Selamat Datang

Ahad, 24 April 2011

Pembaharuan Selangor manfaat untuk rakyat


Ismail Hashim

KLANG, 23 April: Segala pembaharuan berbentuk program menguntungkan rakyat yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 8 Mac 2008 adalah jawapan kepada kritikan yang sering dilemparkan BN selama ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jika sebelum ini pimpinan dan pendokong Pakatan Rakyat mengaitkan BN dengan sikap dan program mereka yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, kini Selangor telah berjaya menunjukkan bentuk terbaik.

Abdul Khalid menegaskan demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perdana Pencapaian Negeri Selangor di Kompleks Sukan Pandamaran, dekat sini malam tadi.

Sebelum itu, majlis dimulai dengan mendengar ucapan oleh Exco Dr Hajah Halimah Ali, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Exco Ronnie Liew dan Exco Dr Xavier Rajakumar yang membentangkan kemajuan dicapai oleh pentadbiran negeri sejak PR terajui Selangor.

"Sumber Negeri Selangor cukup untuk rakyat negeri cuma perlu sikap amanah, tertib dan alirkan hasil negeri kepada rakyat yang memerlukan dan menjauhkan perbuatan rasuah," tegas Abdul Khalid lagi.

Beliau juga mendedahkan bagaimana rakyat Negeri Selangor kini sudah boleh menggunakan teknologi yang dihasilkan mengenai rekod pemilikan tanah yang hanya perlu dicari melalui komputer menerusi Google GIS menggunakan satelit.

Menurutnya, dokumen mengenai tanah itu dapat disemak dalam kadar segera dan rakyat sudah tidak perlu datang ke pejabat tanah lagi dan dalam masa dua tahun nanti, staf pejabat tanah pula yang akan turun ke kampung-kampung untuk urusan tanah.

"Negeri lain belum ada lagi teknologi ini dan bila sudah berjaya, lepas ini negeri lain boleh membeli teknologi ini dari Selangor dan wang itu dimasukkan ke Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)," tegasnya sambil mendapat tepukan hadirin.

Kini, jelasnya, Kerajaan Negeri Selangor mahu menyemai semangat dan jiwa baru kepada rakyatnya di mana mereka merasa megah menjadi rakyat Selangor yang suka kepada kebersihan dan kehijauan.

Di akhir ucapannya, Abdul Khalid melancarkan program Kembara Briged Amal yang berkampung di situ sehingga 24 April dengan mengadakan berbagai program di kawasan rakyat miskin termasuk aktiviti 4 x 4 di hutan berdekatan.

Menteri Besar turut menjelaskan, sebelum bersama PKR, beliau telah bersama Yayasan Amal untuk membantu mereka yang memerlukan dalam banyak program sebelum ini dan berdoa agar program Briged Amal berjaya.

Sementara itu, ketibaan beliau dan Dr Halimah disambut kumpulan kompang Melayu, tarian singa Cina dan gendang India diiringi ke pentas utama sebelum majlis bermula.

Kelihatan ramai Adun-adun dan Ahli Parlimen turut hadir.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzwan berucap aluan menyebutkan peranan Briged Amal dan Unit Amal di dalam melaksanakan tugas mereka membantu anggota masyarakat terutaman ketika menghadapi bencana alam.

Ketika berucap, Dr Mariah berkata beliau bercakap sebagai orang luar yang tidak berada di dalam pentadbiran kerajaan negeri namun kerana sayang kena tegur selain dari pujian terhadap semua program kerajaan negeri.

Katanya, hak diberikan pada semua rakyat yang perlu, bukan kerana bangsa atau parti mana yang mereka pilih, kerana itu, sejak PR memerintah, rakyat merasa sense of belonging atau rasa kekitaan.

Menurutnya, Selangor sejak PR memerintah telah mendapat tempat pertama dalam banyak perkara antaranya seperti TAWAS yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri termasuk Pusat

Kadar miskin di Selangor pula di bawah RM1,500 sedang Pusat RM750 bererti lebih ramai rakyat boleh terima bantuan kerajaan di masa sama di peringkat negara, orang masih miskin dalam kadar RM1,500, masih terdapat dalam jumlah 40 peratus lagi, ujarnya.

Selangor, jelasnya, telah memulakan cuti bersalin untuk wanita selama 90 hari untuk semua kelahiran dan Kerajaan Pusat meniru juga dengan memberikan cuti tiga bulan itu tapi hanya untuk tiga orang anak sahaja.

Dalam masa sama, Kerajaan Selangor melakukan Ujian Mammogram percuma untuk 1 juta wanita memeriksa payudara yang kini sudah 50,000 wanita dan dari jumlah itu, 47 mengalami kes berat yang boleh diselamatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails