setiap penyakit dalam masyarakat.

Sebab itu maka tiada cara yang lebih berkesan daripada menggunakan syariat dan undang-undang Allah bagi menangani isu yang sedang kita hadapi sekarang ini bagi menjamin kestabilan masyarakat untuk masa depan.

Apakah yang sepatutnya dilakukan pihak berkuasa iaitu Jabatan Agama Islam dan polis secara praktikalnya apabila datangnya berita daripada tiga individu ini?

Dalam suasana kita menyedari bahawa syariat Islam belum berperanan dan belum diambil untuk dijadikan medium perantaraan untuk mengatasi masalah walaupun kita ada hasrat namun sebagai pemerintah Islam sama ada pihak berkuasa kerajaan daripada atas ke bawah dalam kabinet atau dalam sektor-sektor yang menangani masalah seperti polis dan sebagainya - saya menyarankan agar sekurang-kurangnya walaupun tiada undang-undang yang dikuatkuasakan tetapi hukum Islam tetap wujud.

Apabila ia wujud, maka terpaksa atau semestinya kita menghormati, menjaga dan mematuhi hukum-hukum ini. Antaranya ialah hukum tidak boleh mengaibkan orang - yang disebutkan dalam istilah yang dikenali sebagai mengata, mengumpat atau apa sahaja yang boleh mengaibkan orang itu memang jelas dalam hadis yang bermaksud barangsiapa yang menutup keaiban seseorang, Allah tutup keaibannya di hari kiamat. Sesiapa yang membuka keaiban seseorang, Allah akan buka keaibannya pada hari kiamat. - maksudnya balasan Allah

Apabila keaiban itu melibatkan perkara besar seperti menuduh atau menggambarkan ataupun menyebabkan orang percaya menyatakan itu perzinaan berlaku maka ia termasuk dalam istilah qazaf iaitu menuduh atau mendakwa orang melakukan zina. Maka ada caranya itu mensabitkan hal berkenaan iaitu dengan membawakan empat saksi yang boleh melihat, yang boleh diperiksa semula sejauh mana mereka berhak dan layak menjadi saksi. Apabila semuanya cukup hukum Islam sepatutnya dilaksanakan. Oleh kerana kita belum melaksanakan syariat Islam tapi janganlah dipanggil benda yang menuduh orang berzina itu dilakukan secara sewenang-wenang.

Jangan lupa bahwa kita ini akan kembali kepada Allah dan dalam zaman syariat tidak berperanan, undang-undang Islam tidak dilaksanakan - bukan maknanya hukuman Islamnya tergendala. Ataupun kesalahan itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Kesalahan kepada Allah tetap merupakan satu kesalahan. Jika datang benda yang dipanggil sebagai fitnah - ini benda yang besar dalam pandangan syarak.

Dalam sepotong ayat bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang membuat fitnah menyebabkan huru-hara berlaku dalam masyarakat - yang mereka lakukan fitnah ke atas lelaki dan perempuan mukmin kemudian mereka tidak segera bertaubat kepada Allah. Maka kalau mereka mati ketika itu bagi mereka azab neraka jahannam dan mereka akan dibakar dalam api neraka.

Dosa yang sebesar itu dengan ancaman api neraka yang dua peringkat iaitu masuk api neraka, kemudian dibakar di dalamnya. Tidakkah dirasakan itu amat besar dan patut orang takut seterusnya tidak melakukannya? Apabila ini tidak menjadi ketakutan kepada masyarakat, maka fitnah menjadi berleluasa kepada masyarakat.

Dalam sepotong ayat daripada surah al-Hujurat yang bermaksud , "seandainya sampai kepadamu berita daripada seorang yang zahirnya fasik, maka jangan kamu terima lagi sehinggalah kamu mendapat kepastian." Perkataan fatabayyanu itu - apakah penjelasan yang terbaik?


Syariat Islam datang untuk memberikan keadilan khususnya dalam isu besar seperti ini. Dari mana mula berita itu keluar? Kalau menyebut persoalah qazaf, zina, fitnah dan sebagainya - ia akan menjadi suatu tarikan kepada masyarakat untuk mengetahuinya. Bagi zaman yang media massa memainkan peranan dengan pelbagai kemudahan alat moden perhubungan maka mudahlah orang mendapatkan akses mengenai berita itu. Tetapi apakah semua berita dan cerita yang sampai kepada seseorang itu semuanya benar?

Jawapannya kita tahu apa yang dikatakan pada hari ini kalau berita itu berita yang keluar (datang) daripada musuh - maka berita menggambarkan semuanya buruk. Begitu jualah sebaliknya. Jadi, media massa kita ini dikuasai oleh pemilik kepada orang yang menguasainya. Jika ia adalah alat kepada satu pertubuhan, parti atau kerajaan - maka ia akan memberitakan yang melampau, dirasakan atau dilakukan oleh pemiliknya dan bagi yang tidak menyukainya, berita yang keluar semuanya buruk.

Maka syarak mendatangkan suatu kaedah yang adil dan telus iaitu menerusi ayat daripada surah al-Hujurat yang bermaksud , "seandainya sampai kepadamu berita daripada seorang yang zahirnya fasik, maka jangan kamu terima lagi sehinggalah kamu mendapat kepastian."

Dalam ayat berkenaan, perkataan fatabayyanu bermakna pembuktian atau sampai kamu dapat bukti nyata iaitu sama ada benar atau bohong. Kalau tidak berbuat demikian, dengan anggapan semua berita yang disampaikan itu semuanya benar maka Allah berkata bahawa kamu telah menghukum orang yang tidak bersalah atas kejahilan kamu dan kelak dengan perbuatan itu akan membuatkan kamu menyesal.

Maksud menyesal di akhirat kelak ialah apabila mendapat balasan azab Allah yang paling pahit, getir, seksa - menyesal kerana percaya kepada berita yang belum lagi dipastikan disebabkan orang percaya. Kalau semua orang bersikap begitu datang bawa berita kena tapis dahulu, dapat kurangkan masalah tapi tindakan ini sepatutnya diambil oleh pemerintah yang ada kuasa untuk mengatur langkah-langkah untuk mengawal. Kalau ada isu klip video yang jadi besar sekarang ini apakah dengan menyiarkannya di tempat awam - adakah ia menyalahi undang-undang negara atau undang-undang Islam ?

Oleh kerana sistem yang ada lebih mengutamakan undang-undang negara, maka ramai yang tidak mempedulikan sangat undang-undang Islam. Tetapi setelah orang awam yang turut sama menyaksikan dengan perasaan dalaman elokkah perbuatan seperti itu didedahkan secara terbuka kepada masyarakat sedangkan kita tahu undang-undang tidak mengizinkan - kenapa undang-undang tidak berperanan.

Apabila telah keluar video ini, memang tidak boleh disiarkan di youtube. perbuatan tersebut mengaibkan orang, melihat aurat orang, melihat perbuatan yang sepatutnya tersembunyi daripada orang adalah berdosa - tetapi bagaimana hendak menahan atau membendung masyarakat umum. Walaupun saya ditawarkan melihatnya, saya tidak melihat dan saya tahu jika ianya mengaibkan orang. Melihat perbuatan yang sepatutnya tersembunyi daripada orang adalah berdosa - saya tidak buat. Tapi bagaimana hendak menahan masyarakat umum?

Malah sampai hati sampai ke peringkat mencadangkan disiarkan di parlimen untuk tontonan umum. Bagaimanakah keadaan moral kita yang berani untuk mempertontonkan video itu di parlimen sedangkan ahli-ahli parlimen yang mempunyai maruah, apakah secara moralnya tidak berasa bersalah untuk paparkan perkara itu di dalam parlimen yang mulia? Malangnya moral kita begitu rendah sampai kita boleh membiarkan dan kita lihat tiada apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa untuk segera menangani dan apakah boleh undang-undang penyiaran dalam hal seperti ini setelah ianya didedahkan di dalam youtube yang aksesnya sampai ke setiap orang?

Dalam keadaan syariat tidak berperanan, undang-undang yang ada sepatutnya berperanan untuk menyekatnya kerana apabila orang muda menyaksikannya mereka tidak mengendahkan siapa yang salah atau benar sebaliknya ia dilihat dari aspek hiburan serta dinikmati dalam keadaan melanggar syariat.

Sumpah Laknat

Dalam kes liwat DSAI sebelum ini orang yang menuduh melakukan sumpah. Sedangkan menurut syariat, orang yang tertuduh yang sepatutnya melakukan sumpah itu. Malah ada yang berpandangan sekiranya pihak yang dituduh itu tidak bersumpah, maka dia bersalah. Tetapi kenapa dalam kes tuduhan rogol Datuk Seri Rais Yatim terhadap pembantu rumahnya dan Datuk Rahim Thamby Chik terhadap remaja bawah umur malah tuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak terhadap Altantuya tidak dilakukan kaedah yang sama? Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh badan-badan agama dalam memastikan masyarakat tidak terkeliru dengan hal ini kerana ia menimbulkan huru-hara dari segi akidah?

Bila kes seperti ini menjadi rahsia umum, yang semua lapisan masyarakat mengetahui dan semua orang di mana ia bermula dengan tindakan Datuk T (Trio Umno) dengan secara terbuka dan berani malah kita nampak mereka itu sangat bersemangat kononnya hendak membela dan mendedahkan masalah sosial seperti ini dan tiada pihak yang tampil untuk berjumpa meletakkan tanggungjawab, bertanya, menyiasat, kenapa mereka buat hal yang seperti ini?

Tanggapan-tanggapan masyarakat yang berbeza-beza tentang siapakah sebenarnya pelakun dalam video itu yang setidak-tidaknya ada keraguan yang disebut selalu oleh orang. Tetapi ada keraguan yang berhak mereka tegur kerana melihat kepada beberapa perbezaan watak dalam pelakun dalam video klip itu dengan realiti orang yang luar video itu. Yang penting orang yang dalam video itu berlainan sedikit dari segi fizikalnya.

Kemudian timbul pula isu apabila orang minta bersumpah. Ada yang sebut sumpah laknat, ada yang soal kenapa tidak bersumpah? Malah ada pihak berkuasa dalam konteks agama juga menyebut bersumpah. Saya nak komen - minat sungguhkah golongan ini untuk merujuk masalah ini kepada hukum Islam? Ikhlas sungguhkah golongan yang meminta ini untuk melaksanakan hukum Islam? Seperti contoh sebelum ini, timbul tuduhan Anwar meliwat seseorang - orang yang menuduh itu tanpa diminta dan disuruh telah bersumpah di masjid. Seolah-olah tindakan tersebut bertujuan untuk membersihkan dirinya bagi menunjukkan bahawa dia ini benar dan berpegang dengan syariat.

Betulkah orang yang telah nyata beberapa orang yang terlibat sampai ada DNA beberapa orang - dia hendak melaksanakan syariat kah orang yang seperti ini? Adakah orang yang menyatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah qazaf? Qazaf ini bukanlah bermaksud tidak berlaku. Ia memerlukan empat orang saksi - kalau tiada empat saksi, kamu jangan sebut! Kerana kalau sebut juga, kamu akan terima hukuman daripada Allah iaitu 80 sebatan.

Nampak sangat penggunaan syarak pada ketika itu, bukan dengan hasrat hendak melaksanakan keseluruhan hukum syarak yang sepatutnya mereka kena terima. Mereka hanya sekadar hendak mempengaruhi masyarakat supaya minta bersumpah, jika enggan maka seseorang itu bersalah - itu sebahagian kecil daripada undang-undang syarak. Kalau hendak syarak, biar kesemuanya. Kalau hendak qazaf, hukuman zina pun kena ada. Jangan kerana tolak hukum zina, hendak pakai qazaf sahaja dengan harapan qazaf itu sebagai perangkap - siapa yang tidak bersumpah maka ia bersalah.

Sebab itu kita lihat yang dituduh tadi memanglah dalam syarak tidak sangat berbeza dengan undang-undang yang diterima pakai oleh manusia. Yang disebutkan sebagai seseorang itu tidak dikira bersalah selagi mana ianya tidak dibuktikan bersalah. Pihak berkuasa sama ada kerajaan yang ada jabatan kehakiman atau jabatan agama mempunyai mekanisme untuk membawa pertuduhan dan sebagainya.

Saya hendak komen - sudah acapkali timbul hal yang seperti ini yang memang ada keperluannya menjaga kestabilan masyarakat dan hendak mengekang jenayah seperti ini daripada terus berleluasa dengan mengadakan undang-undang qazaf. Dahulu ianya dirasakan tidak perlu kerana tidak pernah timbul perkara ini di negara kita. Apabila ianya semakin wujud, sebab tuduhan ini melibatkan kesalahan yang berkaitan qazaf iaitu tuduhan yang mengaibkan. Mungkin ada klausa yang boleh dimasukkan di bawah qazaf ataupun berani sampai ke tahap zina dengan aspek-aspek keagamaan diambil dengan begitu teliti iaitu penyaksian, tuduhan dan sebagainya.

Kerana ketiadaan kesemuanya ini mengakibatkan jabatan-jabatan agama di negara ini sehingga kini tidak bergerak untuk mengadakan undang-undang sebegitu bagi menangani kes-kes seperti ini yang mungkin akan berlaku lagi pada masa akan datang.

Video klip ini telah tersebar luas sehingga timbul pelbagai andaian - sehingga terdapat pandangan tertentu daripada pemimpin parti politik yang mengambil keputusan untuk menontonnya. Siapakah yang sepatutnya dan boleh untuk melihat video klip itu bagi menjalankan penyiasatan dan penghakiman? Adakah wujud pandangan alim ulama yang melarang rakyat menyaksikan hal ini seperti keperluan fatwa dalam isu ini?

Sesuatu yang berlaku pasti mempunyai matlamat dan tujuannya. Kalau ia berkaitan politik, pasti ada jaringan yang hendak menyampai kepada tujuan politik. Begitu juga dengan niat untuk discredit atau menahan seseorang itu daripada terus diterima oleh masyarakat dengan mengaibkannya semata-mata untuk membalas dendam ataupun sengaja dan suka untuk membuka rahsia orang sebagai satu daripada amalan biasa. Walau apapun yang telah berlaku ini pasti mempunyai tujuan. Dan tujuan itu dapat dilihat daripada bagaimana ianya dipersembahkan kes itu kepada masyarakat.

Jika bertujuan untuk membaiki orang ini dengan melaporkan kepada mahkamah dan sebagainya, iaitu melalui tangkapan, penjara dan bukannya untuk menjadi tontonan umum. Sebaliknya ia perlu diserahkan kepada pihak polis sahaja untuk menanganinya. Tidak ada seorang pun orang awam yang terlibat, serahkan kepada polis kerana mereka mempunyai mekanisme nya. Biarkan mereka menyiasatnya dan setelah nyata keputusannya barulah diumumkan kepada masyarakat.

Seperti mana ketulenan video, sudah ada pengumuman tetapi dalam tempoh yang begitu dekat dan tidak diketahui siapa yang menilai video klip itu - sejauhmanakah mereka bersikap neutral kepada kes atau telah dirancang begitu? Mengapa kita tidak mengelakkan spekulasi masyarakat dengan cara menyerahkan hal ini kepada pihak ketiga yang tiada kena-mengena dengan senario politik dan sebagainya - biar mereka menilai walaupun mengambil masa. Akhirnya akan keluarlah keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Tetapi yang berlaku tidak demikian.

Pengesahan video itu tulen tanpa mengesahkan siapa pelakunya. Apakah dengan ada mirip sedemikian itu - kita hendak semata-mata serahkan kepada masyarakat untuk menilainya. Pastilah jika mirip pelaku (dalam video klip itu) dengan orang yang dituduh itu, kita hendak sengaja biarkan masyarakat membuat tanggapan sendiri. Tetapi mesej yang ada dalam tanggapan sendiri itu jelas. Mereka mahu masyarakat menyatakan bahawa si polan itulah yang melakukan perkara ini. Hal inilah yang saya katakan sebagai kesalahan atas kesalahan dan kita akan bersalah lagi dengan Allah membiarkan tanpa ada suatu usaha yang amat jitu untuk mengurangkan damage (kerosakan) moral yang berlaku dalam masyarakat.

Kerosakan itu walaupun hendak merendahkan kredibiliti seseorang, tetapi akhirnya timbul apakah kita terasa bersalah dari segi moralnya apabila saya dengar ada televisyen yang menyiarkan video klip ketika waktu berita, iaitu media perdana yang ditonton oleh jutaan rakyat. Tentulah ada motifnya. Malah kalau tidak disiarkan pada ketika itupun, sudah ramai orang yang menonton. Seolah-olah kita hendak sengajakan pelanggaran undang-undang, menyalahi hukum syarak dan etika disiplin, kita dedahkan kepada masyarakat yang murah dan mudah.

Masyarakat sudah terbawa-bawa, tertonton dan terjerumus sama dalam dosa-dosa yang semakin hari semakin banyak, yang amat mengecewakan dan mendukacitakan bahwa status moral kita secara umumnya termasuklah mereka yang menguasai media - bukan terlepas pandang, tetapi sengaja dengan begitu berani dan mudah mendedahkan bahan-bahan yang tidak sepatutnya berlaku kerana dia menyentuh hati nurani masyarakat. Sebab itu saya katakan perkara ini tidak sepatutnya berlaku, jika berlaku juga maknanya pihak berkuasa sudah boleh dipersoalkan kewibawaannya.

Pandangan ustaz tentang penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI)?

Sudah menjadi trend dalam kehidupan bernegara seperti kita apabila berlaku suatu perkara yang mendatangkan kekeliruan dan kesamaran kepada masyarakat umum perkara besar yang hendak diketahui, maka jalan yang akhirnya adalah penubuhan RCI. Biasanya RCI mempunyai sikap yang neutral, benar-benar boleh dipercayai apa yang hendak dilakukan. Walaupun sudah ada tandatanya hasil yang diputuskan oleh RCI ini - itu isu yang lain.

Tetapi dalam isu ini, ia mencetuskan kekeliruan sehingga orang ramai hendak tahu. Bagi kes ini kita sudah memberikan gambaran kepada masyarakat dengan pelbagai media terbuka dan tidak terbuka yang kalau ikut perancangannya 90 peratus daripada orang yang melihat video klip itu telah membuat keputusan -siapa pelakonnya? Ditambah lagi dengan maklumat sampai meyakinkan - maka dengan itu apalah gunanya ditubuhkan RCI ini kerana ia telah jelas.

Selain itu, mungkin ada tujuan apabila klip video ini sehingga timbul persoalan - bila dan apa suasana yang mengelilinginya. Saya ingin mengambil contoh pada awal kes ini dahulu (Liwat Saiful Bukhari Azlan) bila ada sumpah dijalankan benar-benar sehari sebelum pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Saya ingin kaitkan sekarang ini pula berlaku benar-benar sebelum pilihan raya umum negeri Sarawak. Inilah perkara yang sedang berlaku. Kenapa dibuat begitu pada waktu yang sebegini? Seolah-olah ada tujuan pilihan raya - ini adalah suatu andaian. Kalaulah ada pilihan raya dengan bersumpah demikian, dengan harapan yang dituduh akan menarik diri atau dengan kesan buruknya nanti dia akan kalah, tetapi dia tetap juga menang.

Kes ini mempunyai persamaan apabila ia sangat dekat dengan pilihan raya penting iaitu di Sarawak, maka timbullah isu ini dengan harapan inilah kempen pilihan raya yang cukup berkesan dan kalau ini pun 'over-killing' iaitu setelah dibunuh, dilakukan pula beberapa perkara lain menyebabkan orang bersimpati dan membuatkan orang marah. Kalau didapati pula keputusan pilihan raya itu tidak memihak kepada pihak yang melakukan 'kerja ini' selepas itu ada suruhanjaya berbincang dan membuat kesimpulan iaitu orang ini benar dia yang bersalah atau bukan dia, tetapi orang lain. Ia sudah tidak berguna lagi kerana pilihan raya telah tamat.

Itulah sebabnya saya katakan tadi bahawa saya tidak mahu membangkang sebab kita faham dengan kerajaan yang ada kuasa jika semua orang kata tidak perlu buat RCI pun kalau dia hendak buat, maka dia tetap akan teruskan. Dia hanya akan buat selepas melihat ada kepentingan atau tidak kepada pemerintah. Kalau ia positif, dia akan buat, begitu jugalah sebaliknya. Tetapi saya rasa matlamat kepada penyiaran video ini sudah hampir tercapai. Walaupun mahkamah tidak bersidang dan RCI tidak ditubuhkan tetapi mesejnya telah dapat disampaikan.

Dalam keadaan begitu banyak masalah gejala sosial, bala bencana alam sekitar, banjir, tsunami, gempa bumi di seluruh dunia. Malah di Malaysia pula dihujani dengan masalah fitnah yang berleluasa iaitu dosa kita bertambah dan semakin hari semakin besar. Seolah-olah kita sedang memanggil bala itu supaya datang, seperti kita menunggu Allah sedang menghukum kita. Apa pandangan ustaz?


Sudah berdekad masyarakat Malaysia dibebani dengan masalah yang disebutkan sebagai masalah sosial yang kebelakangan ini semakin parah. Dahulu pada penghujung abad ke-20. Kita mendengar hanya cerita-cerita kemaksiatan berlaku dengan angka-angka yang terus meningkat dalam media. Tetapi barang itu akhirnya telah menjadi kenyataan contohnya fenomena pergaulan bebas, tangkapan khalwat dan sebagainya. Pada akhir-akhir ini sangat ketara dengan anak-anak yang dicampak, dibunuh dan ditinggalkan dan anak-anak yang dilahirkan tanpa bapa yang didaftarkan dengan statistik menggerunkan.

Ratusan ribu anak tanpa bapa begitu dengan yang dibunuh dtambah dengan kes perompak, pencuri, dadah dan sebagainya -bilangan mereka ini sudah tidak dapat ditampung oleh pusat-pusat seranti oleh mereka. Selain itu, gejala rasuah yang ditangkap adalah ikan bilis dan sekarang sudah terpaksa menangkap jerung besar. Apakah kita tidak berasa terkedu atau runsing apabila hampir 100 pegawai tinggi dan rendah kastam terlibat dengan rasuah yang besar-besaran melibatkan jumlah berbilion duit negara hilang dengan sebab amalan ini. Ada pula pegawai kastam yang diserbu rumahnya dengan wang berselerak, ada pula yang dirumahnya menyimpan gold bar. Hal ini berlaku walaupun dalam peringkat tuduhan tetapi ianya sangat serius apabila dilihat salah satu daripada gejala sosial tadi.
Ini semua pastilah ia adalah bala.

Firman Allah yang bermaksud : "Apa sahaja musibah, bala bencana yang terjatuh kepada kamu itu adalah balasan Allah daripada angkara perbuatan jahat tangan-tangan kamu." Namun demikian Allah mengampunkan, membiarkan dan tidak akan mengambil tindakan - sudah banyak sangat. Kalau Allah hendak membiarkan terus berlaku, maka ia akan terjadilah bala. Krisis moral merupakan bala yang cukup besar kepada ummah.

Rasuah, penyakit, bencana alam pun merupakan bala, krisis sosial dengan keruntuhan rumah tangga yang semakin berleluasa kemudian dipaparkan pula di media yang berlaku di kalangan golongan atasan, artis, budayawan - ini semua disebutkan Allah sebagai tiap-tiap satu kelompok masyarakat, penduduk sebuah negeri atau kota, kami akan ambil tindakan atas dosa yang mereka lakukan.

Ada di kalangan mereka yang kami musnahkan negara mereka dengan batu, ada yang kami musnahkan dengan kami tenggelamkan dalam banjir, ada yang kami gerak gempakan mereka, ada yang kami hantarkan penyakit kepada mereka, ada yang kami tidak suburkan tanaman mereka, kami ambil tindakan ke atas kesalahan mereka setelah banyak amaran kami berikan sebelum ini dan mereka masih belum berhenti maka akhirnya mereka berdepan dengan bala kami.bila bala kami turun maka mereka tidak akan dapat mengatasinya.

Kesimpulan daripada itu kita dapat lihat, yang telah berlaku ke atas kita masih kita katakan bahawa Allah amat menyayangi masyarakat yang ramai lagi tidak bersalah. Yang bersalah ialah pemerintah yang membiarkan atau membelakangi hukum syarak, lebih menjunjung tinggi undang-undang ciptaan manusia, memandang remah kepada undang-undang Islam dan pelanggaran hukum yang melibatkan mengaibkan orang (walaupun ianya belum pasti) dengan meletakkan tanggapan bahawa yang dituduh melakukannya. Maka turunlah bala dan ianya sedang berada di hadapan kita sekarang ini. Malah pegawai kerajaan yang sepatutnya menjaga amanah itu sudah menjadi seperti pagar makan padi - siapa lagi yang hendak kita harapkan untuk menjaga padi kita. Kalau hal yang terang-terangan ini berlaku - tidakkah ini dinamakan bala?

Tetapi mereka tidak memandang perkara ini dengan serius kerana ada perkara yang lebih besar lagi yang ditimbulkan iaitu klip video. Buat masa ini ia masih tidak meranapkan dan menghancurkan negara. apakah kita tidak jadikan ini sebagai iktibar. Moga-moga dengannya mereka sedar dan kembali kepada hukum Allah. kalau berlaku hal ini mereka tidak kembali juga, adalah amat dibimbangi apa yang berlaku kepada kaum ad sebagaimana yang Allah katakan dalam al-Quran.

"Tidakkah kamu melihat apa yang berlaku kepada kaum ad yang Allah anugerahkan kepada mereka kenikmatan hidup dunia yang begitu banyak, dengan kabilah 'iram yang ada binaan yang hebat dengan tiang-tiang yang begitu besar - bagi menggambarkan kehebatan mereka dalam mencapai kenikmatan dunia, dan firaun yang mempunyai kehebatan membuat piramid yang tinggi seperti bukit tetapi mereka bukan hendak bersyukur dan beriman kepada Allah. Mereka mengambil kesempatan daripada kenikmatan itu untuk melakukan fasad - yang merujuk kepada fasad al-akhlak (kerosakan akhlak).

Akhlak mereka dengan Allah itu rosak dan tidak beriman, akhlak sesama mereka melanggar nilai-nilai yang baik, melakukan nilai yang tidak baik maka Allah akan liputi mereka dengan azab Allah yang seburuk-buruknya sampai habis (musnah) kaum itu (Ad, Tsamud, Firaun), yang ada hanyalah peninggalan mereka sahaja. kalau semua yang berlaku ini kita masih tidak faham dia sebagai peringatan daripada Allah atau disebut sebagai ibtila' atau ujian, bala' atau musibah untuk manusia sedar akan kesalahan mereka. Kalau mereka balik semula kepada Allah berdasarkan firman yang bermaksud : "segeralah kamu balik kepada Allah, kamu serah diri kepada Allah, (jangan lawan ALlah) sebelum Allah turunkan bala kepada kamu, kerana bila azab ini turun maka kamu sudah tidak dapat lagi ditolong. "

Sebelum sampai ke saat akhir itulah, maka saya mengambil kesempatan dalam pertemuan ini hendak mengajak seluruh masyarakat untuk insafilah perkara ini dan marilah kita balik kepada Allah, menyemak,memeriksa dan mengatur semula kerana kita hendak kembali kepadanya yang tidak berlaku secara segera. Tetapi keazaman yang cukup kuat untuk kembali kepada syariat dengan persediaan yang rapi dan betul demi mendapat rahmat di dunia yang sementara dan yang penting balasan di akhirat yang Allah janjikan kepada orang yang melaksanakan suruhanNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails